
Mamat 1 dan Mamat 2 ada balik:
Semalam 8 Mac saya tak menulis. Tak boleh menulis.Hendak menulis macam mana, si dua Mamat tulah punya fasal. Tak usahkan nak buka komputer, dekat dengan komputer sahaja, mereka dah menaip, tekan sana tekan sini. Aduh! buasnya.
Itulah cucu kembar saya, dua dua jantan, 23 Mac ini genap dua tahun, anak pada anak lelaki pertama saya Hasbullah. seorang eksikutif di Cagamas. Lihatkanlah di dalam gambar, comot dengan ice-cream. Seorang bernama Muhammad Harriz dan seorang lagi bernama Muhammad Harraz. Sampai jam satu malam tu mereka belum tidur, barangkali sudah puas tidur dalam kereta. Gamat sekali mereka, lompat sana lompat sini, tendang bola sana tendang bola sini, bertempik, menjerit menangis, bergaduh, rampas itu rampas ini sampai koyak koyak buku kakaknya. Aduh! gaduh lagi menangis lagi, riuh rendah sampai jauh malam.. Dua dua dah mula pandai bercakap lalu Atuk sana Atuk sini dan bila lapar minum susu.
Saya tak boleh buat apa,tak boleh kata apa dan asyik melayan mereka berdua sahaja. Itulah orang kata, sayang ke anak, sayang lagi cucu. Kalian semua tunggulah, kalian juga akan merasa,bila sudah ada cucu nanti, ha ha ha...
Bukan itu sahaja cucu saya. Ada sepuluh orang lagi. Entah entah dalam perjalananpun sudah ada. Saya sedikit hari lagi, kalau umur panjang, saya akan jadi orangkaya cucu, OKC. Feilnya macam macam, yang lelaki satu macam dan yang perempuan juga macam macam.
Ayah saya aruah Cikgu Haji Mohamad Zabidi bin Gendut, ada 72 orang cucu dan sempat punya cicit lima orang sebelum meninggal dunia. Begitulah besarnya keluarga saya. Ayah saya meninggal sewaktu umurnya 84 tahun, jenazahnya diusung oleh cucu cucunya sahaja sejauh kira kira 500 meter, tanpa dapat di bantu orang lain dan memasukkan ke lehadpun di buat oleh anak cucunya sahaja.
Kalau ayah atau kami hendak buat kenduri atau berkumpul anak cucu, saiz kenduri itu pastilah sekurang kurangnya seekor kambing. Tak payah jemput orang lain. Namun begitu, rumah gedang peninggalan ayah dan emak itu pernah tinggal begitu sahaja. Tidak seorangpun daripada anak anaknya yang mahu tinggal disitu, kerana masing masing sudah punya rumah, sehinggalah seorang daripada cucunya yang telah mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan hidup cara kampung. Begitulah keluarga saya, keluarga besar dari Kampung Tersan, Mukim Sega, Raub Pahang.