Followers

Thursday, February 5, 2009

Sepanjang hayat 3

Apabila Majlis Angkatan Senibudaya atau MAS meninggal, tidak ada aktiviti yang formal. Borak kedai kopi, banyak yang masih meniup api politik yang pernah membakar jiwa orang orang melayu. Fahaman yg di asas oleh Mokhtaruddin Lasoh itu, disinambungi oleh Ahmad Bustamam, Dr. Burhanuddin, Ibrahim Yaaokob, Ishak Hj.Mohamad dan ramai lagi sehingga menubuhkan Partai partai politik seperti Partai Rakyat Malaya dan Partai Buruh Malaya. Dua parti ini bergabung membentuk "Front Socialist", dapat diterima oleh gulungan marhein yang diketegorikan kepada Buruh, Tani dan Nelayan. Ramailah orang Melayu, Cina dan India yang berpendapatan rendah di daerah ini menjadi ahli. Bekas tahanan politik API ( Angkatan Pemuda Insaf ) yang kemudiannya diharamkan oleh penjajah British banyak yang masih hidup. Mereka yg tak sempat terbang ke hutan, ditangkap oleh penjajah Inggeris. Disumbat ke "Detention camp" spt. Taiping dan Tg.Beruas. Apabila mereka dibebaskan, ideolizm yang tertanam dalam jiwa mereka masih membara. Seorang daripada bekas detainee itu,juga bekas AJK MAS, yg punya personality yg menarik, lantang kritikannya, gamat bicaranya telah menubuhkan Ranting Partai Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) di bandar Kuala Lipis.Ramailah mereka dari gulungan yang berpendapatan rendah khususnya buruh dan petani dari semua kaum turut menjadi ahli, termasuk saya. Kami melaungkan slogan "Merdeka" dengan ideology sosialis yang dibawa oleh API yang mahu kemerdekaan tanahair ini dicapai sekalipun dengan darah.
Dalam masa sama, kami dapat menubuhkan Belia 4B - Gerakan Belia 4B. Masa penubuhannya saya dipilih sebagai Bendahari. Tahun yang kedua saya dipilih menjadi Pengerusi Belia 4B Daerah / Cawangan Lipis mengganti tempat Cikgu Mat Ludin (sekarang haji masih ada tinggal di Relong) Saya memimpin Belia 4B Lipis selama 5 tahun sebelum dipindahkan ke Ktn. Saya aktif dengan Belia 4B dan Partai Rakyat sekaligus. Abdul Rahim Alnuhi ( aruah ) yang menjadi Ketua Umum Partai dan saya membantunya. Mana boleh dua orang ini duduk setempat? Pisahkan. Lalu saya ditukarkan ke Kuantan. Berakhirlah karier sebagai tokoh belia dan lunturlah sedikit semangat politik kiri saya. Namun kenangannya masih kekal. Kawan kawan yang seangkatan dengan Belia 4 B termasuklah Baharuddin Sidi, Cikgu Mat Intan (aruah) Mustapha Awang (aruah), Wan Ahmad ( ada di Jerantut) Abdullah Sulaiman (bekas wakil Rakyat BN sekarang bergelar Dato'), Azhar Hamid dan banyak lagi. Hussain Kh.Yaakob atau lebih terkenal dengan Hussain Pendek atau Pakcu masa itu Pemimpin Belia Daerah Lipis, terlalu rapat dengan orang partai Rakyat.Manakala kawan dalam partai termasuklah Selamat Ahmad Kamal (cikgu), Cikgu Yusof (aruah), Hussin Kuntol ( cikgu, orang Melaka), Harun Jabok di Benta sudah aruah, Ismail Hussin kemudian masuk UMNO ada di Jerantut, Ibrahim Mat Seh (aruah) dan banyak lagi.

3 comments:

  1. salam pakcik, maknanya gerakan belia 4b dulu dipopularkan oleh golongan-golongan kiri ke?

    agak-agaknya kenapa anak muda sekarang tak minat nak berpersatuan sekarang?

    ReplyDelete
  2. seronok baca tulisan bapak. harap terus mengimbau nostalgia zaman darah bergelora. untuk diambil iktibar.

    ReplyDelete
  3. Bagi AMMOSHAM,
    Tidak, bukan begitu. Walapun Pakcik berhaluan kiri (pada masa itu, sekarang sudah UMNO), tetapi Pakcik dapat membezakan diantara kerja politik dengan belia.Pakcik memegang jawatan Pengerusi 4B Daerah melalui pemilihan di mesyuarat agung. Macam manapun kegiatan pakcik dikesan lalu pakcik ditukarkan ke Kuantan.
    Barangkali, anak muda sekarang tidak optimistik. Satu lagi agak meluat dengan pemimpin sekarang. Semua kepimpinan mesti dipegang Wakil Rakyat. Mana boleh WR boleh buat semua kerja?

    Terima kasih Zizie,Kalau anak sudi, ikutilah Sepanjang Hayat dalam TBN.

    ReplyDelete