Followers

Friday, February 27, 2009

Sepanjang hayat 22

Menongkah arus ii:

Dua tahun berkelana di Raub dengan suasana yang entah dimana puncanya dan kemana pula akhirnya. Habis bulan berganti bulan, tiada sesuatupun yg dapat dijadikan lakaran sebagai garis yang sempurna yg bernama kehidupan. Habis bulan berganti bulan dimana ada ada kalanya bulan belum berputik, wang gajian sudah kontang. Setiap hujung minggu balik ke kampung ke rumah ayah bunda. Rasanya lebih senang di kampung daripada bermelankoli dan berkelana tak menentu walaupun dibandar.

Di kampung segalanya tenang, segalnya boleh diisi dengan segala macam yg indah indah. Airnya Sg. Lipis yang jernih tidak jemu jemu menghanyutkan buih buih, lalu menghempas ke batu batan Jeram Besu tempat kami mandi manda. Ada kalanya membawa pancing dan jala untuk berikan (menangkap ikan) bersama paman, Pakteh Kassim. Musim air surut, Mohamad Sulong sering mengutarakan agar malamnya menjermal ikan ( jermal ialah peralatan spt. jaring untuk memerangkap ikan). Sebelum malam kami akan menyediakan peralatan memasang jermal, menebang buluh aur dan membelahnya selebar dua jari dan sepanjang lebihkurang 4 ke 5 kaki untuk dipacakkan di dalam air. Sebelah perut buluh menghala ke hulu. Buluh yg dipacak itu akan menguting-nguting oleh air deras lalu memberikan cahaya putih untuk menakutkan ikan ikan yg nanti malam akan hilir. Ikan akan hilir mengikut perut sungai dimana disitu Mohamad Sulung akan memasang jermal. Jermal yg merupakan tangguk besar diperbuat daripada tali disirat seperti jaring, besar dimulutnya dan semakin tirus kehujung. Sebuah menara kecil menggunakan tiga batang kayu didirikan tiga segi dengan sebuah para buat tempat duduk. Bila malam nanti upacara menjermal bermula seseorang akan duduk di atas para memegang tali perasa. Tali perasa ialah tali untuk menentukan ada ikan hilir merempuh mulut jermal lalu mulut jermal diangkat dan ikanpun terperangkap. Ikan yg terperangkap itu menuju ke hujung atau puting jermal. Seorang lagi yang menunggu dgn perahu di puting jermal akan mengambil ikan itu. Ikan yg dijermal adalah besar besar belaka seperti tengalan, kerai, lawang dan kalau bernasib baik kelah pun mengena.

Bukan sekadar menjermal sahaja yg menjadi sensasi, malah abang Man engkut yang sebelah kakinya lumpuh dan berjalan menggunakan tongkat, mengajak kami semua anak anak muda bermain musik, menari zapin, dan pada jadual lain pula kami bermarhaban. Jangan sebut bila bulan puasa datang, saya malas hendak cerita, panjang dan sangat mengasyikkan. Itu lumrah.

Dan di kampung juga saya berpeluang belajar agama, mengaji Sifat Duapuluh dengan aki Seman. Aki Seman memang tinggi ilmu tasaufnya dan kami belajar sampai Iko Idul Iman. Bakal Tok Pawang masa itu dan menjadi pawang akhirnya apabila pawang tua meninggal dunia, pernah mencaci kami dan Aki Seman, " Apalah awak seme ni belajar agama pada orang tak sembahyang." Masa itu, saya belum banyak mengerti, tak pandai menjawab, jadi pakai diam sahaja kami semua. Tetapi jangan hari ini...

Sayugia, apakah benar hal hal yg sensasi di atas tadi sebenarnya menjadi tarikan saya utk rindu pada kampung, utk terpaut pada keindahannya, utk menjadi sedih bila berpisah denganya. Bukan, bukan pada lumrahnya. Bukankah saya sudah memasuki alam remaja dan sebagai anak muda yg sering bermimpikan yg indah indah dan sudah diadatkan untuk menanggung rindu maka saya tidak terlepas daripada hukum alam itu. Oh! saya sudah ada pacar, berpacaran dengan seorang anak gadis yg saya kira satu pilihan yg amat intim dan dialah buah hati pengarang jantung.

Masa berlalu, saya ditukarkan ke Bentong melapor diri di PWD Bentong sebagai kerani juga tetapi jawatannya tetap dan berpencen. Walaupun berpencen, kena lulus periksa dalam masa percubaan selama 3 tahun. Semua halangan itu telah diatasi dengan mudah tetapi tidak secemerlang kawan kawan lain yang menjadikan GO (General Order) dan FGO (Financial General Order) sebagai tersangat penting dan meletkkannya dihujung jari. Seperti seorang kawan saya bernama Sulaiman, Kanun Tanah Pahang miliknya sekali ganda tebalnya dari yg asal kerana penuh dengan segala rupa amendment . Tanya sahaja, section mana, dia akan jawab off-hand. Manakala kawan saya Hussin berkata,
"Land Code is very interesting to read but it's very complecated. Bagaimanapun kerja sebagai kerani hanya membuat kerja kerja rutin, membaca, menulis, menaip, memasukkan surat mengikut fail fail dan menyimpannya untuk dikeluarkan semula mengikut masa.
Senang sahaja kan!. Tidak ada home works yg mesti menjadi beban.

6 comments:

  1. Hai Pak Hashim..semua cerita2 Pak Hashim amat menarik, mengimbau masa-masa lampau yang berkisar dalam satu suasana seperti menonton filem hitam putih di zaman kegemilangan Kampung Pinang Sebatang dalam filem pendeka Bujang Lapuk. Untuk seterusnya saya cadangkan Pak Hashim bercerita pula tentang orang bunian di Ulu Cheke jerantut,tentang apa-apa saja yang menakutkan....Syabas

    ReplyDelete
  2. Salam.

    Haha.. memang seronok, terutama yang terakhir sekali.

    Tapi Pakcik, saya nak cadangkan Pakcik buka ruangan Sesi Bertanya macam yang ramai-ramai blogger buat sekarang ini. Kemudian Pakcik jawab. Saya fikir pasti lagi seronok. Saya ada beberapa benda nak ditanya kalau dipintas didalam entri sediada Pakcik tidak elok rasanya.

    ps: Kelantan lwn Selangor, Pakcik pilih yang mana menang dan kenapa?

    Terima Kasih.

    ReplyDelete
  3. PakNgah,
    dulu rumah saya ni sebenarnya tempat ikan bermain, tapi dikeringkan untuk dijadikan tempat berteduh kami sekeluarga, belakang rumah dulunya ada pokok getah dan sawah padi, tempat saya bermain ,masuk lubok dan pelihara biri - biri... sekarang ni, semua itu dah digantikan sepenuhnya dengan perumahan...

    anak - anak sedara nak tengok kambing pun susah sekarang ni, ada juga yang lari bila nampak kambing. Jadi saya bak kata PiPi "ada pasang niat" juga untuk pelihara kambing, nota dan pengalaman rasanya dah cukup.

    tentang kerja pula, saya mengajar tiada masalah langsung , cuma yang memberikan tekanan setiap hari adalah jawatan sampingan yang tak setimpal dengan gaji... cewahh.. bukan merungut, cuma ada yang lebih berhak dapat jawatan itu dari saya ,iaitu mereka yang bergaji dan berjawatan yg lebih tinggi.

    Pakngah, saya sempat juga tengok wayang pacak masa zaman belum sekolah dulu... citer hindustan kot ... mak selalu bercerita tentang zaman mudanya tengok cerita hindustan ni, Pakngah pula apa cerita ?

    ReplyDelete
  4. mohdsuak,
    Salam dari pakcik, mungkin pakcik akan sampai juga kpd dua dua episod itu, cerita film hitam putih dan cerita dongeng bunian dan sebagainya.Sabor aje lah yek, ha ha ha...

    pakcik.

    ReplyDelete
  5. enamdegrees:
    Salam dr akcik, Ruangan soal jawab. Nanti pakcik minta si Pipiyapong tu tolong pakcik buka satu lagi laman. Pakcik sendiri bukan pandai sangat. Insya Allah mana yg pakcik boleh jawab, pakcik jawab, mana yg tak boleh jawab pakcik akan minta tangguh untuk cari jawapan yg setimpal.

    Mula mulanya pakcik sokong Kelantan, tapi akhirnya S'gor yg menang. Pahang pulak memang tak boleh diharap, ha ha ha.

    salam dr.pakcik.

    ReplyDelete
  6. Terra:
    Salam dari pakngah,

    Ok lah tu terra, orang dah beri kepercayaan. Bukan kah itu satu cabaran. Terima jangan tak terima. Pakngah masa bekerja ada juga jawatan sampingan. Pimpin pasukkan bolah jabatan. Bila ada apa perayaan pakngahlah yg tukang buat banners. Parti parti perpisahan pakngah juga kena organise. Bulan puasa kutip duit utk more pakngah juga kena. Jadi MC pakngahpun kena. Ada seronoknya.

    Masa pakngah muda,mak kamu baru berumur 3 ke 4 tahun. Masa dia muda pakngah dah entah kemana. Barangkali di Lipis kot!. Pendeknya tak sempatlah pakngah nak mengusiknya, ha ha ha...

    Pakngah pernah pelihara kambing tau, kongsi dgn kawan kawan. Ada susah ada seronok pelihara kambing. Nantilah pakngah buat satu episod mengenai kambing. Ok!.

    Pakngah.

    ReplyDelete