Followers

Thursday, March 5, 2009

Sepanjang hayat 29

Kembara ta berhujung 2. (...sambungan)

Naik perahu berinjin menongkah arus deras kepalang seronoknya, aduh!!! Apalagi bila percikan air yang menjarum, menusuk rasa sejuk dan nyaman melewati kulit muka yang mulai tegang dek panas mentahari, membuat kami amat teruja dan cukup terhibur. Pak Man memaut kemudi menyusuri dasar yang dalam, sekali kekiri sekali kekanan membuat perahu terliuk lintuk, menambahkan lagi rasa deria yang ceria sekaligus meninggalkan segala rasa dan masalah. Luncuran perahu jalur yg laju terus membelah arus dan buih berlari-lari, menari nari lalu kami tinggalkan jauh dan semakin jauh dibelakang, berlonjak lonjak keriangan penuh dengan sorak sorai.

Satu demi satu kampung dan dusun yang menghiasi tebing di kiri dan kanan kami lewati. Para ibu, dara sunti yang berkemban sedang mencuci kain atau mandi manda bersama anak anak kecil yg berbogel, tersenyum lebar lalu menyembah air ke arah kami sambil bersorak selamat jalan bang, selamat jalan...Sekali sekala kami terdedah kepada panahan mata hari pagi. Dikejauhan kilauan air berkelik kelik di cegar, berombak ombak halus di rantau yang tenang. Apabila sungai menjadi sempit tebing sungai semakin meninggi kami dapayungi pula cantuman pokok pokok kayu besar yang bertenggek ditebing itu sudah beratus tahun lamanya. Di tebing yang landai terbentang pula padang yang hijau bak lumut, diatasnya sang kerbau meragut rumput. Sekali sekala mendongak dagu memandang kami seolah menegur, "siapa pulakah yang datang". Di dahan pokok kera senekah gamat bertanya khabar, " nak kemana tu, nak kemana tu...". Kah kas kah kas bunyinya yang membawa makna "kami semua di sini, kami semua disini..." . Alangkah petahnya mereka menyambut kedatangan kami. Burung burung pula berterbangan bersimpang siur, sambil bernyanyi irama merdu bak serunai dan napiri mengiringi kami mudik. Unggas Unggas yang garau suaranya, " Uuuhg, uuugh", memberi isyarat kepada sang buas yang meraja di hutan dengan amaran, " jangan di ganggu sahabat sahabat kami yang datang dari jauh tu...".

Itulah kembara kami saban bulan. Kalau mudik Sungai Jelai Kecil, perhentian pertama
ialah di Lubuk Belida dikediaman Menteri Silih ( Menteri adalah gelaran yg di beri kpd ketua ketua kaum orang Asli atau Tok Batin). Tok Menteri akan menyambut kami dengan senyum lebar. Anak anak dara Tok Menteri turut sama menyambut kami dengan riang gembira sambil berbisik bisik sesama mereka. Kalau hari masih siang, kami teruskan perjalanan mudik hingga ke Kuala Kenik. Kalau tidak di rumah Menteri Silih akan menjadi rumah tumpangan kami. Setelah meninggalkan sedikit buah tangan seperti beras, tembakau dan rokok buat keluarga Tok Menteri, kami turun semula ke perahu sambil menghadiahkan seberapa banyak senyum terutama buat Milah anak dara Tok Menteri yang kiut berkulit hitam manis.

Setelah memutarkan injin bot, Pak Man akan melaung, "Mudik kitaaa..."Tok luan mestinya Malik badan besar, tidak akan senang duduk. Perhatiannya terus pada liku liku, jeram dan cegar, sambil memberi arah arus mana boleh dilalui. Air sungai Jelai Kecil semakin deras, semakin berkocak dan semakin mencurah lajunya. Tanjung tanjungnya tidak lagi melengkar jauh separuh keliling tetapi semakin pendek. Di siku tanjung, lubuk lubuk menjadi lebih dalam dan disitulah sang kelah bermaharajalela. Wan Kamar tidak sabar sabar menyediakan dynamite untuk di letupkan sebiji dua. Tengku Ismail siap sedia meraih trigger senapang patahnya, matanya berkisar ke kiri ke kanan mengarah ke tebing, mana tahu kok kijang, kok rusa turun minum akan menjadi lauk kami. Kalau tadi kami agak releks sekarang kena berhati hati, kemalangan mungkin boleh berlaku bila bila masa. Pak Man terus memacu, memutar tangkai kemudi, melonjak lonjak badan perahu dengan tekanan tinggi enjin boat mengaum bunyinya membelah kesunyian hutan. Penghuni kiri kanan tebing tentunya kera dan senekah senyap sunyi seperti ketakutan bila mendengar deruman enjin yang semakin kuat.

Tak berapa lama sampailah kami ke tempat di tuju, dimana perahu tak boleh dibujuk lagi. Enjin yang kepanasan dirihatkan. Kami semua memunggah barang barang lalu mendirikan khemah. Malik badan besar akan menanak nasi, menjerang air lalu menyediakan kopi. Pak Man , Wan Kamar, Razak, Hussin dan saya mencari cari lapang untuk melepaskan sedas dua. Betapa tidak! lauk apa makan nanti? Hampir senja jaring akan di pasang. Mana yg boleh menebar jala, jala sudah sedia. Pancing juga sudah dikenakan umpan. Peluru senapang patah sudah dimasukkan cuma menunggu triggernya diraih sahaja. Wah! masing masing dengan tugas masing masing.

bersambung...

8 comments:

  1. Salam pakcik,
    cerita pakcik ni mengimbau kenangan saya ketika menyusuri Sg.Tembeling kot...semasa saya pergi ke Kg.Mat Dulang...melalui..Tmn.Negara,dan melalui beberapa kg...hingga Kg.Bantal,mmg seronok,cumanya saya tak pernah dapat mkn ikan kelah,org sana citer ada bnyk kelah smpai diorang buat pekasam je..
    Salam,
    Hai.

    ReplyDelete
  2. Salam, Pak Hashim orang lama kat lipis..saya sebutkan lagi nama-nama ( bukan tokoh )yang dikenali sejak zaman 70an dan 90an, saya pasti ada diantara nama2 yang saya sebutkan ini kawan baik Pak Hashim :-

    1. Dahalan - ( Taiko - rapat dengan DYMM )
    2. Wan Hamid Bin Wan Majid
    3. Mr.& Mrs. Santa Singh
    4. Wan Badik
    5. Arw, Haji Ismail ( kuat mengilai )
    6. Pak Jamal Pemusik
    7. Raina ( Gemok)
    8. Arw, Hj. Othman Ismail
    9. Wan Yaakob - Kelantan
    10.Arw. Hj.Othman ( Clifford )

    ada banyak lagi nama2 yang akan saya sebutkan....termasuk zaman rumah rakit di sg.jelai Lipis..mungkin banyak nostigia.Pak Hashim yang boleh dikongsi bersama.

    ReplyDelete
  3. Salam Pakngah,
    Bila masa nak guna dynamite tu ?
    Tak hero langsung hahahaha...

    ermm dalam hutan begitu, tiada ancaman Pak belang atau babi hutan kah ?

    p/s Insyaallah kalau ada rezeki, saya akan turun juga ke Lipis dalam bulan Mac ini.

    ReplyDelete
  4. Hai,

    Salam...

    Memang menyeronokkan. Nak ulang lagi rasanya, tapi apakan daya badan dah tak larat lagi. Kawan kawab yg dahulu tu pun banyak bawah hal masing masing. Pak Man pemandu bot dan tok luannya pun sudah meninggal dunia.

    Pakcik belum pernah ikut sungai ke U. Tmbling.Belanjanya mahal sangat.

    Pakcik Hashim

    ReplyDelete
  5. Md.Suak, Salam...

    Mereka yg Md sebutkan itu adalah spt.berikut:

    1. Dahalan Taiko DYMM itu sudah meninggal dunia.
    Arwah semakin jadi baik di akhir akhir
    hayatnya.

    2. W.Abd.Hamid b W.Abd.Majid, bekas Penghulu
    Bandar Lipis masih sihat walaafiat. Pakcik
    tua 11 hari saja dpdnya. Dia bukan saja
    sahabat karib, malah macam guru pakcik pula
    dlm Ilmu Usulluddin.

    3. Santa Singh & Mrs.pakcik kenal sangat.
    Terakhir dia di Lipis ialah Pengetua Sek.
    Men.Ren.Setiawangsa. .Lepas tu dia mengajar
    BI.Mak.MARA Ktn (kalau tak silap).

    4. Dato'Wan Badik - Datu'Setia Muda. Diangkat
    menjadi Orangkaya Indera Maharaja Perba
    Jelai.Sudah meninggal dunia.

    5. Arwah Hj.Ismail yg suka mengilai, ayah kpd
    Imam Aziz Masjid Tempoyang dan bapak mertua
    kpd. Pak Ismail peniup Tenor Sexaphone. Dah
    lama meninggal dunia.

    6. Pak Jamal music - Kalau tak silap nama
    penuhnya Jamaluddin Rais, orang Raub.
    Penggesek biola lagu lagu berirama melayu.
    Juga sudah meninggal dunia.

    7. Hjh.Rabina @ Raina (gemuk & besar).Dulu
    orang kuat Wanita UMNO. Sudah meninggal
    dunia.

    8. Arwah Hj.Othman Ismail - bekas pekerja
    sekolah di Clifford. Bekas Imam masjid
    Tempoyang.

    9. Wan Yaakob - org Kltn.menetap di Lipis.
    Agaknya sdh lb 80 th umurnya. Masih boleh
    memandu. Dulu konttrektor.

    10.Arw.Hj.Othman - Steward Sek.Clifford. Lebih
    terkenal dengan panggilan Othman Labu. Org
    kuat Pengakap. Gemuk gemukpun boleh main
    badminton, pakcik pernah partner dgn dia.

    Cuba Md kemukakan mana tahu kalau kalau pakcik kenal.

    Pakcik Hashim.


















    6.

    ReplyDelete
  6. Terra Ida, salam...

    Eh!, jangan cakap kuat kuat fasal dunamite tu. ha ha ha. Kalau dah tak takut bawa explosive, apalagi dgn. harimau, ha ha ha...

    Tadi pagi pakngah sdh jumpa Uncle John kamu. Pakngah bawa dia minum minum di pekan Benta. Nampak benar dia macam org tua pdhal dia jauh muda dr p'ngah. Tp bla bercakap fasal dulu dulu, dia macam ok balik. Mmg kami dari satu rumpun. Pngah jemput dia dtg hari kahwin anak sdr p'ngah pd 14hb nanti. Dia pun dah terangkan mengenai Azizan tu, tp p,ngah masih tak ingat. Maklum p,ngah bukn duduk kampung sangat.

    Salam, pakngah.

    ReplyDelete
  7. Bong, ada orang-orang tua bercerita: Ada satu alur sungai yang turun dari Cameron Highlands, terdapat sebuah jeram, lubang jeramnya memasuki bumi dan keluar ke sungai Jelai Kecil sejauh 15 kilometer. Dikhabarkan, jika batang balak termasuk ke dalam lubang jeram berkenaan, apabila keluar ke sungai Jelai Kecil, hanya tinggal sebesar batang mancis aje. Ha ha ha....

    ReplyDelete
  8. Sdr Arisel, salam...

    Sangat menakjubkan. Sama ceritanya dgn Janda Baik. Air masuk dalam batu dan keluar dekat Lentang.

    Sungai Jelai Kecil, hulunya tidak di Cameron Highlands tetapi di sempadan Perak/Pahang juga. Menurut ceritanya, ada sebuah kolam yang sangat cantik jernih pula airnya. Sebahagian airnya tumpah ke Jelai Kecil dan sebahagian ke Perak, sungainya saya tak ingat, Sg. Slim ke atau Sg.Sungkai. Menurut cerita lagi kolam itu misterinya sangat kuat. Apa apapun kena minta dan bercakap dgn kolam itu. Salah cakap, orang yg bercakap itu terus tak balik, ha ha ha...

    ReplyDelete