Followers

Showing posts with label mat jan. Show all posts
Showing posts with label mat jan. Show all posts

Tuesday, November 2, 2010

Sepanjang hayat 169 - Nak Pusing 1 Malaya.

Pakwe Bogong, Mat Jan dan Pakngah berkira-kira nak pusing 1 Malaya dengan kereta. Siapa nak pandu kereta...?

Pakngah rabun jauh. Mat Jan takde lesen memandu. Pakwe Bogong rabun semua.

Anak cucu Pakwe dan Pakngah terbahak-bahak ketawa. Kelakar, kelakar, kata mereka. Menyuruh tidak melarangpun tidak.

Bini Mat Jan meraung-raung nak ikut sama.

Mesyuarat terakhir akan diadakan pada Hari Raya Idiladha ini.

Friday, October 15, 2010

Sepanjang hayat 167 - Wan Ali

Lebih kurang jam 12.00 malam 12 Okt.. talipon bimbit saya bergegar dengan bunyi tuk tik tuk tik.

“Hello! Waalaikummussalam, saya menjawab salamnya.

“Saya Ismail dari Perak. Pakcik belum tidur lagi ke…?”

“Belum lagi, masih mengadap komputer.”

“Samalah, sayapun gitu…”

“Pakcik! saya nak tanya sikit mengenai Wan Ali. Saya berasal dari Pahang dan sekarang menetap di Perak. Wan Ali yang dikatakan kominis itu mati ditembak adalah Tok sedara saya.”

Wan Ali kominis yang bergerak cergas dalam kawasan Jerantut / Lipis zaman itu (zaman dharurat) amat digeruni orang. Banyak orang putih (penjajah British) jadi mangsanya. Pun korbannya disasarkan kepada orang putih saja tetapi jika terkena orang bukan putih itu adalah kebetulan (masa perang).

Orang yang seumur saya tidak banyak yang tahu. Orang-orang yang lebih tua dari saya banyak yang udah tak ada, banyak yang udah kembali ke Rahmat Allah. Jadi, saya kurang tahu mengenai sejarah Wan Ali nih, dari mana asal usulnya, mengapa dia memilih jadi pengganas, di mana dia belajar ilmu dan siapa gurunya. Pakwe Bogong juga tidak tahu sebab masa itu Pakwe berada di kem tahanan Tanjung Beruas.

Setahu saya Wan Ali adalah bekas anggota PKMM yang diharamkan oleh British. Apabila diharamkan maka bercemperalah anggota PKMM itu lalu banyak yang kena tangkap dan banyak pula yang lari ke hutan lalu membentuk dan bergerak dalam Regimen ke 10 di bawah kepimpinan Rashid Maidin. Wan Ali seorang yang hebat, handal dan berjiwa kebangsaan. Pasukkannya merupakan duri dalam daging kepada pihak British masa itu. Kehandalannya amat gah, membuat pihak British jadi marah lalu mencari jalan supaya Wan Ali dibunuh. Akhirnya Wan Ali dapat dibunuh dengan menggunakan peluru khas. Mayatnya diarak disekeliling Bandar Lipis dan dipertontonkan kepada khalayak ramai. Mayat seorang Islam yang disakitkan jasadnya itu dikebumikan berasingan iaitu diseberang Bandar Lipis. Lepas itu cerita Wan Ali tidak lagi kedengaran. Sehingga hari ini tidak diketahui umum hatta kuburnya sekalipun.

Kepada Encik Ismail yang menalipon saya untuk menjejak kasih Tok saudaranya itu, saya minta maaf kerana tidak berapa jelas mengenai Pahlawan Melayu yang berjiwa kebangsaan menentang penjajah Inggeris bernama Wan Ali.

Saya pernah juga bercakap-cakap dan mengsyorkan, sekiranya ada NGO NGO Melayu yang mirip sejarah, sastera dan lain-lain supaya mengambil inisiatif menggali cerita-cerita mengenai Wan Ali, Manaf Jepun dan beberapa yang lain seumpamanya untuk dijadikan buku.

Wednesday, October 13, 2010

Sepanjang hayat 166 - Bertuah punye bini...

Anak Mat Jan yang baru lahir jantan. Lahir di sepital. Sihat walafiaat. Masuk yang ini sudah tiga anak lelakinya.

Teh nampak riang bila keluar sepital dan minta Mat Jan suaminya belikan pempes, puting nyonyot, takung tempat mandi, buaian enjut, minyak angin, susu bayi, bedak Johnson dan macam-macam lagi. Mat Jan naik pening sebab dia tak tau benda-benda ini selain tak tau di mana hendak dibeli dan duitnya tak berapa cukup.

“Misi-misi sepital tu suruh beli, mende-mende ini mustahak untuk bayi,” kata Teh.

Dulu tiga anaknya lahir dirumah, berbidankan bidan kampung, tak ada persiapan apa-apa selain dari menyedia dapur diang dalam rumah, carikan kayu api untuk berdiang. Tiap-tiap petang beramu mencari daun-daun kayu untuk buat serum dan bertangas. Dalam pantang makan nasi tak boleh bertambah, berlaukkan ikan talang kering dan sambal lada hitam. Minum air akar kayu yang disediakan mak bidan selama 40 hari. Sementara itu mak bidan – bidan Joyah sering datang untuk mengurut badan Teh. Hasilnya Teh tetap segar dan mengghairahkan. Bidan Joyah kata, aok nih boleh lagi beranak. Dan anak-anaknya yang hanya makan nasi dan ubi tetap montel dan sihat.

Kali ini Teh lain sangat, mintanya bukan-bukan. Sejak ada klinik desa Teh dapat macam-macam tips dari misi-misi Pejabat Kesihatan bagaimana harus mengurus rumah tangga dan anak-anak. Semakin banyak songehnya semakin teruklah aku menyembah pokok getah. Bertuah punya bini.

“Kita letak nama apa anak kita nih, weh abohnya! Misi kata, suruh cepat-cepat daftar.”

“Keh nok letak nama Mat Dom aje, Mat Dom bin Mat Jan,” jawab Mat Jan.

“Heeeh!, takde nama lain ke! Nama kampung. Orang biorlah canggih sikit, gaya nama arab ke ikut kitab atau ikut nama-nama pembesar Negara,” sergah Teh. “Bencilah keh nama gituh.”

“Dah tuh, nama apa?”

“Mahathir ke, Anuar ke, Abdul Aziz ke atau Lokman Hakim ke, Hishamuddin ke. Banyak lagi nama yang baik-baik,” lembut saja Teh membilang nama-nama itu satu-satu.

Mat Jan tersenyum mendengar bininya membilang nama-nama yang disukainya. Dalam hatinya berkata, nama aje cantik, jadah apa. Besar nanti entah jadi mat rempit, kaki gila, entah. Kalau jadi penoreh getah dan sekali sekala tolong YB kempen atau jadi driver kot, tahan juga, macam aku.

Wednesday, October 6, 2010

Sepanjang hayat 165 - Mat Jan pelik...

Pakwe Bogong, tiap-tiap malam suruh cucunya yang dah setahun menunggu masih belum dapat masuk mana-mana institusi pengajian tinggi, buka internet. Blog Kampung Syakirim – Kini dan Silam, katanya.

Bila terpampang wajah-wajah Rashid Maidin, Abdullah CD, Mat Amin, Abu Samah Kassim, Kamaruzzaman, Pak Sako, Ahmad Boestamam dan lain-lainnya, hatinya menjadi kembang dan seronok. Kotak fikirnya tiba-tiba melayang ke era itu – ke era perjuangan menentang penjajahan kolonial British. Dalam kata lain, ibarat orang menkaji, apabila lama tak bermuzakarah dengan kawan-kawan seperguruan, jiwanya jadi lemah dan layu. Dan apabila berjumpa dan berbual tentang kajian itu, seluruh tubuhnya gementar, mendadak darahnya menyirap menelusuri tubuhnya, lalu menjadi gagah, segar dan sihat walaafiat.

Begitulah Pakwe Bogong mengimbas kembai detik-detik perjuangannya yang semakin disisih orang dan menganggapnya satu perjuangn sia-sia.

Kenangan Pakwe Bogong pada kawan-kawan seperjuangannya terpantul melalui internet. Hanya melalui blog bantuan cucunya dia dapat bertemu semula dengan kawan-kawan seperjuangan. Media tanpa sempadan ini sekurang-kurangnya telah mencelikkan orang yang buta sejarah, katanya dalam hati.

Mat Jan pelik juga dengan pendirian bapa saudaranya itu. Pakwe sering bercakap mengenai perjuangan. Seorang pejuang mesti telus, jujur dan ikhlas dan tidak bersifat mementingkan diri. Justeru Pakwe tidak masuk mana-mana parti. Namun dia baik dengan semua orang parti baik parti pemerintah mahupun parti pembangkang. Dengan YB pun dia rapat. Semua program rakyat di kampungnya dia ikut serta.

“Masuk jadi ahlilah Pakwe, boleh pegang cawangan,” anjur Mat Jan dan kawan-kawannya.

“Bukan prinsip aku,” jawabnya ringkas.

“Pakwe ada wawasan, ada tiori, banyak idea dan pandai bercakap.” Tingkah Mat Joker.

“Boleh naik pentas,” tambah Mat Senyum.

“Dan boleh berpura-pura…,” sambung Pakwe sambil tersenyum lebar.

“Susahlah kalau begitu,” Mat Joker mengulas, “kita perlukan orang macam Pakwe nih untuk membimbing anak bangsa dan Negara. Bangsa kita melayu nih dah bercelaru Pakwe. Perkasa yang berniat baikpun hendak dipertikaikan.”

“Menda dah punah,” jawab Pakwe. “Ibarat air sungai yang keruh itu, kalaulah dari hulu mula keruh, sampai kehilirpun tetap keruh juga.”

Friday, October 1, 2010

Sepanjang hayat 163 - Mat Jan masuk ahli Perkasa.

Agaknya lepas masuk jadi ahli Perkasa, kok semua hal jadi tenang sikit, bisik Mat Jan dalam hati sambil kayuh basikal tuanya. Motor 2nd hand yang Pakwe Bogong janji nak dulukan duit mukanya entahkan bila jadinya. Sabarlah, pujuk hatinya lagi. Berakar-akarlah dulu sebelum dapat rotan!

Harapkan YB, PRU 13 nih belum tentu sangkut. Giliran penggantinya dah bergambar macam-macam pos. Ada pos bersongkok, ada pos berkot tali leher dan berketayap putih. Phuuuh! Cukup bergaya! Tapi kalau jadipun orangnya cengih sikit.

Haji Derus masih dengan lagu assobiahnya kulu kilir, nak menegakkan bangsa Islam. Bangsa melayu tak adapun taka apa. Nampak sangat melalutnya.

Tadi sembang-sembang kedai kopi, orang bercerita macam-macam tentang keadan semasa termasuk politik, sosial dan ekonomi. Mat Jan melongo aje, tak reti nak masuk daun. Namun serba sikit masuk juga dalam kepala hotaknya terutama bila mereka kata orang melayu masih ketinggalan dan bodoh berbanding dengan bukan melayu. Dan itu membuat dia hilang tumpuan kepada hal-hal siasah. Itulah aku, Mat Jan mengakui dirinya bodoh. Bukan aku saja macam itu, tentu banyak lagi. Orang bodoh macam aku boleh dicucuk idung maka pastinya ramailah orang yang kena cucuk idung. Itulah gayanya, orang bodoh jadi makanan orang cerdik.

Bodoh-bodohpun, aku tak menumpang orang. Aku ada rumah sendiri atas tanah airku sendiri. Dan negeri ini negeri orang melayu, negeri aku juga, tiba-tiba Mat Jan bertengkar dengan dirinya sendiri. Macam orang cerdik pula dia berbahas menegakkan keyakinannya.

Mat Joker kerani sekolah kata: video klip budak cina burukkan orang melayu, Kerajaan tak berani nak hendel. Budak melayu yang pandai buat video klip asyik berlegar hal-hal celah kangkang aje. Tak petriotik langsung. Apa salahnya video lawan video. Mereka kalau tunjuk pandai kita kenalah tunjuk pandai juga, baru kena buku dengan ruas.

Dalam pada berangan-angan itu, Mat Jan koner baring masuk simpang ke rumahnya, tayar depan basikal tuanya tersadung ke batu tajam lalu poncat. Dia terpelanting lalu tertiarap membaham tanah.

Anak jantan Mat Jan yang nampak ayahnya jatuh itu ketawa terkinja-kinja menerpa ayahnya yang berkecopong dengan taik lembu.

Thursday, September 23, 2010

Sepanjang hayat 162 - Mat Jan: Keruh dihulu, keruhlah dihilir.

Mat Jan tidak selincah dulu lagi. Dia lebih banyak menyendiri le ni. Barangkali banyak perkara yang merungsingkan fikirannya. Yang jelas keadaan hari ini yang tak menentu. Cuacanya: kalau panas, panasnya bukan main. Kalau hujan, hujannya bersekali rebut petir. Adakala guruh mengaung bagaikan taufan membelah langit tetapi setitik hujanpun tak turun.
Barangkali dia banyak memikirkan soal keluarga,, rumah tangga dan tanggungjawab yang semakin bertambah.

Baguslah Mat Jan kalau begitu. Tak ada faedahnya kehulu kehilir ikut lagak orang. Lagipun awak tu tak lebih dari seorang tukang sorak. Orang bertepuk tangan awak bertepuk tangan. Apa yang disorakkan dan apa yang ditepukkan haram tak tau.

Mat Jan banyak berfikir. Macam-macam difikirkannya.Apa tidaknya Mat Jan berbeka-beka. Keadan politikpun semakin huruhara. Entah mana satu yang betul. YB pun kadang-kadang ngiling kepala tak ketahuan hendak bercerita. Dalam radio, Tv dan surat khabar berita rompak, samun, bunuh membunuh menjadi-jadi. Cerita bunting tak berlaki pun satu hal, buang anak merata-rata. Dalam pada itu ada anak-anak ssyarikat mega kerajaan mengistiharkan keuntungan berlipat ganda. Pelik juga kerajaan suruh rakyatnya berpada-pada kalau berbelanja tapi untung banyak itu untuk siapa!

Harga barangan dipasar semakin naik, pulaknya banyak perkara yang tak boleh dibeli terutama yang dalam tin. Kata orang ada lemak babi.

Banyak perkara yang difikirkan Mat Jan. Air Sg. Lipis yang tak jauh dari rumahnya itu mengalir berkurun lamanya di situ, tak pernah seharipun jernih. Keruhnya sepanjang tahun. Musim kemarau kah, musim tengkujuh kah airnya tetap keruh. Sekali pandang dari jauh tak ubah teh tarik dikedai Habib Salim.

Siapalah yang mengeruhkan air sungai itu hahh! dia bertanya dalam hati. Dek keruhnya air Sungai Lipis orang sudah tidak tahu hendak mengagak tehur kah ataupun dalam airnya. Gamaknya, Mat Jan mengambil iktibar: kalau airnya keruh dihulu dihilirpun keruh juga.

Wednesday, July 21, 2010

Sepanjang hayat 157 - Mat Jan kecewa dengan World Cup

Mat Jan kecewa sebab buang masa tengok World Cup. Hapah tak dapat apa. Ghana yang diharapkan menang pun bungkus. Semua pasukan kulit hitam dari benua Afrika yang menjadi minatnya gulung tikar. Satu bulan lamanya bersengkang mata, buang masa begitu saja dan lalai alpa segala kerja buat yang sepatutnya dibuat. Heh! nyesal aku. Bodoh! Bodoh!

Dalam pada bodoh, bodoh itu Liga Super, Liga Perdana muncul kembali. Mat Jan menyaksinyanya macam makan gulai keladi kemahang masak tempoyak yang tak berasam garam. Lalu dia memutar channel Tvnya ke channel kesukaan anak bininya. Kepalang suka hati anak bininya lalu bersorak riuh-rengkak. Mat Jan mengambil keputusan tak mau lagi menonton bolasepak.

Gara-gara bolasepak dunia yang terlalu amat berasa berbanding liga tempatan yang tawar-heber Mat Jan menghadapi bulan Ramadhan yang suram. Bulan Ramadhan akan menguji ketahanannya.

- Anak keempatnya akan lahir bulan Ogos.
- Bekerja keras dalam bulan puasa,
- Semua kerja kena buat sendiri tanpa bini yang dalam pantang.

Wednesday, June 30, 2010

Sepanjang hayat 156 - Mat Jan Tukar Brand Rokok

Mat Jan dah jemu dengar orang bercakap fasal rokok. Harga rokok naik tiap tahun. Rokok tak bagus untuk kesihatan. Beribu-ribu orang mati sebab isap rokok. Namun rokok tetap dijual dimerata-rata. Naik sekalipun harganya orang tetap beli. Penjual rokok sanggup seludup rokok dari seberang laut. Maknanya rokok masih menjadi kegemaran ramai, masih menjadi keperluan manusia.

Anti rokok pula kempen menghisap rokok seperti menghisap darah sendiri. Tiap kali sedutan, tiap batang yang dibeli dan tiap kotak yang dibelanjakan seperti memendekkan jangka usia, meningkatkan orang sakit jantung dan barah dan di atas segala-galanya menyumbang ke tabung kewangan Yahudi untuk menjahnamkan manusia perokok yang bukan yahudi.

Pihak kerajaan pula kempen bukan main ketat. Merokok ditempat awam salah, tangkap dan denda beribu ringgit dan jel bertahun-tahun. Baru sekarang Kerajaan sedar, sedangkan umur rokok dan orang merokok lebih lama dari merdeka. Agaknya rokok dan orang merokok lamanya hampir sama dengan wujudnya pokok tembakau.

Setakat menaikkan harga rokok, buat poster bahawa rokok membahayakan kesihatan, bukan alasan yang konkrit. Sepuluh ringgit sekotak bukan masalah. Benda ada depan mata dan duit pula ada. Kalau peniaga sanggup menyeludup, perokok pula sanggup mencuri menyamun, sudah cukup membuktikan bahawa rokok itu adalah barang perlu. Perlukah rokok dikawal!!!

Itulah kesimpulan Mat Jan mengenai cakap-cakap orang mengenai rokok. Tok kawan hisap rokok, cerutu dan paip sampai umur 84 tahun baru mati, dakwanya depan kawan-kawannya. Pakwe Bogong hisap rokok lebih lima puluh tahun tapi dia guna daun pucuk dan tembakau tepek buatan tempatan. Badannya sihat semacam. Pakngah juga penghisap rokok tegar dan le ni kurang sikit sebab doktor marah. Dalam pada itu Pakngah curi curi juga menghisap rokok daun. Itulah kalau dah ketagih.

Dengar YB bersembang dengan kawan-kawannya, rokok, arak dan sex adalah senonim , tak boleh dipisahkan. Apa! orangputih cakap seingat kawan kalau tak silaplah YB kata: Smoke like a chimney, drink like a fish and sex like a dog. Kata YB lagi tiga perkara nih sampai kiamatpun tak hapus.

“ Amboi! Cakap orangputih aok ye Mat, tak mudah aok,” celah Mat Bagak yang tak merokok. Yang lain yang mendengar riuh rendah ketawa ke Mat Jan. Mat Jan menyegih riang.

“Kawan le ni kena ikut cara Pakwe isap rokok daun. Daun pucuk tigapuluh sen seikat. Tembakau cap kuda lapanpuluh sen setepek. Jadi belanja rokok kawan tak sampai singgit sari, hu hu hu...”

Thursday, June 3, 2010

Sepanjang hayat 153 - Mat Jan baca surat khabar.

Mat Jan baca surat khabar.

Disuatu pagi yang tenang, Mat Jan membaca surat khabar Utusan seorang diri di kedai Habib Salim sambil minum. Nampak ada kepayahan diwajahnya yang sesekali berkerut. Fasal hurufnya yang halus ke atau kefahamannya yang terhad, tidak berapa jelas. Wallah huaalam...

Pakwe Bogong sedang dikerumuni budak-budak kampus yang baru balik bercuti semester. Ramai juga budak-budak kampung yang lepas ke Menara Gading rupanya. Lalu pakwe mengajak budak-budak itu minum.

Kembang hati Pakwe bila dia menjadi perhatian budak-budak kampus. Ada yang masih ditahun satu, tahun dua malah ada yang sudah ditahun akhir dalam berbagai bidang. Dalam hati Pakwe berkocak: baguslah anak-anak bangsaku, banyak yang mengaji di peringkat tinggi. Harap-harap mereka maju dan berkeliber.

“Bila kampung kita nih nak maju, Pakwe, “ tiba-tiba terpacul pertanyaan dari seorang budak-budak tu. Terhenti Pakwe mengangat cawan ke bibir untuk meneguk kopi yang masih berkenjut.

“YB kita buat apa, ya! Pakwe,” satu lagi pertanyaan dari seorang lagi bakal cendikiawan. Bungkam Pakwe dibuatnya.

“Eh! Kampung kita ni dah maju sebenarnya, berbanding dengan empat lima puluh tahun dulu. Jalanraya depan kita nih hah, dah tiga kali ganda lebarrnya. Dalam kampung ada jalan. Le nih dewan dah ada, klinik ada. Sekolah dah besar. Kemudahan air , api ada. Semua rumah orang kampung dah pakai TV, ada astro pulak,” Pakwe bagai air hujan mencurah-curah mengeluarkan hujah.
Berderai semua budak-budak universiti itu ketawa. Lalu Pakwe menyambung lagi. Selama puluhan tahun kita merdeka kita sudah sampai ke tahap ini bermakna kerajaan sendiri lebih baik dari kerajaan penjajah. Penjajah British yang memerintah negara kita beratus tahun lamanya, apa yang deme beri? Asyik memunggah harta kita ke England. Satu ketika England hampir bengkrap, kalau tak ada bijih timah, emas dari negeri kita nih.

Tercengang-cengang budak-budak universiti mendengar hujah Pakwe.Tak terfikir langsung, kesitu Pakwe membawa mereka berfikir. Mat Jan dimeja sebelah berseorangan membidik surat khabar sekali dijauhkan dan sekali dirapatkan, menoleh ke arah meja Pakwe. Dalam hatinya berkata, sakit budak-budak ni kang dengan Pakwe.

“Merdeka kita nih ibarat rumah dah siap, tinggal lagi mengisi segala keperluan seperti perabot dan lain-lain saja yang belum. Atau ubah suai dimana perlu”

Mahmud Rafaie yang sudah ditahun akhir di focality ekonomi UM cuba memintas Pakwe dengan mengemukakan persoalan ekonomi negara seperti DEB, MBE, MPM, globalisasi, Idris Jala bernama melayu tapi bukan Islam dan macam-macam lagi.

“Bagi Pakwe mudah aje. Kalau kerajaan kita tidak terlalu ghairah dan lahap dengan mengisi tembolok sendiri, negara kita tak boleh jadi susah. Fikirlah deme, England kita boleh tanggung inikan pulak rakyat kita yang baru nak mencecah 28 juta. Lagi satu, pembangunan negara tak seimbang. Kerajaan melebihkan pisikal dari mental.” Masing-masing semua senyap seketika. Lalu Pakwe menyambung.

“Contoh mudah, disebelah kita nih hah, Mat Jan. Dah berapa lama naik basikal cabuk. Orang lain dah mencanak kulu kilir dengan motor......”

Terbeliak mata Mat Jan memandang arah Pakwe. Merengus sambil menghempas meja lalu keluar. Tersentak budak-budah tu. Pakwe tersengih, sambil berkata, “ Itulah orang yang jarang-jarang baca surat khabar.”


Friday, May 28, 2010

Sepanjang hayat 152 - Lembu kurus Mat Jan jadi isu

Lembu kurus Mat Jan jadi isu.

Mat Jadi, menjadi-jadi geramnya pada Mat Jan yang dapat bantuan lembu. Tak puas-puas dia menjejer keseluruh kampung memburuk-burukkan Mat Jan dan pihak Kerajaan termasuk YB. Apabila ketidak-puasan hati Mat Jadi sampai ke pengetahuan pihak pembangkang terutama Haji Derus, banyaklah orang memperkatakan soal itu. Lalu kes lembu Mat Jan jadi isu politik. Ada yang memandangnya sebagai serius dan ada yang acuh tak acuh. Tak cakna.

“Buat mende bising-bising fasal lembu kurus Mat Jan tu. Kerajaan macam melepaskan batuk ditangga je,” Mat Senyum, tersenyum-senyum buat komen.

“Me rupa tu, kurus kering, baik tak payoh,” celah pula Mat Bagak yang bertubuh sendol.

“Aokme tak mikir,” sergah balik Mat Jadi, “ Kalau YB nak adil, biorlah adil betul. Sekurang-kurangnya dua tiga orang, orang kampung kita nih dapat . Apa lebihnya Mat Jan, anak sedara asal usul komunis tu.”

Kalau kemuncak marah Mat Jadi sampai ketelinga YB dan Pakwe Bogong, mahu rasanya Mat Jadi kena penampar Pakwe. Celupar amat mulutnya. Keluarga Pakwe bukan sedikit di kampung tu. Mereka pasak kampung. YB pun bukan orang lain dengan Pakwe.

Isu lembu kurus Mat Jan jadi besar. Tok 4 masuk campur. Tok Imam Mat Som turut campur. Tok Penghulu berdeheng serba salah. Hendak diperbesarkan, perkaranya kecil. Dibiarkan begitu saja, orang-orang parti pembangkang soksek-soksek tak berkesudahan.

Lalu akhirnya YB buat pengumuman depan Tok Penghulu, Tok 4, Tok Imam termasuk Pakwe: “ Kabor ke Mat Jan, nanti gemuk sikit lembu tu kita sembelih buat kenduri kat masjid. Jemput semua orang kampung makan.”

Mat Jan terpinga-pinga bila hal itu diberitahu. Teh meleleh airmatanya sambil memerhati lembu jantannya yang mulai mengawan.

Tuesday, May 11, 2010

Sepanjang hayat 150 - LEMBU MAT JAN BUKAN JENIS DAGING, TENUSU TETAPI SUP.

Berduyun-duyun orang kampung datang menengok lembu Mat Jan. Mat Senyum datang , Haji Derus datang dan Pakwe Bogong pun datang. Cerita ni kalau Pakngah tahu, diapun mungkin datang . Tak ada lagi dalam sejarah, orang kampung dapat bantuan lembu kerajaan macam Mat Jan. Mat Jan dikira bertuah. Banyak yang memuji dan tidak kurang pula yang mengeji. Biasalah orang kampung.

“Macam mana aok dapat lembu nih Mat, Sapa yang tolong. Kenapa aok sorang je kena panggil kursus.” Mat Jadi menarik Mat Jan ketepi mendesak, macam mana dia dapat, siapa menolongnya. Mat Jadi ada gaya tak puas hati sebab Mat Jan seorang saja yang dapat. Apa hal dengan orang lain. YB tak patut. Kena jumpa YB ini, sungut Mat Jadi bersungut kehulu dan kehilir..

Tak terlayan Mat Jan dek pertanyaan orang yang bertalu-talu dan macam-macam itu. Orang parti pembangkang pun datang buat komen.

“Ini lembu bantuan yang aok dapat, Mat! Empat ekor lembu sakit kurus melengking,” komen Haji Derus mencemuh. “Orang dapat bantuan lembu daging, Lembu tenusu, aok dapat lembu SUP, ha ha ha...”

<<<>>>

Mat Jan balik dari kedai, tersenyum, menyengih sampai ke telinga. Hati Teh macam tergeletek melihat gelagat lakinya.

“Matnya aok tersengih nih macam kerang busuk je!” tegur Teh gelihati.

“Tadi, Pakwe Bogong beri keh seratus, suruh baiki kandang. Pas tu, dia kata suruh keh pergi ke Pejabat Haiwan minta nasihat, mintok ubat lembu.”

“Haah! Itulah aok, maroh-maroh ke Pakwe. Gaya je Pakwe tu bengkeng tapi marohnya mende betul. Kalau Pakngah tau entah berapa pulak dia beri,” Teh memberi harapan pada lakinya, biar dia sedar sikit.

Senyum Mat Jan terus memunjut. Hatinya kembang bagai selasih direndam. Dia memuju-muji pakwe, bapak saudaranya itu dalam hati, hingga tak tersedar dia terdorong bininya sampai jatuh terkangkang atas katil.

“Eh!.. Eh!.. Eh!.. Matnya aok nih dah gile ke...”


Monday, May 3, 2010

Sepanjang hayat 148 - Lembu Mat Jan

Mat Jan tiba-tiba dapat surat pergi kursus. Ini cerita lama. Dah lebih setahun cerita kursus itu, baru sekarang timbul balik.

"Cakap aje nak beri 10,000 RM. Senang ke nak keluar RM 10,000. ," bebel Mat Jan dalam hati.

"Kerajaan akan memberi bantuan RM10,000.Sepuluh ribu bukan sikit," kata pegawai yang memberi kursus dengan muka serius. Dua malam satu hari Mat Jan dan tiga puluh sembilan yang lain dari seluruh negeri dijemput menghadiri kursus di Cherating. Makan free, tidur free dan mandi lautpun free.

"Dengan bantuan tersebut kerajaan akan sediakan projek.Kamu boleh pilih satu sama ada ternakan lembu, kambing, ayam, itek telur atau pertanian seperti tanaman pisang, tebu dan sayuran." Jelas pegawai kursus itu.

"Wang sepuluh ribu ini tak perlu bayar balik. Jadi kamu kenalah jayakan projek itu masing-masing dengan sempurna. Jangan sia-siakan duit kerajaan." sambung lagi pegawai kursus itu dengan muka menyampah.

"Saya pilih lembu," kata Mat Jan tersengih.

"Saya pilih ayam," bangun pula Mat Jamin.

"Saya kambing," songeh Mat Jak. Semua para kursus tergelak.

Dan seterusnya peserta kursus memilih projek masing-masing dengan riuh rendah sebutir dewan. Semuanya riang dan girang. Masing-masing akan dapat wang RM10,000.

<<<<>>>>>

Pada suatu tengah hari, sedang Mat Jan berkeruh dianjung, bininya mengaih-ngaih kerak ayam dikepala Mat Jan dengan sikat dan anak-anak mereka bermain dilaman, tiba-tiba berhenti sebuah lori dihadapan rumah mereka. Keluar dua orang pegawai, barangkali pegawai rendah sebab tidak pakai tai,sambil mengepikm fail lalu bertanya sama ada rumah yang mereka datangi itu rumah Mat Jan.

"Iya, jawah Teh, "Ada apa encik."

"Ayooooh," jerit anak sulung mereka memberitahu ayahnya ada orang datang.

"Ada apa encik?" Mat Jan bingkas sambil menggesek mata dengan dengan belakang tapak tangan.

"Ada lembu bantuan kerajaan untuk cik Mat."

"Oh!" Mat Jan baru teringat kursus yang mereka pergi dulu dah lebih setahun lamanya.

Pegawai itu mengarahkan pemandu lori supaya undur ke laman rumah. Nasib baik ada tebing sikit maka bolehlah lembu-lembu itu diturunkan dengan selamat. Mat Jan tersenyum puas sambil mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada pegawai-pegawai yang bersusah payah itu.

"Cik Mat bertuah, sebab yang sekor yang gemuk sikit tu bunting."

<<<<<>>>>>>

Dua hari Mat Jan tak keluar kemana-mana. Asyik mengembala 5 ekor lembu yang diberi kerajaan.

"Lembu ayoh deme nih kurus amat," kata Teh. "Entah lembu mana disembat orang tu beri ke aok"

Mat Jan menggaru kepala tak bercakap. Pulaknya, lembu betina yang gemuk sikit tu yang dikatakan bunting tu tak mau makan. Mulut dan hidungnya nampak berlenja sejak semalam. Dalam hati Mat Jan bersungut: sakit agoknya, nok mampus kok.

Dua hari lepas itu, lembu betina yang gemuk sikit yang dikatakan bunting itupun menghembuskan nafasnya.

Wednesday, April 14, 2010

Sepanjang hayat 143 - Mat Jan diantara Pakwe vs Pakngah Pt2.

Pakwe dan Pakngah, dua-dua bapak saudara aku, bisik Mat Jan dalam hati. Nak aku lawan kang, dua-dua bapak saudara. Satu belah ayah, satu lagi belah mak. Pulaknya kedua-dua itu bersepupu. Mereka orang tua. Dua-dua berduit. Dua-dua bijak. Tapi kedua-duanya tak memihak langsung ke aku. Pening kepala, aduh!

Sampai dirumah Mat Jan main lancar saja basikal cabuknya bawah rumah. Bergeredam bunyinya terlanggar tong kosong.

Dianjung Mat Jan tersandar atas kerusi rotan menyedut rokok cap bola dalam-dalam. Asapnya berkepul berpuing-puing atas kepalanya macam malas nak pergi. Angin langsung tak bertiup. Kepalanya masih lagi berdenyut-denyut. Wajah Pakwe dengan wajah Pakngah bergilir ganti bermain dalam otaknya.

Teh yang terkejut bunyi tong bawah rumah tadi, mengintai-intai siapa pulak yang buat hal.

“Matnya aok muram je? Mana mende yang keh suruh beli tadi,”

“Ini seme Pakwe punya fasal. Sampai terlupa keh mende aok pesan tu.”

“Ini mesti bertengkor dengan Pakwe ni”
“Iyalah, Pakwe tu teruk sangat. Dia buat kita macam budak-budak. Baik Pakngah baik Pakwe sama aje. Benci aku!

“Yang keh tau, Pakngah, Pakwe tuh, seme baik belaka dengan kita. Bila mereka datang tak pernah maroh-maroh. Bagi duit lagi ada,” jawab Teh.

Apa yang mereka, Pakwe dan Pakngah salu cakap, beri ingat supaya jaga anak laki dengan baik. Buat kerja, jangan buang masa tak tentu arah. Buat usaha kecil-kecil tanam lada, serai, kesum, kunyit, kacang botol dan lain-lain. Sekurang-kurangnya lepas buat makan sendiri. Kalau ada lebih, jual. Kumpul duit, simpan untuk masa depan. Kabor ke Mat tu, suruh jaga kebun baik-baik, tebas sikit-sikit. Jangan duk melalak je. Sekejap kesana kejap kesitu. Pantang dengar orang kempen, pegi. Teh pulak menyembat cakap-cakap Pakwe dan Pakngah.

“Aok pulak nak bersarah kat keh. Keh ni seme tak kena, seme salah. Macam nih bior keh lari ajelah...”

“Nak lari! Nok tinggal ke kome nih. Sanggup aok tengok biji mata bebudok tu kebulur. Hah nih! hok dalam perut keh ni, tak sian aok.”

Terkebil-kebil biji mata Mat Jan memandang perut bininya macam bergerak gerak gayanya.

Tuesday, April 6, 2010

Sepanjang hayat 142 - Mat Jan diantara Pakwe vs Pakngah Pt1

Mat Jan mencapai basikal Sudirman ke kedai Syed Abdul Halim. Dia nak jumpa Pakwe Bogong. Dia tak puashati tentang pendapat Pakwe bahawa dia tak boleh maju kalau main ikut-ikut buntut YB. Pakwe tidak nampak, kurang perhati dan tidak mengikut peredaran masa. Pakwe tidak ada wawasan. Orangtua yang diselaputi angin keras kepalanya sendiri yang kononnya penuh ideology dan prinsip-prinsip yang lapuk. Orang dah maju kedepan awak masih minum dikedai kopi kampung lagi.

Mat Jan menyandarkan basikalnya dibawah pokok ceri yang rendang dihadapan kedai Pak Syed, lalu terus masuk ke dalam kedai.

“Hah, sini Mat Jan,” tegur Pakwe Bogong. Mat Jan tersentak, terperanjat melihat Pakwe yang tersenyum, sudah berada disitu. Mengikut langkah, Mat Jan siang-siang dah kalah kepada Pakwe Bogong dalam apa-apa juga persaingan sebab Pakwe yang nampak dan tegur dia dulu. Mahu tak mau dia kena duduk semeja dengan Pakwe Bogong juga.

“Pakwe dengor kamu menyirap kat aku, Mat” Pakwe Bogong mendahului Mat Jan. Mat Jan jadi panik sebentar. Malu-malu alah, lalu sepontan menjawab.

“Doklah Pakwe, saja nak acoh Pakwe tuh.” Tersengih.

“Kamu pegang jawatan apa dalam parti, Mat?”

“Tak ade mende.”

“Pemuda?”

“Dok juga.”

“Laa! Jadi ahli biasa ajelah. Me gitu, setakat main pak turut aje, tak payahlah, Mat. Baik buat macam Pakwe ni. Duk diam tak memihak kemana-mana.” Pakwe memperobok Mat Jan.

“Zaman dah berubah, Pakwe, kita kena sokong parti yang memerintah. Takkan kita nak sokong pembangkang pulak. Kita kenalah ada wawasan.”

“Yang berwawasan tu YB, bukan kamu. YB ada gaji, ada elaun, ada macam-macam duit masuk. Ada cita-cita nak jadi menteri. Kontrek sana kontrek sini. Bila dia tidak dikehendaki lagi esok, dia ada pencen. Banyak duit simpan. Kamu apa ada? Mana pencen kamu?”

“Itulah Pakwe, Pakwe cakap sikit duit, cakap sikit duit. Kita nok ke duit lah ni sebab tu kena bantu YB.” Mat Jan macam naik bosan dengan Pakwe. Cuping telinganya mula naik merah.

“Ha ah! Duit tulah pentingnya. Minum kedai Pak Sayed ini kalau takde duit haram tak dapat, tau. Kamu tu, orang lain dah brrroomm brrrammm dengan motor, kamu masih dengan basikal cabuk tu lagi, apa jadah”. Pakwe dah mula naik angin.

Mat Jan cepat-cepat minum lalu keluar. Dalam kepalanya berdenyut-denyut: “Sama aje Pakwe dengan Pakngah, berleter, tak abis-abis.”

Tuesday, March 30, 2010

Sepanjang hayat 141 - Mat Jan Terpukau

Teh, bini Mat Jan sudah pandai pakai baju bunting sekarang. Iyalah, berkat rajin berulang alik ke klinik desa di kampungnya. Dia bagaikan mendapat angin baru dan ingin memajukan cara mengendalikan anak-anak, rumah tangga dan juga menjaga kesihatan serta kecantikan. Misi-misi, jururawat klinik desa semacam memberi kursus kepada para ibu yang bakal bersalin. Justeru Teh sudah mulai kurang berkemban bila dirumah. Dia sudah mulai pakai gaun atau pregnant blouse bila berjalan-jalan. Dengan cara itu Teh kelihatan lebih menarik dan seksi. Rambutnya disikat rapi gaya ekor kuda. Tidak lagi mengerbang seperti sebelum ini. Pipinya yang kian montok itu disapu bedak dan berbedak sejuk bila malam. Keliling matanya kelihatan hitam selepas bercelak dengan celak Makah yang diberi Makwe Joyah yang baru balik dari mengerjakan umrah. Mat Jan terpukau.

Mat Jan kadang-kadang tidak perasaan yang berjalan dihadapan bersama ibu-ibu yang lain itu bininya.

Hati Mat Jan kadang-kadang berderau juga melihat perubahan ketara yang berlaku dalam rumahnya, terutama bila melihat bininya semakin galak berhias dan berkemas. Tidak lagi berkemban macam dulu. Teh yang bulat berkulit putih bila berpakaian kemas, bersikat lurus kebelakang dengan ekor kuda dan bercelak menjadikan Mat Jan malas nak bergerak. Dalam rumah nampak teratur sikit, tidak macam selalunya bersepah rah.

Yang membuat hati Mat Jan bercelaru ialah dia bimbang keketaraan itu sampai disedari orang kampungnya, kawan-kawannya. Ada rasa cemburu pula dalam hatinya. Lalu dia menelek dirinya yang akhir-akhir ini khusus selepas disondol babi, jantannya semakin menurun.

“Bukan main aok yek, melaram aje nampak le nih,” tegur Mat Jan.
“Matnya, keh nih nampok lawo ke, pada aok.”
“Hoh lah!. Risau juga keh. Anok dah nok masuk empat weh.”
“Kok cantik, kok lawo pun bini Mat Jan gok kata dek orang.”
“Budok-budok maneh?” Mat Jan mengalih cerita.
“Entoh, tadi baru lagi bermain-main bawoh rumah tuh.”
“Mohlah kita masuk,” Mat Jan mencubit pipi Teh yang gebu.
“Heh! Jangan nok mengada. Merepek, siang-siang giler nih.”

Wednesday, March 24, 2010

Sepanjang hayat 139 - Mat Jan kena lagi.

“Macam mana pakwe boleh terer sangat cakap politik ni pakwe”

“Iyalah pakwe ni, bercakap macam orang ada tokoh aje, pakwe belajar kat mana?”

“Sapa guru pakwe?”

Budak-budak bertanya pakwe Bogong. Ada penuntut-penuntut IPT, budak-budak maktab yang mengerumuni pakwe. Mereka budak kampung yang balik cuti semester.

“Pakwe mana ada pergi sekolah, jawab pakwe. Lepas zaman Jepun umur pakwe baru masuk lima belas tahun. Orangtua pakwe hantar pakwe pergi mengaji pondok. Dipondoklah pakwe boleh mengaji Quran, belajar hukum-hukum hakam, fekah, tauhid, tasauf dan belajar bersyarah pun. Bila pakwe menjangkau umur sembilan belas, dua puluh tahun, pakwe tertarik dengan gerakan menentang penjajah ‘Mat Saleh Gampang Celaka’ tu. Dari situlah pakwe mula berjuang, bukan berpolitik. Perjuangan kami ada garis-garis tertentu, ada ideology, ada doktrin. Perjuangan kami bukan ikut nafsu macam orang sekarang. Diatas kesedaran, kami berjuang untuk bebas dari belenggu penjajahan yang zalim. Kami sanggup mengangkat senjata untuk mempertahankan tanahair yang tercinta ini."

Tapi, dalam masa sama, ramai pulak orang melayu yang belot. Sokong orang putih. Mereka desak raja, nasihatkan raja, orang putih bagus.Mereka sokong kerana nafsu, pangkat dan wang ringgit. Dalam hati mereka tidak ada kesadaran yang mendalam. Tidak ada semangat jiwa bangsa macam Sukarno, macam Gandhi, macam Muhammad Ali Jinnah. Tidak patriotik. Perkataan patiotik pun baru sebut dalam masa sepuluh duapulah tahun ini aje. Kami dah sebut perkataan patriotik lima, enam puluh tahun dulu.

Lalu pejuang-pejuang hilang punca , bercempera. Mana yang tak sempat lari, kena tangkap. Pakwe kena tangkap masuk kem Tg.Bruas 5 tahun. Dalam kem pakwe belajar macam-macam selok belok politik. Kami belajar meramal masa depan politik dunia.

“Apakah kemerdekaan kita sekarang ini didapati dari cara yang salah, pakwe?” tanya budah-budak tu.

“Pakwe tak kata gitu”

“Dari segi moralnya,” sambung pakwe lagi, “kita telah menjadi bangsa (melayu) yang lemah, senang diperkotak-katikkan. Kita tidak ada kesedaran yang mendalam. Kita tidak ada pegangan dan konsep perjuangan yang boleh dibanggakan sampai bila-bila. Kita sekadar bergantung dengan orang lain.”

“Tapi, kita dah merdeka sekarang pakwe. Kita sudah berkerajaan sendiri.”

“Benar, pakwe tak menyangkal semua tu. Mana boleh nak tarik balik mende yang dah lepas ke depan. Mustahil. Apa yang pakwe nak tekankan ialah kita mesti ada tanggungjawab dan kesedaran yang gigih. Kita kena buktikan bahawa orang-orang melayu betul-betul merdeka di tanah airnya sendiri.”

“Macam mana pakwe?”

“Maknanya kita hidup di atas tanah air kita sendiri, buat kerja sendiri, kita tak mengharapkan bantuan orang.

“Betul apa, pakwe. Memang menjadi amalan kita... kerajaan kita...”

“Apa yang pakwe tengok le ni, orang-orang macam Mat Jan ini sampai kiamat pun tak akan dapat tahap merdeka. Ikut buntut YB apa jadah. Dapatlah makan free, duit rokok free.”

Terbeliak biji mata Mat Jan memandang Pakwe Bogong.

“Apa yang kita mau, kita peralatkan YB tu untuk kita berjaya.”

Thursday, March 18, 2010

Sepanjang hayat 137 - Mat Jan kena Leter

Yang kamu sibuk-sibuk ikut buntut YB kulu kilir tu buat apa? Apa yang kamu dapat?. Pakwe Bogong pulak berleter ke Mat Jan.

“Sudah-sudahlah tu, Mat. kita nih orang susah. Buatlah cara orang susah. Kamu tu anak dah nak masuk empat. Berjalan pun lepas sondol dik babi ari tu tak berapa nak betul lagi. Baik kita buat kerja kita, buat kerja sendiri. Kalau menoreh, menoreh sungguh-sungguh perentan (masa) harga getah naik ni. Esok bila turun, apa nak kata! Ada duit sikit-sikit simpan untuk anak-anak aok nok sekolah besok, untuk masa depan.”

“Tak usah nak politik politiklah. Bior ke deme aje, politik ke pelir itik ke. Kita, sampai masa mengundi, kita mengundi. Sapa kita nak pangkah, itu hal kita. Rahsia!.”

“La pakwe pun, le ni jaman maju, tren maju kita kenalah buka minda sikit. Jangan orang kata, macam katak bawoh tempurung pulak”

“Takde ke tren menerennya. Kalau dah sekolah atap tak sekolah ongputih, jangan nak mengarutlah. Tengok pakwe ni, dah hidup dalam tiga jaman. Jaman penjajah, jaman jepun, bintang tiga, ongputih balik dan le ni jaman merdeka, cara perentahnya celaru semacam. Tapi pakwe tetap nasionalis. Pakwe berjuang sejak jaman Dr. Burhanuddin, Ibrahim Yaakob, Ishak Hj.Muhammad, Ahmad Boestamam menentang penjajah sampai kena tangkap, merengkok dalam penjara Tanjung Beruas 5 tahun, apa dapat?” Pakwe Bogong berleter pada budak-budak muda yang kulu kilir buntut YB.

“Kome dulu berjuang, ongputih tak iktiraf. Ongputih iktiraf Ameno maka Amnolah yang memerintah. Kita ikut ajelah kerajaan le ni. Tak payahlah songeh-songeh ikut lagak orang.” Pakwe Bogong membuka sejarah perjuangan hidupnya.

“Pakwe, lepas tahanan Tanjung Beruas, Pakwe balik, terus buat kerja kampung. Pakwe buat tanah haram, tanam getah sampai 20 ekar, sebab Pakwe tau negara kita akan menghadap implasi.”

Ambil contoh perang Korea lawan Amerika. Orang Korea Utara tak menang kalau mereka tak simpan, tak sedia barang makan untuk selama 30 tahun. Tigapuluh tahun lamanya perang itu, akhirnya Amerika lari...Jadi kita kena simpan duit buat harta sikit-sikit, beri anak-anak pelajaran. Tengok anak pakwe, semua sekolah sampai universiti, ada yang jadi DO pun. Le ni pakwe dah tua, dah tak payah kerja. Pakwe tak harap duit anak-anak. Getah pakwe ada. Makan tak perabis, hari-hari duduk kedai kopi, kata pakwe Bogong.

Mat Jan tercengang. Baru inilah dia dengar leter Pakwe Bogong. Tak sama dengan leter pakngah.


Saturday, March 13, 2010

Sepanjang hayat 136 - Mat Jan sesak duit.

Pejam celik, pejam celik, hari dah berganti minggu, minggu ke bulan dan tahun baru macam dah usang. Tengah-tengah menoreh ada orang meninggal. Tengah-tengah menoreh, orang ajak gali kubur. Tengah-tengah menoreh, orang ajak merembat.Tengah-tengah menoreh YB pulak panggil minta tolong urut badan. Dalam pada itu Hj. Derus bukan main kuat masuk jarum.

“Rasa keh nok ke Lepih jumpa Pakngah” rengik Mat Jan depan bininya. Ada gaya nak minta duit tambang bas. Hari dah mula panas susu getah tak berapa nak meleleh. Duit pun kering lalu.

“Aok nok bawak mende, ke Pakngah tuh. Musim kering nih, buah-buah takde. Kantan tak berbunga, daun kesum tirus-tirus makan dik ulat, ulam raja kerenting kurus. Ubi kayu dah melawas, keledek kemili jangan sebut, petai berpucuk muda. Kalau ada pun jering kor ( jering semai ),” Teh berleter bacanya satu-satu.

“Iye tak iye gok, memang Pakngah marah kalau tak bawok mende. Ari tu keh bawok ikan lawang 2 ekor, dapat tiga puluh ringgit, Pakngah beri, hu hu hu...” Mat Jan bersorak.

Kalau datang berlenggang, roti canai sekeping dengan teh tarik dapatlah. Lepas tu berleterlah dia. Bingit telinga.

“Kamu bawok mende ke Pakngah. Aokme duduk kampung tak tanam apa-apa ke. Lada, kunyit, serai pun tak tanam dekat rumah. Dah kaya raya deme yek. Hari-hari molek gini tak menoreh? Budak-budak sehat ke?”

Kalau dengor leter pakngah, mati aku, Mat Jan teringat dalam hati. Pakngah apa tau, dia orang bandar, pencen besar, anak-anak semua makan gaji. Duduk rumah batu, berdua dengan bini muda pulak. Makan pantang,daging tak boleh, ayam tak boleh. Bila bejalan bawok ubat sebeban. Sakit dadalah, sakit kakilah, darah tinggi lemah jantung kencing manis seme ada. Entahlah pakngah keh tu...

Bila balik kampung, orang kampung semua tak betul, malas kerja, malas usaha, malas bercucuk tanam. Aduh! Lecehlah orang tua nih.

“Aok tu belakang pakngah macam-macam merepek, bila berdepan aje, seme iya, seme betul.” Teh pulak menyongeh.

Mat Jan terkebil-kebil.

Monday, March 1, 2010

Sepanjang hayat 134 - Mat Jan Kucar Kacir.

Biasanya bila dekat dan selepas tahun baru cina hujan macam musim pejor. Kali ini nampak kurang sikit. Agaknya berkat tahun harimau. Rezeki pun bertompok-tompok macam taiknya. Mat Jan berbeka-beka hendak menoreh lebih sikit.

Dengor cakap YB macam ada rasa nak curah air ditempayan. Jangan susah, jangan bimbang, kata YB .Kerajaan kita perihatin. Kerajaan dah siapkan macam-macam rancangan dan projek untuk tinggikan taraf hidup rakyat miskin. Itu sebab PM buat slogan baru 1 Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Tak faham langsung keh! Ada orang kata, rakyat buat dahulu untuk kukuhkan kerajaan.

Dengor cakap Hj.Derus lain pulak. Dunia kita sedang diputar-belitkan oleh orang munafik. Kita nak dipisah-pisahkan mengikut zon. Orang bijak satu tempat, orang kaya satu tempat dan orang miskin satu tempat. Ada juga benarnya, fikir Mat Jan. Sedangkan sekolah pun deme nak buat lain-lain. Ada sekolah kaca, ada sekolah intan.

Kata Hj.Derus lagi kalau kita leka, tak masuk syurga. Kecut juga perut, dahlah sembayang lok-lak, lok lak. Dosa kurrr semangat! Kerajaan sekarang dah banyak sangat impot benda-benda yang melekakan, buat kita lupa dosa pahala. Nak stabilkan Negara, nak makmurkan rakyat jelata tapi semua barang naik harga, macam mana....?, Agama pun deme buat tak cakna.

Apa tidaknya, YB yg janji nak beri duit, entah bila-bila. Dah abis bulan dua hapah pun tak ada. Kalau gaya ini, keh nok ikut sapa?

Balik ke rumah lain pula, Teh sindir-sindir manja. Terasa juga dalam hatinya nak menengking, keh ni dah tinggal satu aje. Dalam kepalanya berserabut, macam-macam. Mana bini nak beranok lagi, mana si Debak tu nak masuk tadika lagi, mana asyik membuntut jubur YB lagi. Hj. Derus pulak selang sehari datang mencari.

Dan sejak ada klinik desa, Teh kata: misi bidan baik belaka, suruh keh bersalin di sepital. Aok kenalah siap beli lampin, pempas seme. Keh ni doh tok lame...

Punoh, punoh, Mat Jan menjerit dalam hati.

“Apa ke mendenya aok ni haah! sepital sepital. Tuh tiga ekor tuh kemarin padan dengan mokwe Joyoh je, montel-montel belaka, macam ubi kemili...”

Teh menonong muncung, terherot-herot ke dapur.

Mat Jan tersandar dikerusi robeknya dianjung.