Followers

Tuesday, August 11, 2009

PANDANGAN SDR BAHARUDDIN BIN MOHD SIDI YANG TELAH DITERIMA SEBAGAI USUL MESYUARAT AGUNG DEWAN PERSURATAN MELAYU PAHANG KE-39 PADA 26 JULAI 2009 BERTEM

BERTEMPAT DI BILIK MESYUARAT TAMAN BUDAYA NEGERI PAHANG, KUANTAN.



Saudara-saudara Perwakilan Yang Saya Hormati Sekalian,


Saya ingin mengumpan sedikit pandangan pada Mesyuarat Agung pada kali ini agar saudara-saudara terpancing untuk melahirkan satu pandangan yang lebih besar dan lebih bermakna. Marilah kita sama-sama menilai kembali perkataan "persuratan" yang menjadi kata kunci kepada pertubuhan DPMP ini. Pada hemat saya "persuratan" pada nama DPMP, bukanlah sekadar membawa amanat terhadap penulisan, bahasa, sastera dan budaya. Sebaliknya, ia membawa amanat yang lebih besar merangkumi setiap cabang keilmuan dan kehidupan samaada yang tersurat dan tersirat.

Kita harus perbetulkan ini. Jika selama ini kita tersalah pandang terhadap amanat yang dipikul oleh DPMP, sedangkan DPMP ini, sebenarnya sebuah pertubuhan Melayu yang sangat ideal dan sangat luhur.

Dengan makna persuratan ini, amanat DPMP menjulang peradaban satu bangsa, berjuanga untuk raja, negeri dan masyarakat, memelihara ketuanan bangsa, dalam wadah yang selama ini kita secara sedar atau tidak sedar, terfokas hanya kepada aspek penulisan. Dengan hal sedemikianlah telah tergaris satu sempadan antara DPMP dengan orang ramai, atau punmasyarakat. Saya khuatir, jika masyarakat terpisah daripada DPMP, di mata masyarakat hanya melihat DPMP, bukan sebagai pertubuhan eksklusif yang mereka segan dekati, tetapi DPMP dilihat sebagai sebuah pertubuhan yang terpinggir dan terpisah, ibarat kapal antik di tengah lautan, direnang tak sampai, dilambai tak datang.

Barisan kepimpinan DPMP hari ini saya berharap bersedia membuka pintu pertubuhan ini untuk menjadikan keluarga DPMP ini sebuah keluarga besar, sebuah keluarga melayu, sehingga setiap orang Melayu merasakan DPMP itu mereka dan mereka itu dirasai kepunyaan oleh pertubuhan ini. Dengan melebarkan keanggotaan pertubuhan ini kita harus pertamanya, mendidik orang Melayu di negeri Pahang bahawa mereka harus peka dan insaf terhadap peradaban, kenegerian dan ketuanan Melayu mereka dan integriti serta martabat kemelayuan mereka.

Dalam setiap jalur kehidupan dan bidang kerja orang Melayu, ada yang akhirnya kenal DPMP, ada yang akhirnya menjadi ahli DPMP. Mereka harus sedar dan disedarkan bahawa, walau pun mereka tidak bercita-cita menjadi penulis, pengarang, penyair, novelis dan cerpenis umpamanya, namun DPMP adalah pertubuhan Melayu yang terkendong seluruh zat kehidupan Melayu di negeri Melayu ini.

Apabila keluarga DPMP menjadi besar, sebagai contoh termudah, bukan sahaja pertubuhan ini menyumbang kepada pertumbuhan sosio-budaya Melayu yang teras dan mantap, tetapi kemeriahan, keindahan,kegembiraan berpersatuan di dalam DPMP akan benar-benar dapat dikecapi. Inilah sasaran yang sangat diperlukan oleh DPMP pada masa ini, pada hemat saya.

Kita telah melihat bagaimana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apabila Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Melayu telah dipindahkan ke dalam bahasa Inggeris, sebahagian besar orang Melayu tidak mengambil berat dan tidak merasakan ia sebagai satu ancaman kepada bangsa Melayu apatah lagi maruah dan kedaulatan serta ketuanan Melayu. Ramai yang leka. Ramai berpeluk tubuh. Malah, ramai yang menyerah kalah!

Kalau perlu - ini pandangan dan cadangan ikhlas saya - DPMP melebarkan perjuangannya, dengan mengembangkan lagi perlembagaan pertubuhan ini dengan memasukkan secara lebih jelas dan terperinci, aspek-aspek sosio-budaya, ekonomi dan pendidikan Melayu, agar DPMP dekati dengan lebih mudah oleh orang Melayu yang selama ini merasakan pertubuhan ini asing bagi mereka.

Dengan ini, DPMP akan lebih ramai kawan, lebih ramai pendukung dan penyokong, lebih ramai saudara Melayunya. Lebih banyak pentas dan forum dapat disertai oleh DPMP, lebih banyak aktiviti dan program dapat dijalankan, lebih meriah, lebih hebat, lebih seronok dan lebih gagah DPMP.

Barangkali pandangan saya ini terlalu ideal. Terlalu fantastik. Terlalu bombastik dan barangkali juga di hati saudara-saudara saya ini,satu keterlalauan yang terlalu, terlalu!

Urus Setia DPMP,
E-1319, Wisma Al Warisan,
Jalan Bukit Ubi, 25000 Kuantan.

Monday, August 10, 2009

Sepanjang hayat 100 - Ada rasa nak berhenti,

Bukan berhenti nak jadi orang,
cuma nak berehat panjang,
banyakkan wajib dan sunnat dalam sembahyang,
mudah-mudahan kembali jadi orang.
esok kalau umurku panjang,
kita bersilat lagi dalam ini gelanggang.

Selamat menyambut bulan ramadhan,
berpuasa hanya sebulan,
pada semua pemblog kawan dan taulan,
jika ada ada salah silap & keterlaluan
harap maaf, harap ampunkan
sepanjang hayat sepanjang jalan.

Entri ke seratus jadi penentu...
Assalamualaikum warahmatullah hi wabarokatuh...


Thursday, August 6, 2009

Sepanjang hayat 99 - Memancing.

Puasa Rukun Islam yang ke tiga, satu ibadah,
Ada orang tenang,
ada yg berang,
dari pagi sampai petang memikirkan apa jadah nak berbuka,
ada yang leka tak sedar bulan puasa,
ada yang asyik membuta,
yang asyik berbual dan bercerita, tak herau waktu dah tiba,
ada yang renyot, pantang disapa. Muka Allahu Akbar, macam singa.

Puasa satu ibadah,
buatlah dengan bersahaja,
banyakkan amalan, satukan yang lima itu dalam lima waktu lengkap mermkumi
Kalimah, Solat, Puasa, Zakat dan Haji,
carilah puncanya yang semuanya bermula dari dalam diri,
banyakkan zikir supaya tenggelam dalam diri sendiri.

Wallahu 'alamu bis sawab...

Ini satu cerita lama, cerita zaman muda, penuh dengan humour yang bercelaru, keliru dan memalukan, iaitu:

Pergi memancing di bulan posa 40 tahun dahulu, berumpankan roti.
Ikan tak dapat, perut yang kenyang,
balik ke rumah usik-usik bini,
bini bertanya, lapar bang?
Azan pun berkumandang....

Tuesday, August 4, 2009

Sepanjang hayat 98 - Lupa.


Empat puluh tahun lebih dahulu, anak baru dua.
Rumah tepi jalan besar - The Pahang Trunk Road. Bas berhenti betul-betul depan rumah.

Makngah turun dari bas, cebek barang kiri kanan. Balik dari pasar, katakan.

Pakngah ( saya ) berdiri di berenda. Gulung kain pelekat berpuntal leweh paras lutut. Perut terbarai tanpa baju. Kepak anak mulut tercuking rokok.

Penumpang dalam bas asyik perati aje. Bas pun pergi.

"Aok ni matnya? Tak malu ke, orang dalam bas duk perati"

"Matnya", bertanya balik. " Aduh! LUPAAAAA"

Satu hari minggu dalam bulan posa.

Saturday, August 1, 2009

Sepanjang hayat 97 - Kerana Hari Lebaran

Musim buah durian dah sampai ke penghujungnya. Kulit durian yang berlambak belum lagi reput turut memberikan semacam bau yang meloyakan, bukan lain dari bau tempoyak masam - tempoyak kegemaran orang sebelah Pahang Barat.

Yang memolo, entahkan beberapa buah molo telah siap dan disusun rapi dalam dan luar peti ais. Tempoyak untuk dimakan dalam bulan puasa yang tinggal kurang dari sebulan lagi. Agaknya sepanjang bulan ramadhan ni resepi masakan asyik gulai masam tempoyak ikan talapia menjadi hidangan berbuka puasa - belum lagi puasa dah terasa lapar. Aduh!.

Yang senonim, masing-masing pula sebok tempah menempah baju baru, kurunglah, kebayalah, kebarunglah dan macam-macam termasuk baju melayu merah kuning hijau dan biru. Tukang jahit di kedai angkat tangan, surrender, tak daya nak goyang kaki lagi menolak tempahan - bahang hari raya yang semakin hampir.

Yang satu lagi, di pekan sari, ada yang pilih selipar jepun, capal, ketayap dan kain pelikat cap gajah, konon untuk pakai ke masjid surau sembahyang terawikh. Bagus sangat. Lepas aje buka puasa dengan mertabak sebuku, air sirap, bubur pisang campur sagu, gulai tempoyak tolak tepi, sembahyang maghrib kucar kacir, kejar ke masjid surau jemaah isya' dan terawikh. Nak habiskan 8 rakaat dah nak terkencing. Salam kanan salam kiri bertebarai ke tandas. Lepas keluar tandas, hangguk sana hangguk sini, jom... Sunat witir entah kemana, tedarus jauh sekali.

Tiba-tiba dah berlonggok di Alamanda...

Bulan puasa jadi mangsa.

Masya allah!