Followers

Thursday, March 5, 2009

Sepanjang hayat 28

Kembara tak berhujung.

Setelah bertukar ke Lipis pada awal tahun 1965, saya dengan pantas menjadi warga Kuala Lipis. Pun telah ada yang tahu bahawa saya agak aktif di Bentong dalam bidang sosial remaja. Minggu Bahasa, Bulan Bahasa dan Sri Persekutuan Melayu yang menjadi gelanggang saya di Bentong. Lantas saya tiba tiba aktif dalam Majlis Angkatan Senibudaya ringkasnya MAS di Kuala Lipis.

Tidak ketinggalan saya turut mencebur diri dalam bidang politik kiri iaitu Partai Rakyat atau Partai Sosialis Rakyat Malaya. Dalam masa sama apabila MAS semakin longlai setelah bertukar kepimpinan kepada orang politik khususnya wakil rakyat, kami menubuhkan Persatuan sosial muda mudi seterusnya menggabungkan beberapa persatuan dari kampung kampung lalu menubuhkan Belia 4B Daerah Lipis . Gerakan Belia 4B bersaing hebat dengan Belia MAYC.

Usaha terbesar kami dalam Gerakan Belia 4B Daerah ialah mengadakan Pesta Belia 4B Daerah bertempat di Sekolah Menengah Clifford. Tokoh besar yang merasmikan pesta tersebut ialah Dato' Abdullah bin Haji Ahmad Badawi ( sekarang Pak Lah Perdana Menteri Malaysia ) Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Kebetulan pada masa sama Kempen Pilihanraya Kecil bagi Kawasan Parlimen Lipis sedang berjalan. Pesta selama tiga hari dua malam itu berjaya menyedia satu flatform untuk Dato' Mohd.Ghazali bin Shafie (belum bergelar Tan Sri) calun Parti Perikatan, mengadakan kempen pilihanraya.

Gerakan Belia 4B Lipis di bawah pimpinan saya, pernah mewakili Pahang dalam pertandingan Net Ball dan Musabaqah di Perhimpunan Agung di Pulau Pinang. Mewakili satu regu Sepaktakraw di Perhimpunan di Kota Baharu, Kelantan. Pernah juga menyumbang sebuah Pentomin pimpinan Baharuddin CD di Perhimpunan di Melaka. Sesuatu yang amat menghairahkan ialah apabila Setiausaha kami Cikgu Daud telah jatuh cinta dengan seorang anak gadis dari Benta. Percintaan yang tak dapat dilerai itu kena diselamatkan dengan kami mengambil daya usaha sendiri untuk meminang gadis tersebut. Mereka akhirnya berkahwin, hidup aman damai, pun sudah beranak pinak mungkin sudah bercucu dan sekarang menetap di Tanjung Malim.

Selain dari aktif dengan Belia, politik dan Kelab Jabatan, saya dan beberapa kawan lain ada agenda tersendiri yang sering diadakan setidak tidaknya sebulan sekali. Ia mirip kelab pengembaraan. Kami mengembara ke setiap hulu sungai termasuklah Sungai Jelai Kecil, Sungai Serau dan Sungai Telom. Mengembara ala berkelah itu selama satu atau dua malam amatlah menyeronokkan. Pak Man @ Othman China @ Othman Marsilu adalah tekong kami. Dia ada memiliki sebuah perahu jalur dengan injin berkuasa 40 kuda boleh memuatkan 10 orang penumpang. Sebelum bertolak, satu pekej yang meramkumi petrol, beras, teh, kopi, gula,lada, garam atau kicap, tembakau dan lain lain, disediakan dengan bayaran lebihkurang dua puluh ringgit seorang. Alat memasak seperti periuk, kuali, pinggan dan kole memang sedia ada dan disediakan oleh Pak Man. "lauk tak usah bawak," kata Pak Man. Buat apa bawa lauk, bukankah ikan, pelanduk, kancil atau burung siap menanti di sana. Wan Kamaruzaman akan bersiap dengan jala dan jaring, saya dengan batang pancing, Tengku Ismail dengan senapang patahnya, manakala Sudin, Razak dan Hussin masing masing dengan diri mereka sahaja.Hala tuju kami ialah mencari ikan, binatang hutan dan burung. Selebihnya ialah bertukar angin dan berehat sambil melihat keindahan alam dan bermesera dengan kehidupan orang orang Asli. Namun begitu andaian nagatif orang ramai tetap ada sementara itu ada pula yang membawa isu bahawa kami ada misi dan visi tertentu yang perlu di beri perhatian.

bersambung...

6 comments:

  1. Salam Pak Hashim,

    Udah sampai 28 pun. Nanti jangan lupa cetak dan buat blook (blog+book).

    ReplyDelete
  2. Salam PakNgah,
    Apa aktiviti dipagi Jumaat ini selain pekena teh tarik ?

    wah hebat juga Gerakan Belia 4B Lipis..
    Zaman Pakngah dulu , mudahkah nak dapatkan penaja atau penganjur program ?

    errr..
    orang yang aktif dan sehebat Pakngah ni , yang ada kekuatan suara dan penyokong yang tersendiri ....sudah tentunya tak terlepas dari diminati ramai wanita .
    hahahahaaa betul tak tak tekaan saya ini :)

    p/s saya lupa Makcik Azizan tu hampir sebaya dengan mak saya, tentu Pakngah tak sempat jumpa dia masa kecil dulu ,
    tapi rumah dia betul - betul belakang sekolah Sega tu... mak ayah Makcik Azizan , mak saya panggil Mak Andak dan Pak Anjang . Mak pun sudah lupa nama mereka. Tentu Pakngah biasa juga lepak kat rumah itu dulu.
    Pakcik Zainal tu , masih bekerja dan sudah lama beristerikan yang baru .

    ReplyDelete
  3. salam pakcik,

    kalau saya pegawai belia dan sukan daerah lipis sudah tentu saya akan calonkan pakcik sebagai tokoh belia berjasa untuk negeri pahang.

    dulu mayc dan gerakan 4b memang popular. kalau saya berborak dengan orang lama yang pernah terlibat dalam gerakan belia memang mereka selalu bercakap tentang betapa aktifnya gerakan belia berbanding sekarang.

    dulu semangat kesukarelaan memang tinggi berbanding hari ini. orang yang join ngo memang dulu, semangat mereka mengagumkan. tiada kepentingan peribadi macam hari ni. gerakan belia pada hari ini macam batu lonjatan untuk cepat popular untuk jadi pemimpin.

    suka tak suka gerakan belia memang merupakan satu platform yang bagus sebenarnya untuk anak muda. dari situ mereka boleh belajar berorganisasi, boleh belajar bercakap, boleh belajar bermasyarakat dan sebagainya.

    saya sendiri tak tahu mengapa gerakan belia pada hari ini amat lemah. sejak saya masuk kerja sebagai pegawai belia dan sukan isu utama yang saya hadapi ialah hilangnya semangat kesukarelaan dikalangan belia dan organisasi belia yang tidak dilihat menarik oleh golongan belia.

    salah dunia? kapitalis? atau kerajaan itu sendiri?

    ReplyDelete
  4. rahimin idris,
    salam...

    Ok , ok, pakcik akan ingat, buat blook? Oh ya buat blook.

    Pakcik.

    ReplyDelete
  5. Terra Ida,

    Salam,...

    Pagi jumaat tadi sudah pekena teh tarik dan roti canai. Itu rutin.

    Mengenai, makcik Azizan kamu tu, pakngah belum dapat klu lagi. Esok pakngah blk kg kejap, kerana merembat nak siapkan kerja nak kahwinkan anak sdr. Esok tentu ada peluang, pakngah cari Un.John kamu, boleh cerita panjang skt.

    Belia?, sila ikut pakngah berkunjung ke laman AMMOSHAM, ok...

    Pakngah.

    ReplyDelete
  6. AMMOSHAM,

    Salam...

    Pakcik tak napikan kerja kamu sbg. Peg.Belia masa kini. Mmg agak sukar sikit berbanding zaman pakcik. Dulupun tak ramai yg masuk jadi ahli belia 30% pun takde. Yg ambil kesempatan banyak.Pakcik pernah cadang pd Pem. Belia bahawa Pengerusi Belia atau Ketua Belia diwajibkan sama spt adanya Ketua kampung, disetiap kampung. Ertinya Ketua Belia setaraf dgn Tok empat. Pem Belia jawab, tak boleh jadi, susah tu. Tak apalah.

    Bagaimanapun belia zaman pakcik senang dikawal, senang diajak berunding dan melakukan kerja kerja dgn kerelaan. Skrg semua pakai duit. Siapa ajar?

    Salah siapa? Kita tak boleh nak salahkan siapa siapa. Ini isu nasional. Sebenarnya budak belia dipersimpangan skrg, takde hala tuju. Nak tuju kemana. Nak ikut belia ke, nak ikut politik ? Politikpun sudah buka cawgan belia - putera dan puteri. Pokoknya siapa nak kontrol siapa.

    Oleh itu, buatlah kerja mengikut patut. Bekrjasamalah dgn pemimpin. Mengsyorkan boleh, mencadang kena fikir. Polisi jangan buat. Cari jalan selamat, kamu masih muda, akan banyak lagi bukit dan lurah perlu kena daki dan turun.

    Pakcik cuma mengingati nostalgia saja, cerita karut marut, tapi sedap dengar kan! ha ha ...

    Pakcik Hashim.

    ReplyDelete