Followers

Monday, February 23, 2009

Sepanjang hayat 19

ALAM PERSEKOLAHAN DAHULU DAN SEKARANG:

Saya masuk sekolah Inggeris bermula dengan Special Malay Class pada tahun 1949 di Mahmud School Raub semasa berusia 13 tahun. Sekolah Mahmud berjiran dgn. Sekolah Melayu, Sek. Tamil dan Sek China Chung Ching, beberapa rantai saja dari pusat bandar menghala ke Lipis (Lipis Road). Sekarang Mahmud School telah berpindah ke Jalan Tras, Sek.Tamil ke Jalan Bkt.Koman, yg masih tinggal disitu Sek.China dan Sek. Mahmud dijadikan Sekolah Ren.Kebangsan Raub. Sekolah kami kecil, ada beberapa buah bilik darjah sahaja, tetapi dua sesi pagi dan petang. SMC 1 & 2 kena sesi pagi. Keadaan sekolah jauh berbeda dengan sekarang dari segi kelengkapan dan peralatan. Maklumlah masa itu zaman kolonial. Malaya belum merdeka.

Saya tak pernah duduk di asrama melainkan berulang alik kesekolah dengan bas dari Kg.Batu Talam sejauh kurang lebih 13 batu. Mengapa Batu Talam sedangkan saya orang Sega . Oh! ayah saya mengajar disitu, guru besar Sek.Melayu Batu Talam. Kawan kawan yg berulang dgn bas ramai juga dan diantaranya ialah Tengku Mokhtar, Tengku Rodzman, mereka anak Tok Penghulu, akhirnya kedua dua Tengku itu jadi Penghulu, Zalimah sekarang tak tahu dimana, Tengku Dahlia bersekolah di MGS (Methodist Girls School), Abdullah Nudi jadi pegawai Tanam Semula tinggal dgn bapa saudaranya di Raub. Pukul 6 pagi sudah tunggu bas dan balik sampai ke rumah hampir jam 3 ptg, begitulah tiap tiap hari. Emak beri belanja harian sebanyak 15 sen dan paling banyak 20 sen, cukup untuk segelas air batu berharga 5 sen dan mee goreng 5 sen dan 5 sen lagi belanja beli kacang putih sambil tunggu bas masa balik.

Dalam seminggu kehadiran di sekolah jarang penuh. Macam macam alasan, susah nak bangun tidur, sejuk nak mandi pagi, lambat berpakaian dan curi tulang begini memakan masa, akibatnya tak sempat kejar bas. Balik sekolah tentu lambat, sampai di rumah nak main lagi, letih, bila masa nak baca buku dan belum pukul 9. sudah tidur. Emak bising tetapi ayah diam sahaja. Justeru, saya tidak berapa maju di sekolah, tak pernah dapat kedudukan di bawah 15 pun dalam darjah.

Zaman dharurat pun sampai, keadaan semakin gawat. Hadir ke sekolah semakin kurang. Apa tidaknya, ada masa bas tidak ada dan ada kalanya bas di bakar komunis. Kadang kadang dijalanan, ada orang mati di bunuh kominis mayatnya sengaja diletakkan di atas jalan membuat kami dalam bas jadi takut, menjerit dan menangis. Keadaan ini berlarutan beberapa bulan, lalu ayah tumpangkan saya di rumah bapa saudara yg kebetulan bekerja sebagai penyurih di PWD office ( JKR) setelah dinaikkan pangkat dari Office boy. Di Raub saya berkayuh basikal ke sekolah. Saya sudah berada dalam darjah lima masa itu apabila tamat SMC 1 & 2 terus melompat ke darjah 5. Darjah 5 saya mulai pandai cakap orang putih dan kawan kawan dibandar pun ramai semua boleh berbahasa Inggeris, broken english. Kami cepat belajar kerana desiplin disekolah tidak membenar semua murid bercakap selain dari bahasa Inggeris. Jika didapati ada yg bercakap bukan dalam bahasa Inggeris dia akan diadukan kepada prefect lalu kena saman ( fine) 5 sen. Seorang daripada kawan saya itu bernama Abdul Hamid, punyalah cerdek, mak tuan. Bermula dari SMC 1,2, lompat ke darjah lima, lompat darjah tujuh , lompat darjah 9 (School Certificate) terus ke England dan balik sebagai Geological Engineer. Dua puluh tahun lebih kemudian saya terjumpa denganya di Kuantan. Dia bekerja dengan Firma Quarry.

Sekolah dahulu tidak macam sekarang, murid murid dahulu semuanya takut dengan guru. Walaupun takut, kami cari peluang untuk berselisih dengan guru untuk mengucapkan, "Good morning sir" atau "Good afternoon sir" lalu cikgu membalasnya balik dan kami sangat gembira "very proud of it". Murid sekarang benci guru, mengelak dari bertemu cikgu. Mereka tidak bangga menjadi murid pada cikgunya. Tak tahu apa sebabnya.

bersambung.

2 comments:

  1. Pak Ngah,
    percaya atau tidak , masa saya darjah satu , saya bawa 30 sen ja...
    wah ! masa tu kalau Pak Ngah dah mula bawa 15 sen, kiranya nya sedap la juga.. anak cikgu Besar la katakan eheh.
    Zaman saya , 30 sen tu untuk beli gula - gula dengan keropok jer, air ? bawa bekal.. tak dak harapan nak beli makanan berat - berat !

    errr PakNgah , betul ke budak - budak perempuan dulu main Pendidikan Jasmani , pakai seluar pendek - seluar bola ? mak saya pernah cerita hal ni.. hehehehe...

    ReplyDelete
  2. Terra:
    Mungkin nasib auk kurang baik kot! Tak cukup tu, anak anak pakngah, pakngah beri lima puluh sen sehari seorang. Agaknya rezeki murah sikit. Dari PP, abang dia DD & Acai dan yg kebawah lebih dari itu. Anak pakngah yg kecik tu lagi teruk, kekadang RM 2/ pun tak cukup.

    Dulu soal pakaian jasmani di sekolah tiada garis panduan tertentu. Sekarang ni aje, orang muda suka mendedahkan semua sekalipun diadakan had had tertentu. Kita kembalilah kpd. yg benar, ok Terra.

    ReplyDelete