Followers

Monday, March 30, 2009

Sepanjang hayat 48 - Orang Bujang Berkelana.


Allah Subhanahu Wa Taala apabila hendak menurunkan sesuatu anugerah Dia tidak memilih siapa, melainkan kepada orang yang jujur, ikhlas lagi warak. Inilah yang saya dapat perhatikan sepanjang perkelanaan saya selama lapan tahun.

Saya dan beberapa orang kawan adalah orang mencari, mencari kebenaran dari hukum yang bernama Syariaat, Tarikat,Hakikat dan MaarifatNya. Caranya ialah dengan berguru, bermuzakarah dan beramal. Siapa sahaja yang kami dapat tahu ada orang yang murshid maka datanglah kami menyusun emas sepuluh kepadanya.

Ada seorang kawan saya, telah menghabiskan separuh daripada usianya mencari hakikatnya. Dia juga telah menghabiskan sebahagian besar pendapatannya setiap bulan semata mata kerana mencari. Mencarilah dia dengan niat dan nawaitu yang satu, berserta tawakal jujur dan ikhlas.

Ada seorang kawan saya lagi Hassan namanya mendapat sedikit asas ajaran daripada datuknya. Sebelum dia mendapat lebih banyak, datuknya pula meninggal dunia. Hassan pun berkelanalah dengan bekalan yang sedikit itu dengan beramal bersungguh sungguh berserta tawakal, jujur dan ikhlas. Pada suatu malam dia bermimpi bahawa dadanya di bedah ( operation ). Dikeluarkanlah jantungnya lalu di cuci dengan berus, di basuh, dibersihkan dan dimasukkan semula. Menurutnya sakitnya bukan kepalang. Yang peliknya orang yang membedah itu adalah dia sendiri.

Di suatu malam, setelah beberapa lama berselang, dia bermimpi lagi. Kali ini tempurung kepalanya pula di bedah. Dikeluarkan otaknya lalu dibasuh dan dibersihkan dengan air kelapa. Sakitnya demikian juga, bukan kepalang katanya. Yang peliknya yang membedah, mengeluarkan otak membasuhnya di atas tapak tangannya, adalah dia sendiri.

Selang beberapa lama kemudian dia bermimpi lagi bahawa selapis daripada lapisan lidahnya dikoyakkan dan di buang. Memang sakit juga, kata Hassan. Tersa nyilunya sampai ke pagi dan apabila dia berkumur kumur,kelihatan air kumurannya itu kemerah-merahkan.

Pada saya itulah anugerah Tuhan kepadanya bahawa Hassan adalah sebersih bersih manusia di sisi Tuhannya.

1 comment: