Followers

Thursday, March 19, 2009

Sepanjang hayat 39 - Lipis / Kuantan Kurrr semangat

Siapakah yang main Double Bass itu?

Pada pertengahan tahun 1957 kurang lebih, saya sudah pandai pakai seluar panjang, baju petak petak dan berkerol. Pakai minyak rambut pekat dan menyikat kiri kanan kepala terus kebelakang dengan membiarkan disebelah hadapan berjambul sedikit. Wah bukan main melaram lagi. Sudah berkerjapun sebagai Temporary clerk di PWD Workshop Raub.

Tiba tiba dapat surat panggil temuduga Kerani Rendah di Kuantan. Terus ambil cuti 4 hari.Pukul 7.00 pagi naik bas Lin Siong di Benta ke Jerantut. Dari Jerantut naik bas Leng Huat ke Kuantan via Maran. Sampai Jerantut Ferry berhenti lama di situ tunggu giliran bas naik ferry menyeberangi Sg.Pahang. Satu pengalaman baru bila bas naik ferry yang digerakan oleh jentera PWD memakan masa yang sangat lama. Setelah itu baru bas meneruskan perjalannya ke Kuantan. Dekat Maran ada satu Kuil Hindu dan Kuil itu didirikan bersekali dengan sebatang pokok besar, pokok Ara tentunya dan bas kena lalu dibawah Kuil lalu berhenti di mana seorang sami Hindu naik bas membawa sedulang tetepung warna kuning untuk di colek ke dahi. Semua orang kena. Kalau tak colek mungkin perjalanan akan terhalang seperti di timpa celaka atau kemalangan. Pulak setiap orang kena berderma sekurang kurangnya lima sen. Jadi saya pun bayar lima sen dan colek tepung itu ke dahi. Ha ha ha...

Di Kuantan sekali lagi bas kena naik Ferry. Ferry Sg. Kuantan dekat Tanah Putih. Hari sudah hampir pukul 6.00 petang bila bas sampai di Tanah Putih. Sementara menunggu giliran bas naik ferry, jam sudah hampir pukul 7.00 malam.

Aduh!, betapa sukar dan seksanya perjalanan dari Benta ke Kuantan yang memakan masa 12 jam lamanya. Sudahlah jauh jalan pula yang bengkang bengkok macam ular kena palu, berlopak lopak pula di sana sini amatlah meletihkan. Mana mana orang yang tak tahan dengan perjalanan begitu atau yang mudah pening lalu muntah, pasti minta ampun tak mahu lagi. Serik. Mujurlah bas terbuka Pendingin Hawa tentulah tak ada. Pun begitu bau muntah malah bau berak pun ada. Pendeknya orang tahanpun boleh jadi tak tahan, terikut ikut muntah sama. Nasib baik saya tidak muntah, ha ha ha...Kalau nak terbuang air kecil atau....kena jeritlah pada pemandu bas supaya berhenti. Hendak melepas katakan.

Kurr... semangat lima puluh tahun dahulu. Sekarang Lipis / Kuantan paling lambat 3 jam pecut laju tanpa peduli double line, selekoh merbahaya dan apa jua amaran trafik.

Wednesday, March 18, 2009

Sepanjang hayat 38 - Kuala Lipis adalah tanah Awal dan akhirku

Sebahagian kecil bandar Lipis - Bangunan Paradise

Kuala Lipis adalah Bandar Warisan Sejarah di Pahang.

Kuala Lipis adalah bandar kecil milik orang orang seperti saya, orang orang yang sudah senja hidupnya.

Kuala Lipis sebelum tahun tahun 80-han adalah bandar kecil yang rancak, seluruh sendi uratnya masih keras dan tegang dan ia boleh menampung pelbagai gaya dan corak hidup milik manusia yang serakah dengan kemegahan duniawi hatta buat mematangkan orang orang yang bakal merentasi kedewasaan. Seperti bandar besar lain di Semenanjung bahkan di seluruh dunia profession tertua di dunia turut mengambil tempat di bandar Lipis. Menurut patut, tidak sepatutnya bandar yang sekecil itu boleh menampung bisnes yang amat besar implikasinya. Orang kecil, orang besar, orang berpangkat, orang kerdil, orang cendikiawan,orang professional turut datang mengecapi keindahan bandar Lipis dengan deretan rumah rumah rakitnya disepanjang bandar tapian Sg.Jelai. Masya Allah!

Kuala Lipis kini, adalah bandar yang masih kerdil tetapi sunyi sepi dan tenang, setenang air sungainya yang mengalir lesu, keruh dan menyedihkan. Bandar Lipis kini adalah sebuah bandar yang comel, teratur, terurus dan sangat aman damai. Tidak ada lagi bar yang menghuyung-hayangkan. Tidak ada lagi persundalan, tidak ada dundut, tidak ada rumah mahjung, judi karan dan sebagainya. Tidak ada lagi semuanya.

Kuala Lipis tidak ramai penduduknya, hakmiliknya telah dikecilkan, dipindahkan menjadi daerah lain seperti Jerantut dan Cameron Highlands. Pengundi berdaftar tidak mencecah angka empatpuluh ribuan. Kuasa membelinya amat kecil. Rancangan Felda letaknya dipinggir sempadan Raub dan Kelantan.

Kuala Lipis adalah daerah di mana bandarnya cukup nyaman, cukup selesa dan cukup bermakna bagi orang orang tua seperti saya, orang orang pencen yang mencari ketenangan dan orang orang tua yang ingin mengabedikan dirinya untuk keredhaan Allah.

Kuala Lipis bagi saya adalah tempat bersunyi sunyi diri, tempat orang orang mystitism yang sentiasa merenung ke dalam dirinya.

Kuala Lipis adalah pengkalan terakhir buat saya.

Tuesday, March 17, 2009

Sepanjang hayat 37 - Kuala Lipis tetap utuh dan intim.

Pejabat Daerah & Tanah Lipis dilihat dari hadapan Balai Polis Daerah Lipis.

Pejabat Daerah & Tanah Lipis

Sesuai dengan nama dan wataknya, Kuala Lipis khususnya bandar, bagaikan kelik kelik di kegelapan malam, bagaikan terhakis segala hak kepunyaannya, menjadikan ia gersang segersang gersangnya. Begitulah sangkaan orang yang kurang waras akal budinya.

Bagi saya Lipis amat intim, amat teruja dan masih belum tergadai semuanya. Ibarat seorang wanita yang kematian suami, ia masih terpilih dan terus teruja sebagai pemilik segala kecantikan, keayuan dan kewanitaan yang sebenarnya. Biarlah orang lain mengecisnya, biarlah orang lain mencemuhnya, biarlah orang menghinanya, biarlah. Kalian semua tidak tahu bahawa wanita yang bernama Lipis ini telah melahirkan beribu kelelakian dan beribu kewanitaan, dan warisan inilah sekurang kurangnya telah menaikkan nama Negeri Pahang yang kini berada di persada gah, segah gahnya. Kalian lupa pada Tok Gajah, kalain lupa pada Mat Kilau dan kalian lupa pada Tok Bahaman yg telah mempertahankan kesucian negeri ini. Kalian langsung tidak pandai berterima kasih. Saya sedih. Tetapi tak apa, ketiga tiga orang tua itu tidak pernah minta disanjung, tidak pernah meminta balas walau sekelumit apapun. Mereka telah mati dan mereka dimatikan.

Kalian tahu, bandar Lipis ini tanahnya hakmilik siapa? Pernahkah anak ciciknya meminta agar haknya dikembalikan? Siapakah yang memegang Hulu Negeri Pahang ini kalau bukan di Lipis orangnya? Itulah sebabnya Sungai Pahang tiada hulunya. Hulunya tetap ada. Kalau ada hilirnya pasti ada hulunya. Hulunya bersembunyi terus, ghaib pada mata orang awam ia malu pada orang jahil sebenarnya.

Apa yg kalian mahu dari Lipis? Lipis tetap mengizinkan. Cuba cakap, Lipis sedia memberinya. Kayu kayan? Hutan di Lipis tiada daranya lagi, habis kontang sekontang kontangnya, untuk siapa kalau bukan untuk kalian semua. Emas rial? Ambilkan sahaja dari Empang Jalih sana. Siang malam, pagi petang tanahnya di cambuk, digali, belum juga puas puas, untuk siapa kalau bukan untuk kalian semua. Hak keaslian ikan patinnya juga telah di songlap dan dipindah namanya ke tempat lain.

Yang hanya tinggal disini sekadar sisa sisa. Sebuah bandar kecil yang diapit oleh dua buah sungai dengan landscap yg berbukit bukit tetap segar dan indah, bangunan bangunan lama peninggalan orang putih yang di benci Bahaman tidak diperdulikan. Seperti bandar bandar lain punya ada, Lipis juga punya setesen keretapi, punya jeti bot dan perahu,punya makam dan jirat, pernah punya jel, pernah punya landasan kapalterbang dan pernah punya nama yg gah iaitu IBU NEGERI PAHANG.

Monday, March 16, 2009

Sepanjang hayat 36 - Kenapa saya memilih K Lipis sebagai tempat ( settledown ) tinggal.

Jambatan yg menghubungi bandar lama dan baru


Residency kini Rumah Rehat

Kenapa saya memilih Kuala Lipis sebagai tempat ( settledown ) tinggal terakhir saya?

Kuala Lipis adalah sebuah bandar kecil yang memiliki semua. Apa yang ada pada bandar bandar besar yang lain, ada dan boleh didapati di bandar ini. Selain itu ia adalah bandar tertua di Pahang bahkan mungkin di Semenanjung. Menyesuaikan K.Lipis sebagai bandar tua, dengan ungkapan bahawa "Tua itu tuah dan muda itu mudah" maka K.Lipis menjadi semakin unik untuk dikenang selalu, kerana tuahnya. Siapa sahaja yang pernah tinggal di Kuala Lipis terutama kakitangan Kerajaan apabila mereka bersara mahu terus tinggal di sini. Ada orang mengatakan sekali terminum air sg Jelai selamanya akan mengenanginya.

Bagi saya Kuala Lipis banyak tuahnya, istimewa bandarnya, unik sejarahnya dan pelbagai manusia dari semua ras ada di dalamnya.

Dari tahun 1965 hingga 1974 sepuluh tahun lamanya saya cuba mengenali hatibudi bandar Lipis, dan segala intisarinya saya bawa bersama apabila ditukarkan Kuantan. Ada kenangan kenangan manis yang boleh dikongsi bersama dan ada yang tidak. Yang tidak terus menjadi simpanan tetap sebagai "Secret & Confidential" Jangan tanya. Di antara yang manis manis itu ialah apabila saya memberi jolokan kepada bandar Lipis sebgai Kota Kecil yang tak pernah tidur " A tiny twinkle city that never slept" Ia juga sebuah tajuk nobel yang penuh dengan paparan paparan, adigan adigan dan drama drama yang menarik, mengkagumkan dan menyayat hati. Tetapi sayangnya nobel itu berkecai tak kesampaian sekadar tinggal jodolnya sahaja.

Sedikit imbasan mengenai bandar Lipis pada tahun tahun sebelum 1980an. Bandar one way street, bertingkat. Tingkat atas disebut main street, tingkat bawah disebut Jelai Street. Ada satu jalan yang memotong bandar ini untuk segera sampai ke antara dua street itu bernama Cross street. Cross street tidak boleh dilalui kereta sekadar pejalan kaki sahaja itupun kena menaiki dan menuruni anak mata tangga. Perniagaan di Cross street ini terus menerus dua puluhempat jam. Kedai makan, kedai minum, minum ringan, minum berat, makan ringan, makan berat semua ada. Juke box berkumandang terus atas permintaan. Jalan belakang ( back lane ) juga hidup dengan perniagaan masing masing. Ada warung mahjung, dan ada juga warung judi karan. Manusia mundar mandir, hilir mudik tanpa henti sekalipun malam mulai menampakkan upuk timur tanda subuh akan masuk. Bila ada lelaki berkumpul adalah perempuan dan demikian jika perempuan yg berlonggok ia tetap dicelahi lelaki. Lelaki dan perempuan hanya boleh dibezakan dengan ratio yg kecil. Siapakah lelaki itu dan siapakah perempuan itu ? Aduh! mereka adalah lelaki jalang dan perempuan jalang.

Ingat rakit tak? Rumah rakit yang meniti buih perairan Sg.Jelai menaikkan bandar Lipis berfungsi sebagai kampung maksiat yang terbesar dan masyhur keseluruh antero. Ia di bina dan di buat di atas air sekehendak hati untuk tempat tinggal dan tempat maksiat tanpa apa apa ulasan dari pihak berkuasa tempatan. Orang yang turun naik rakit silih berganti. Ada tangga yang disediakan serta pelantar yg terus menghubungi tebing ke rakit untuk memudahkan orang turun naik. Lagu lagu pop dan klasik lama berkumandang dari transister radio sepanjang rakit ditambah pula oleh gelak hilai si biang yang menghairah kan. Itulah bandar Lipis yang saya andaikan sebagai Kota kecil yg tak pernah tidur.

Bukan tiada resolusi selepas itu diketengahkan ke meja bulat. Lalu dibahaskan dengan panjang lebar, tetapi pro dan kontranya tidak mengizinkan Pihak Berkuasa Tempatan mengambil jalan yang sebaik baiknya.

Sepanjang hayat 35 - Rumah No.34 Jln.Damai, Taman Permai 27200 Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.


Rumah saya sebelum dipinda
No.34 Jalan Damai, Taman Permai adalah rumah yang saya duduki sekarang ini terletak dihujung jalan Damai, bersempadan dengan kampung Tempoyang. Disebelah kiri dan belakang rumah ada curam yg agak tinggi boleh mendatangkan bahaya jika hujan berlebihan. Tetapi setelah tigabelas tahun menetap disitu tak nampakpun ada tanda tanda yang tanah tersebut akan runtuh. Syukurlah!.

Saya penduduk paling tua di Taman ini. Saya jugalah orang yang paling kerap buat kenduri, termasuklah kenduri kahwin, bertunang, kenduri arwah, kenduri kesyukuran seperti hakekah, bercukur jambul dan lain lain. Yang terakhir ialah kenduri hakekah untuk cucu kembar saya Muhammad Harriz dan Muhammad Harraz. Alangkah seronoknya,weh!

Mula mula kenduri kahwin anak perempuan saya yang sulung, lepas itu anak lelaki saya yg sulung, lepas itu anak perempuan saya yang kedua, sedangkan anak perempuan saya yang ketiga kahwin lebih awal tetapi saya buat kenduri di kampung iaitu di rumah ayah saya. Sebelum anak perempuan kedua saya kahwin, saya terpaksa buat kenduri arwah tiga malam berturut turut, untuk ibu mereka yang meninggal dunia. Lepas kematian itu (isteri saya) rumah saya menjadi kurang berseri, sehinggalah apabila anak lelaki saya yang ketiga hendak berkahwin pula. Saya ni semacam dipaksa berkahwin dulu sebelum anak lelaki yang ketiga itu kahwin, sedangkan anak lelaki yang kedua tak usahkan hendak kahwin, bayang bayangpun tak ada sampai sekarang. "Abah kenalah kahwin dulu sebelum saya" kata anak lelaki saya yang ketiga. Mahu tak mahu maka kahwinlah saya dengan seorang perempuan yg belum kahwin ( spinster ) tetapi sudah berumur kira kira 41 tahun ketika itu, sedangkan saya sudah berumur 68 tahun. Track rekod tak kahwin saya selama lapan tahun pecah juga akhirnya.

Memandangkan kerap sangat buat kenduri, saya buka pagar untuk tiga penjuru bagi memudahkan saya memasang bangsal dari khemah khemah yang saya pinjam. Disebelah belakang rumah ada kawasan kira 20 kaki yang saya kira no men"s land saya jadikan tempat mendirikan bangsal untuk memasak. Sekarang ni saya tanam kelapa dua pokok, mempelam sepokok, nangka sepokok, jambu manis dua pokok di atas tanah Kerajaan itu manakala kelapa , nangka dan jambu sudah berhasil, jenuh makan. Saya bersyukur kerana memilih rumah berkawasan besar ini dan kerja kenduri saya tidak perlu melimpah sampai keluar kawasan rumah.

Itulah rumah yang saya duduki sekarang ini di bayar seluruhnya oleh anak perempuan sulung saya, tidak berpagar lagi dan sudah saya globalisasikan bagi memudahkan para pengunjung, sahabat handai, saudara mara dan cucu cicit datang berziarah.

Sunday, March 15, 2009

Sepanjang hayat 34 - JERAM BESU.

Jerma Besu:

Semasa menyusur Sg. Lipis, lewat tanjung, tebing, lubuk, cega dan bermacam keadaan ada yang baik dan ada yang tidak molek di buat kampung, To Mat Amin meneruskan mudik sungai berhari hari lamanya. Sebelum sampai ke Tanjung Aur di mana Tok Mat Amin memutuskan untuk membuat kampung, rombongan mereka terlebih dahulu bertemu dengan sebuah Jeram. Tatkala sampai ke sebuah jeram yang amat bising bunyinya itu, Tok Mat Amin singgah berhenti lalu naik ke darat meninjau-ninjau kawasan kalau kalau ada yang pamah yang sesuai, boleh di buat kampung halaman. Tak boleh, jeritnya habis suara pada anak buahnya. Tidak juga boleh di dengar. Lantas mereka bercakap bahasa isyarat, bagaikan orang bisu semuanya. Bukan tak boleh di buat kampung halaman dan memang ada kawasan tanah pamah yang boleh dijadikan sawah paya, sekadar bunyi jeram yg bising itu boleh mengganggu gugat pendengaran mereka masing masing .

"Apa nama jeram ni?" bertanya Tok Mat Amin entah pada siapa. Lalu dijawab anak buahnya, "Bisuuu, Tok".
"Oh! iya, "Kita namakan jeram ini Jeram Bisu."
Itulah asal mulanya jeram Besu di beri nama oleh Tok Mat Amin sebagai Jeram Bisu, sebab orang orang yang tinggal di situ semuanya bisu dan bercakap menggunakan isyarat belaka. Lama kelamaan Bisu itu menjadi Besu, lekat dan kekal sampai sekarang bernama Jeram Besu.

Kini Jeram Besu sudah terkenal ke seluruh rantau ini bahkan dunia kerana uniknya. Ia telah menjadi sebuah Pusat Rekriasi berakit atau berkayap dan berkhemah. Kedai kedai telah banyak didirikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan persendirian. Orang kampung yang dahulunya tinggal berselerak jauh diantara satu sama lain telah ditempatkan di rumah rumah Kos Rendah yang dirikan oleh Kerajaan. Kampung kampung dahulunya seperti Tedung, Berning, Empang China, Serli dan lain lain tempat keluarnya durian dari jenis baik kini sudah ditinggalkan.

Jeram Besu sekarang sudah terkenal. Bunyi Radio, TV, Karaoke dan bunyi deruman kereta motor telah melenyapkan sama sekali bunyi bising air dari Jeram itu, dan orangpun tidak lagi bercapap dengan isyarat.

Wednesday, March 11, 2009

Sepanjang hayat 33 - TOK MAT AMIN KERAMAT BUKIT TERSAN.

Wakaf sumbangan Tan Sri Muhammad Ghazali bin Shafie


Makam Tok Mat Amin, Tok Shahbuddin, Tok Kumin,
Tok Muhammad dan Tok Endir.

Makam Keramat Bukit Tersan

TOK MAT AMIN KERAMAT BUKIT TERSAN.

Tok Mat Amin keturunan Tok Baginda Demu, yang mula mula membuka Kampung Tersan datang menyusur mudik Sg. Lipis dari Kg.Pagar, Penjom Kuala Lipis, lalu di lantik Penghulu Mukim Sega, Raub Pahang sekaligus sebagai Imam dan Pawang.

Setelah uzur beliau ingin melepaskan semua jawatan yang disandangnya sebagai Penghulu, Imam dan Pawang tetapi tidak menurunkan semua jawatan tersebut kepada anak anaknya, padahal beliau ada tiga orang anak lelaki masing masing bernama Tok Ngah (Imam Ngah), Tok Teh Din dan Tok Kumin.

Tok Mat Amin dikhabarkan sangat berhati hati dalam memilih siapa pengantinya. Beliau sangat mendalami keadaan seseorang itu, siapa yang mempunyai potensi dan cici ciri kepemimpinan yang layak yang boleh mentadbirkan Mukim Sega itu. Beliau tidak memilih sebarang orang walaupun anaknya sendiri.

Akhirnya Tok Mat Amin berkenan lalu memilih menantunya, Tok Shahbuddin bin Tok Alauddin keturunan Tok Mansur orang Bugis, suami kepada anaknya Tok Itam Radhiah, mengambil alih jawatan sebagai Penghulu, Imam dan Pawang. Tok Shahbuddin pula tidak berupaya untuk menyandang ketiga tiga jawatan itu sekaligus. Atas budibicara Tok Shahbuddin lalu menyuruh orang orangnya memanggil abang iparnya Tok Muhammad bin Tok Aya yg tinggal di Kampung Pasir Purun, Sengkela, yang bersempadan dengan Mukim Semantan Hulu, untuk di lantik sebagai Penghulu menggantikan To Mat Amin. Lantikan ini dipersetujui oleh Tok Mat Amin. Manakala jawatan Imam, Tok Shahbuddin yang di beri kuasa penuh itu menamakan abang iparnya, Tok Ngah bin Tok Mat Amin iaitu abang kepada isterinya Tok Itam Radhiah lalu bergelar Tok Imam Ngah. Tok Shahbuddin hanya memegang jawatan Pawang sahaja. Demikianlah kewibawaan Tok Shahbuddin di atas kapacitinya sebagai orang kepercayaan Tok Mat Amin membahagi-bahagikan jawatan Penghulu, Imam dan Pawang dengan adil dan saksama.

Apabila Tok Mat Amin meninggal, jenazahnya disemadikan di atas Bukit Tersan. Kemudian menantunya iaitu Tok Shahbuddin, Tok Kumin anaknya, Tok Muhammad bin Tok Aya Penghulu dan seorang lagi Tok Endir, semuanya disemadikan di Makam Bukit Tersan.

Semua Penghulu selepas Tok Muhammad bin Tok Aya, adalah waris daripada keturunan ini. Sembilan orang Penghulu semuanya kecuali Penghulu yang kelima Tok Muhammad Saman bin Haji Abdullah berasal dari Temerloh bertugas selama tiga tahun sebelum ditukarkan semula ke Mukim Semantan Hulu, menggantikan Penghulu Muhammad Dahan bin Imam Teh yang pada masa itu masih muda justeru orang baharu di lantik tidak layak memegang Mukim yang besar seperti Mukim Sega. Penghulu Osman bin Hussin Penghulu yang keduabelas sekalipun di lantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Pahang adalah juga waris daripada keturunan Tok Mat Amin.

Nota tambah:

Adalah amat diharapkan, sekiranya ada sesiapa yang berkait keturunannya dengan Tok Mat Amin dan Tok Muhammad bin Tok Aya keturunan Tok Mansor orang Bugis, di mana sahaja mereka berada saya dengan rasa rendah diri menjemput agar bertandang ke laman saya supaya dapat bertukar tukar fikiran mengenai asal usul atau salahsilah, terima kasih.

Tuesday, March 10, 2009

Sepanjang hayat 32



Kampungku Kampung Tersan.

Kampung Tersan adalah kampung tertua di Mukim Sega, Raub Pahang. Alasan saya ialah apabila saya baru baru ni menelaah atau mengkaji satu Salasilah atau Teremba atau Teromba atau Family Tree, peninggalan Bapak saudara sepupu saya bernama Zakaria bin Imam Ngah yang telah lama meninggal dunia. Berbulan bulan saya mengesan salasilah ini akhirnya saya dapati berada dalam simpanan anaknya sendiri Hamdan bin Zakaria, saudara dua pupu saya yang tinggal di Kampung Som dekat Damak Jerantut Pahang.

Orang yang mula mula membuka Kampung Tersan bernama Tok Mat Amin keturunan Tok Baginda Demu. Tok Mat Amin dan anak buahnya menyusur mudik Sg. Lipis dari Kampung Pagar, Penjom, Kuala Lipis, Pahang. Berhenti disuatu tanah pamah sebelah kiri mudik yang penuh ditumbuhi oleh perdu perdu buluh aur, lalu membuka kampung halaman di situ. Terus tempat itu dinamakan Kampung Tanjung Aur. Ke daratan Sg. Lipis yang ditumbuhi buluh aur itu dadapati pamah dan lembah, amat sesuai dijadikan sawah / paya padi. Lalu Tok Mat Amin mengajak anak buahnya menebas-nebang kawasan itu untuk dijadikan sawah/paya padi. Terdapat tanah masin yg di gelar jenud tempat binatang datang menjilat di situ. Tanah masin itu boleh menyuburkan semua jenis tanaman termasuk padi. Ke darat lagi terdapat dua alur air yang kemudiannya dinamakan Sg.Buluh dan Sg Ketiar, lalu kedua dua alur itu disatukan menjadi parit besar ala terusan terus ke Sg. Lipis. Terusan itulah yg membekalkan air ke sawah padi mereka. Sempena terusan itulah wujudnya sebuah lagi kampung bernama Kampung Tersan. Itulah kampung saya.

Kampung Tersan semakin besar dan penduduknya bertambah ramai, lalu wujudlah kampung kampung lain disekitarnya menjadikan sebuah kampung yang lebuh besar yang akhirnya bergelar Mukim Sega.

Bagi menjaga kepentingan dan kebajikan kampung Tok Mat Amin di lantik sebagai Penghulu sekaligus menjadi Imam dan Pawang. Bila dia meninggal jenazahnya di semadikan di atas bukit Kampung Tersang lalu dinamakan Makam Keramat Bukit Tersan. Kemungkinan besar semasa hayatnya Tok Mat Amin yang alim, warak dan banyak jasanya maka Almarhum Tok Mat Amin di takbir dalam firasat dan mimpi anak cucunya sebagai wali Keramat. Selepas itu ramailah anak cucunya berziarah ke makam tersebut, bertahlil dan berdoa malah ada yang membayar niat dan bernazar konon.