Followers

Saturday, February 28, 2009

Sepanjang hayat 23

Menongkah arus iii:

Tiap pagi sarapan di kantin pejabat, taukenya Pak Salim ayah cikgu Amnah dan menonya nasi lemak dan kueh kueh termasuk karipap, tepung talam, kueh koci, lepat dan lain lain. Kalau teringin nak makan roti canai ke kedai mamaklah perginya. Apabila membayar dan jumlahnya tidak genap, maka penggenap lima sen itu akan dicucur dengan sebatang rokok. Dari situlah dan dari penggenap bayaran itulah puncanya saya mula merokok dan ketagih rokok sampai sekarang. Rasanya sudah limapuluh tahun saya menjadi penghisap rokok, bermula dengan harga 25 sen sekotak hingga kepada lebih RM 8 sekotak. Tak tahulah apa sudah jadi pada paru paru saya dan sekarang tunggu masa sahaja untuk collapse agaknya. Masya Allah...

Cikgu Amnah cantik orangnya, kulitnya sawo matang, pandai bergaya, suaranya lembut dan sedap didengar. Dia mengajar di sekolah cina.

Tempat tinggal saya sewaktu di Bentong ialah dibilik belakang Kelab Sri Persekutuan Melayu Bentong dan dekat sangat dengan Kelab Bentong atau the Bentong Government Club. Kami semuanya empat orang, masing masing punya katil dan gerobok tempat simpan pakaian. Disebelahnya bilik air dan ada sedikit ruang tempat kami memasak.Di Kelab melayu itu ada set music seperti akordian, guitar, drum dan double base, milik Pancaragam Kelab Sri Persekutuan Melayu Bentong. Kami bebas menggunakannya. Hari hari, siang malam, tentunya selepas waktu pejabat, kami bermain alat music, dan ada kalanya hendak tidurpun susah dek bisingnya keadaan. Hiruk pikuk kami, melalak, melaung dgn pelbagai suara irama dan lagu tidak mengganggu orang lain kerana kuaters kerajaan yg berdekatan dijarak oleh sebuah padang bola. Saya turut bermain music, semua alat saya main dan saya tidak khusus pada satu satu alat music sahaja. Akhirnya saya tidak kemana, sekadar tidak lebih dari Jacks of all trade but master of none. Apabila tidak main music, kami turun ke Kelab Bentong untuk bermain billiards dan mahjung. Ada seorang kawan saya bernama Arshad boleh cari makan dengan bermain billiards dan dia cukup cun dan cukup terrror fasal main billiards. Bagi saya sama ada billiards atau mahjung sama sahaja, tidak jadi pandai apalagi ketagih.

Apa jua acara atau latihan atau perjumpaan yang menjadi aktiviti kelab, kamilah yang kena siapkan seperti menyusun meja kerusi dan lain lain. Kelab mesti sentiasa dalam keadaan bersih dan kemas kerana itulah diantara perjanjian Jawatankuasa kelab dengan kami sebagai penghuninya. Di dalam acara tertentu itu seperti latihan menari dan lain lain cikgu Amnah dan kawan kawannya turut ada sama. Pada masa itu memang banyak aktiviti kebudayaan dan sosial samada anjuran Kerajaan atau kelab sendiri, jadi kami secara tidak langsung turut mengambil bahagian. Kempen Bulan dan minggu Bahasa Kebangsaan adalah diantaranya. Banyak pertandingan dianjurkan, seperti Berbahas, Bersyarah, mengarang,berbalas pantun, melukis dan lain lain dan kemuncaknya tentunya berakhir dipentas yg didirikan diatas padang berhampiran kelab tempat kami duduk. Dalam hal hal begitu cikgu Amnah tak pernah ketinggalan. Memang kehadirannya amat diharapkan dan skiranya dia terlambat seminit dua, hati mulai berbisik, "tak datangkah dia". Itulah cikgu Amnah yg peramah, ayu dan berkulit sawo matang pelengkap acara , penambat hati, penghilang sunyi, penghibur duka dan pendamai debaran dijiwa dan, dan dan...

"Tuan tuan , puan puan, dan para hadirin yg dihormati sekalian, itulah tadi lagu salam pengenalan Pencaragam Rangkain Malam pimpinan Sdr. Nordin Dirun selaku pemain accordian, sdr. Yunus selaku pemain guitar, sdr. Arshad selaku peniup tenor sex, sdr . Rashid pemain clerinet dan sdr. Din Rongak selaku pemain drum" Wauuu dengarkanlah tempik sorak, riuh rendah anak anak dibawah pentas mengalu alukan persembahan kami. Dan itulah saya dan suara saya sebagai juruacara persembahan dimana saja sama ada dpentas mahu dimajlis majlis perkahwinan.

Friday, February 27, 2009

Sepanjang hayat 22

Menongkah arus ii:

Dua tahun berkelana di Raub dengan suasana yang entah dimana puncanya dan kemana pula akhirnya. Habis bulan berganti bulan, tiada sesuatupun yg dapat dijadikan lakaran sebagai garis yang sempurna yg bernama kehidupan. Habis bulan berganti bulan dimana ada ada kalanya bulan belum berputik, wang gajian sudah kontang. Setiap hujung minggu balik ke kampung ke rumah ayah bunda. Rasanya lebih senang di kampung daripada bermelankoli dan berkelana tak menentu walaupun dibandar.

Di kampung segalanya tenang, segalnya boleh diisi dengan segala macam yg indah indah. Airnya Sg. Lipis yang jernih tidak jemu jemu menghanyutkan buih buih, lalu menghempas ke batu batan Jeram Besu tempat kami mandi manda. Ada kalanya membawa pancing dan jala untuk berikan (menangkap ikan) bersama paman, Pakteh Kassim. Musim air surut, Mohamad Sulong sering mengutarakan agar malamnya menjermal ikan ( jermal ialah peralatan spt. jaring untuk memerangkap ikan). Sebelum malam kami akan menyediakan peralatan memasang jermal, menebang buluh aur dan membelahnya selebar dua jari dan sepanjang lebihkurang 4 ke 5 kaki untuk dipacakkan di dalam air. Sebelah perut buluh menghala ke hulu. Buluh yg dipacak itu akan menguting-nguting oleh air deras lalu memberikan cahaya putih untuk menakutkan ikan ikan yg nanti malam akan hilir. Ikan akan hilir mengikut perut sungai dimana disitu Mohamad Sulung akan memasang jermal. Jermal yg merupakan tangguk besar diperbuat daripada tali disirat seperti jaring, besar dimulutnya dan semakin tirus kehujung. Sebuah menara kecil menggunakan tiga batang kayu didirikan tiga segi dengan sebuah para buat tempat duduk. Bila malam nanti upacara menjermal bermula seseorang akan duduk di atas para memegang tali perasa. Tali perasa ialah tali untuk menentukan ada ikan hilir merempuh mulut jermal lalu mulut jermal diangkat dan ikanpun terperangkap. Ikan yg terperangkap itu menuju ke hujung atau puting jermal. Seorang lagi yang menunggu dgn perahu di puting jermal akan mengambil ikan itu. Ikan yg dijermal adalah besar besar belaka seperti tengalan, kerai, lawang dan kalau bernasib baik kelah pun mengena.

Bukan sekadar menjermal sahaja yg menjadi sensasi, malah abang Man engkut yang sebelah kakinya lumpuh dan berjalan menggunakan tongkat, mengajak kami semua anak anak muda bermain musik, menari zapin, dan pada jadual lain pula kami bermarhaban. Jangan sebut bila bulan puasa datang, saya malas hendak cerita, panjang dan sangat mengasyikkan. Itu lumrah.

Dan di kampung juga saya berpeluang belajar agama, mengaji Sifat Duapuluh dengan aki Seman. Aki Seman memang tinggi ilmu tasaufnya dan kami belajar sampai Iko Idul Iman. Bakal Tok Pawang masa itu dan menjadi pawang akhirnya apabila pawang tua meninggal dunia, pernah mencaci kami dan Aki Seman, " Apalah awak seme ni belajar agama pada orang tak sembahyang." Masa itu, saya belum banyak mengerti, tak pandai menjawab, jadi pakai diam sahaja kami semua. Tetapi jangan hari ini...

Sayugia, apakah benar hal hal yg sensasi di atas tadi sebenarnya menjadi tarikan saya utk rindu pada kampung, utk terpaut pada keindahannya, utk menjadi sedih bila berpisah denganya. Bukan, bukan pada lumrahnya. Bukankah saya sudah memasuki alam remaja dan sebagai anak muda yg sering bermimpikan yg indah indah dan sudah diadatkan untuk menanggung rindu maka saya tidak terlepas daripada hukum alam itu. Oh! saya sudah ada pacar, berpacaran dengan seorang anak gadis yg saya kira satu pilihan yg amat intim dan dialah buah hati pengarang jantung.

Masa berlalu, saya ditukarkan ke Bentong melapor diri di PWD Bentong sebagai kerani juga tetapi jawatannya tetap dan berpencen. Walaupun berpencen, kena lulus periksa dalam masa percubaan selama 3 tahun. Semua halangan itu telah diatasi dengan mudah tetapi tidak secemerlang kawan kawan lain yang menjadikan GO (General Order) dan FGO (Financial General Order) sebagai tersangat penting dan meletkkannya dihujung jari. Seperti seorang kawan saya bernama Sulaiman, Kanun Tanah Pahang miliknya sekali ganda tebalnya dari yg asal kerana penuh dengan segala rupa amendment . Tanya sahaja, section mana, dia akan jawab off-hand. Manakala kawan saya Hussin berkata,
"Land Code is very interesting to read but it's very complecated. Bagaimanapun kerja sebagai kerani hanya membuat kerja kerja rutin, membaca, menulis, menaip, memasukkan surat mengikut fail fail dan menyimpannya untuk dikeluarkan semula mengikut masa.
Senang sahaja kan!. Tidak ada home works yg mesti menjadi beban.

Thursday, February 26, 2009

Sepanjang hayat 21

MENONGKAH ARUS:

Bertolak dari pengkalan yang rapuh saya meninggalkan alam persekolahan berbekalkan sekadar boleh membaca dan menulis, menguak daun pintu untuk melihat alam maya yang penuh pancaroba bernama alam remaja.

Tinggallah sudah seluar pendek warna biru dan kemaja putih serta kasut kanbas puteh, berganti dengan seluar panjang dan kemeja kotak, bergaya dengan kawan kawan yg sebaya dan yang telah sama sama meninggalkan alam persekolahan, kehulu kehilir, tanpa tujuan.

Selama manakah keadaan boleh bertahan, sedangkan permintaan untuk terus bergaya, utk terus ada duit dalam kocek, menjadi beban yang semakin mendesak menghantui fikiran. Lalu kami beberapa orang keluar mencari kerja, apa saja kerja asalkan ada imbuhannya. " Kita ke Lipis", kata Syed Ghalib anak Tauke getah, "kita minta kerja dengan aki pak alang, jadi forest labourer. Kebetulan aki pak alang seorang Renjer Hutan di Lipis. Samsudin anak aki pak alang turut sama. Disitu kami disergah dengan lecture dan motivasi yg panjang lebar. " Yang sekolah orang putih ni nak jadi buruh juga?",, tuding aki pak alang pada syed Ghalib, Samsuddin dan saya. Kami tersengih aja. " Yang dua orang ni boleh tulis surat", senyum orang tua itu pada Othman dan Abdul Ralim, yg lulus darjah 6 sekolah melayu, maka jadilah mereka berdua buruh Jabatan Hutan

Bukan tidak ada tawaran kerja yg kami pernah terima iaitu menjadi guru. Jadi guruuu???
Lalu saya terbayang betapa ayah saya seorang guru, yang sepanjang keriernya meredah dari satu ke satu kampung, bergalah mudik dan berkayuh hilir sungai, berjalan kaki dari satu sekolah ke satu sekolah demi tugas dan mengisi perut anak anak isteri. Itulah tawaran kerja iaitu menjadi guru untuk mengajar bahasa Inggeris di sekolah sekolah melayu. Semua kami yang lulus Lower Certificate of Education (LCE) ditawarkan untuk menjadi guru. Saya tidak terkecuali tetapi tidak menerima tawaran itu atas rasa sedar dan insaf akan keadaan ayah, selain berasa malu dengan sindiran sinis cikgu cikgu di sekolah. Mereka yang diterima dihantar ke Maktab Guru dan Teachers Day Training Centre (DTC). Samsuddin dan Mohamad yg menerima tawaran itu akhirnya jadi cikgu dan Mohamad di atas kapasitinya sebagai guru terus sambung belajar hingga ke Universiti dan akhirnya menjawat jawatan tertinggi dalam Kementerian Pendidikan. Saya, kalaulah saya. . . . .pasti saya juga seorang guru dan tidak mustahil saya sampai ke Menara Gading.

Jadilah saya akhirnya seorang Kerani - Kerani Sementara di Raub Public Works Dept. (PWD , sekarang JKR) melalui satu temuduga yang dibuat sendiri oleh Ketua Pejabat seorang Engineer berbangsa Inggeris. Saya berkhidmat dengan Kerajaan Pahang sebagai Kera- ni selama tigapuluh lima tahun lamanya.

Wednesday, February 25, 2009

Sepanjang hayat 20

KALAULAH SAYA ...:

Kalaulah dari dahulu saya rajin macam sekarang, saya punya cerita tentu lebih baik sedikit. Ada standard. Lantas saya ada banyak idea untuk menulis sekarang, semuanya bernas bernas belaka macam padi malinja. Apabila idea itu datang, ia datang berlambak lambak, tak tersimpan banyaknya. Lepas itu tak tahu pula yang mana satu hendak didahulukan. Lantas ketika berhadapan dengan desk board, saya terhenti, lepas sebatang, sebatang lagi rokok jadi abu. Penyakit malas menyerang lagi, serupa zaman dahulu juga. Jadi sahlah bahawa sanya saya ini memang malas orangnya.

Kalaulah saya rajin bangun pagi, rajin pergi sekolah, rajin baca buku, rajin mentelaah, rajin bertanya, rajin mengkaji, rajin menyelidik dan rajin menguji, pastilah saya sampai kalau tidak ke menaranya, dikakinya tentu sampai juga. Apabila sudah bekerja, apabila sudah berkahwin, apabila sudah dapat anak dan apabila terasa pendapatan kecil, baharulah penyesalan itu datang, datangnya silih berganti. Itulah kata pepatah, biar sesal dahulu asal jangan sesal kemudian, sesal kemudian tiada gunanya.

Saya bertanya balik, atas faktor ini siapakah yang harus dipersalahkan. Orangtua kah, sendirikah, suasana - enviromen kah, zamannya kah atau apa lagi?.

Ada seorang kawan, dia seorang guru menggerutu mengenai anak anaknya yang kurang menjadi dalam pembelajaran. Duduk dibandar, kemudahan semua ada, nak buku belikan buku, nak basikal belikan basikal, nak baju baru belikan, tempat belajar selesa, ada meja, ada kerusi, ada table lamp lagi, makan cukup, duit belanja cukup, pendeknya serba serbi lengkap. Hendak katakan tak marah, memang marah dan nak marah macam mana lagi. Berbanding dengan anak anak orang kampung yang masih bersuluhkan cahaya pelita, terpaksa meniarap di atas lantai bila membaca dan menulis, mandi pagi ke telaga atau sungai, gelap subuh sudah tunggu bas dan belanja harian kadang ada kadang tidak, tetapi masih boleh sampai ke menara gading. Akhirnya kawan cikgu saya berkata: salah tapak rumah agaknya.

Ada seorang lagi kawan saya, jawatan kerajaan bukan lah tinggi, seorang bailiff cuma. Banyak manalah gaji. Tiap tiap malam diluar rumah, kerjanya minum arak, berjudi dan segala kerja kemaksiatan menjadi sahabatnya. Akibatnya, anaknya yg cerdik itu ponteng sekolah hampir satu tahun semasa dalam Tgtn 3 semata mata kerana perilaku ayahnya. Tidak tahu macam mana, henak menjadikan cerita anak itu kembali kesekolah ambil peperiksaan SPR dengan keputusan yang sangat cemerlang lalu membolehkannya meneruskan persekolahannya hingga lulus SPM dengan mendapat pangkat pertama.

Seorang lagi kawan saya, seorang Settlement Officer, feilnya dua kali lima sama dengan Bailiff tadi. Isterinya seorang yang penyabar: biorkanlah dia, asal ada makan dirumah, anak anak boleh pergi sekolah cukup, dia nak kelangit hijaupun lantak dialah. Dalam sabar sabarnya itu, setiap malam apabila suaminya balik dalam keadaan mabuk, dia periksa poket bajunya lalu mengenepikan sebahagian kecil duit yang ada. Hasil daripada pengumpulan duit yang diambil dari poket suaminya itu membolehkan dia membeli sekeping tanah malah menghantar salah seorang dari anak anaknya ke Universiti Azhar.

Justeru, bila saya fikirkan semua ini, saya tidak kesal, tidak akan menyesal. Kalau saya rajin, saya boleh jadi sama seperti Krismas, boleh jadi sama seperti Tongkat Warran, boleh jadi sama seperti Rahman Hj.Yusof. Mereka bukan sekolah tinggi, mereka bukan memanjat menara gading, tetapi mereka rajin. Pokoknya rajin. Itulah hikmahnya kalau rajin. Harap harap esok saya tidak akan malas lagi. Itulah saya kalau bukan seorang Seniman yg hilang.



Tuesday, February 24, 2009

Sepanjang hayat 19

Dulu, kalau kami buat jahat, kami dihukum cikgu, public canning misalnya, ceritanya tak sampai ke rumah. Emak bapak tak tahu. Kalau terdapat kesan kena pukul yg disyaki emak bapak, masih lagi disembunyikan dengan memberi alasan alasan lain. Sebab kita insaf dgn apa yg kita lakukan. Kenakalan budak budak dizaman saya, tidak membabitkan keruntuhan moral, sekadar kenakalan yg boleh diterima oleh orang tua sebagai adat budak budak. Tetapi budak budak sekarang sangat berani, mereka mencanggah guru, ibu bapa dan orang orang tua. Sekarang semuanya telah serba berubah tetapi perubahan ke ala sekarang memakan masa yg panjang juga. Sedar tak sedar, permainan seperti main guli, main gasing, layang layang, menjebak burung, lastik, kundang kundi hilang dengan sendirinya. Disekolah, sukan seperti bola, hoki, rugger, badminton memang ada dan kelengkapan serta peralatanya cuma ada di sekolah . Budak budak kampung kalaupun ada peralatannya seperti bola, kayu hoki, reket dan sebagainya semua buat sendiri. Lagipun zaman itu zaman serba kurang. Mana ada balairaya, mana ada JKKK dan aktiviti sosial langsung tak tahu

Masa saya dalam Special Malay Class, belajar bahasa Inggeris amatlah susah. Hendak memahami satu satu perkara dan maknanya, amboi! kadang kadang menggelikan. Cikgu menjelaskan makna chair, desk, door, window, read, write bukan saja dengan oral malah dengan praktikalnya sekali. Apabila sudah di ajar, cikgu akan bertanya semula, "Do you understand?". Wah! semua murid bangun berdiri. Pening kepala cikgu. Sebab kami baru di ajar makna stand, sedangkan understand belum lagi. Ha ha ha...

Budak budak sekarang boleh belajar dan faham dengan cepat tetapi bercakap tak boleh, orally they cannot speak english fluently terutama budak budak melayu. Malu, segan, takut tak betul dan macam macam. Budak budak bukan melayu terutama India, grammer nya bukan betul, tetapi mereka berani, mereka bedal sahaja, hentam sahaja, broken english pun tak apa .Itulah kalahnya kita. Agaknya kalau budak budak sekarang dikena fine macam di zaman saya dulu, baru mereka tahu, ha ha ha...Tetapi jangan, budak budak sekarang sudah pandai berontak, ada gengsterism di sekolah, nasib tak baik cikgu yg nazab. ha ha ha...

Kelas melukis, budak melayu sangat terror, cantik dan ada seni. Masing masing dengan scenic kampungnya, sebuah rumah kampung ditepi sawah padi, dua tiga batang pokok kelapa yang meliuk liuk ditiup angin sepoi sepoi bahasa, seekor dua kerbau sedang meragut rumput ditepi sawah dengan berlatarkan bukit dan gunung , awan berarak cerah dengan dilintasi sekumpulan burung burung terbang. Aduh! amat nostalgic sekali. Dan apabila ditanya cikgu, " Eh! you, what is your ambition ? Ada yang menjawab, "I want to be peddi-planter, sir." , ada yang hendak jadi kerani, askar, polis dan boleh dikatakan tiada yang bercita cita hendak jadi doctor, lawyer, engineer dan sebagainya. Pada saya yang tidak bercita cita tinggi itu bukan mentallity mereka sebenarnya. Orang melayu dari dahulu sampai sekarang memang suka merendah diri. Padahal, bukan tidak banyak dari generasi saya yang terbang keluar negeri, balik jadi doctor, engineer , lawyer dan sebagainya. Dari kelas saya, misalnya Abdul Hamid yg saya sebutkan diatas tadi di hantar ke England dan balik jadi engineer.

Saya harap anak anak zaman sekarang jangan terlalu merendah diri dari segi cita cita dan pembelajaran. Mereka sudah semestinya berjiwa besar dan penuh dengan keazaman, ber semangat lagi patriotik.


Monday, February 23, 2009

Sepanjang hayat 19

ALAM PERSEKOLAHAN DAHULU DAN SEKARANG:

Saya masuk sekolah Inggeris bermula dengan Special Malay Class pada tahun 1949 di Mahmud School Raub semasa berusia 13 tahun. Sekolah Mahmud berjiran dgn. Sekolah Melayu, Sek. Tamil dan Sek China Chung Ching, beberapa rantai saja dari pusat bandar menghala ke Lipis (Lipis Road). Sekarang Mahmud School telah berpindah ke Jalan Tras, Sek.Tamil ke Jalan Bkt.Koman, yg masih tinggal disitu Sek.China dan Sek. Mahmud dijadikan Sekolah Ren.Kebangsan Raub. Sekolah kami kecil, ada beberapa buah bilik darjah sahaja, tetapi dua sesi pagi dan petang. SMC 1 & 2 kena sesi pagi. Keadaan sekolah jauh berbeda dengan sekarang dari segi kelengkapan dan peralatan. Maklumlah masa itu zaman kolonial. Malaya belum merdeka.

Saya tak pernah duduk di asrama melainkan berulang alik kesekolah dengan bas dari Kg.Batu Talam sejauh kurang lebih 13 batu. Mengapa Batu Talam sedangkan saya orang Sega . Oh! ayah saya mengajar disitu, guru besar Sek.Melayu Batu Talam. Kawan kawan yg berulang dgn bas ramai juga dan diantaranya ialah Tengku Mokhtar, Tengku Rodzman, mereka anak Tok Penghulu, akhirnya kedua dua Tengku itu jadi Penghulu, Zalimah sekarang tak tahu dimana, Tengku Dahlia bersekolah di MGS (Methodist Girls School), Abdullah Nudi jadi pegawai Tanam Semula tinggal dgn bapa saudaranya di Raub. Pukul 6 pagi sudah tunggu bas dan balik sampai ke rumah hampir jam 3 ptg, begitulah tiap tiap hari. Emak beri belanja harian sebanyak 15 sen dan paling banyak 20 sen, cukup untuk segelas air batu berharga 5 sen dan mee goreng 5 sen dan 5 sen lagi belanja beli kacang putih sambil tunggu bas masa balik.

Dalam seminggu kehadiran di sekolah jarang penuh. Macam macam alasan, susah nak bangun tidur, sejuk nak mandi pagi, lambat berpakaian dan curi tulang begini memakan masa, akibatnya tak sempat kejar bas. Balik sekolah tentu lambat, sampai di rumah nak main lagi, letih, bila masa nak baca buku dan belum pukul 9. sudah tidur. Emak bising tetapi ayah diam sahaja. Justeru, saya tidak berapa maju di sekolah, tak pernah dapat kedudukan di bawah 15 pun dalam darjah.

Zaman dharurat pun sampai, keadaan semakin gawat. Hadir ke sekolah semakin kurang. Apa tidaknya, ada masa bas tidak ada dan ada kalanya bas di bakar komunis. Kadang kadang dijalanan, ada orang mati di bunuh kominis mayatnya sengaja diletakkan di atas jalan membuat kami dalam bas jadi takut, menjerit dan menangis. Keadaan ini berlarutan beberapa bulan, lalu ayah tumpangkan saya di rumah bapa saudara yg kebetulan bekerja sebagai penyurih di PWD office ( JKR) setelah dinaikkan pangkat dari Office boy. Di Raub saya berkayuh basikal ke sekolah. Saya sudah berada dalam darjah lima masa itu apabila tamat SMC 1 & 2 terus melompat ke darjah 5. Darjah 5 saya mulai pandai cakap orang putih dan kawan kawan dibandar pun ramai semua boleh berbahasa Inggeris, broken english. Kami cepat belajar kerana desiplin disekolah tidak membenar semua murid bercakap selain dari bahasa Inggeris. Jika didapati ada yg bercakap bukan dalam bahasa Inggeris dia akan diadukan kepada prefect lalu kena saman ( fine) 5 sen. Seorang daripada kawan saya itu bernama Abdul Hamid, punyalah cerdek, mak tuan. Bermula dari SMC 1,2, lompat ke darjah lima, lompat darjah tujuh , lompat darjah 9 (School Certificate) terus ke England dan balik sebagai Geological Engineer. Dua puluh tahun lebih kemudian saya terjumpa denganya di Kuantan. Dia bekerja dengan Firma Quarry.

Sekolah dahulu tidak macam sekarang, murid murid dahulu semuanya takut dengan guru. Walaupun takut, kami cari peluang untuk berselisih dengan guru untuk mengucapkan, "Good morning sir" atau "Good afternoon sir" lalu cikgu membalasnya balik dan kami sangat gembira "very proud of it". Murid sekarang benci guru, mengelak dari bertemu cikgu. Mereka tidak bangga menjadi murid pada cikgunya. Tak tahu apa sebabnya.

bersambung.

Sunday, February 22, 2009

Sepanjang hayat 18

DATUK SAYA SEORANG PENGHULU:

Datuk (aki) saya sebelah emak adalah seorang penghulu. Penghulu terakhir dari orang kebanyakan bagi Mukim Telang, Kuala Lipis bernama Tok Awang Chik bin Tok Usoh. Jawatan itu disandang setelah abangnya bernama Tok Kopak meninggal dunia. Sekarang Penghulu Tok Awang Chik sudah dilupakan orang kerana tidak banyak orang tahu selain dari faktor masa. Orang orang yang sezaman dengannya bahkan ayah dan emak saya yg boleh bercerita sedikit sedikit telah lama meninggal dunia.

Setelah datuk saya, jawatan penghulu bagi Mukim Telang telah berpindah tangan kepada puak puak Cik Wan sehinggalah jawatan Penghulu ditentukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

Datuk saya empat isterinya dan yang ketiga ialah nenek (wan) saya orang Budu. Dua orang anaknya iaitu emak dan emak saudara saya (aruah belaka) adalah anak Tok Penghulu dan saya semestinya cucu Tok Penghulu. Datuk saya itu ramai anaknya, bukan sekadar emak dan emak saudara saya sahaja malah dengan isteri pertama kedua dan kempat ada berbelas belas orang anaknya tetapi sayang semuanya perempuan melainkan seorang anak lelaki bernama Ahmad bin Tok Chik.

Datuk berhenti dari jawatan Penghulu bukan kerana bersara, tetapi berhenti kerana lebih suka untuk menjadi pemandu kereta (driver) Tuan Hugh Clifford Resident Pahang. Agaknya pada masa itu tidak ramai orang yang boleh menyetir kereta, maka datuk saya disebut sebut sebagai orang yang boleh dan sangat layak menjadi driver Resident. Disini kelihatan datuk seperti didorong untuk meninggalkan jawatan penghulu Mukim Telang. Ada konspirasi kot! Tidak ada siapa yang membuat andaian. Jawatan sebangai Penghulu Mukim Telang selepas itu berpindah kepada keturunan Cik Wan iaitu Tok Penghulu Wan Lela.

Diwaktu datuk hampir hampir meletakkan jawatan sebagai Penghulu, dirumahnya di Sg.Kerai dekat kampung Tanjung Jambu, didatangi oleh seorang Benggali menjual roti. Benggali itu memaki serba putih, berserban putih dan janggutnya panjang juga sudah putih, menawarkan kepada datuk tujuh buku roti. "Datuk ambillah roti ini, kasi anak anak makan . Sekarang ada tinggal tujuh sahaja lagi , saya kasi sahaja, percuma". Datuk menolaknya, mungkin perkataan percuma yang diluahkan penjual roti itu membuat datuk kurang selesa mendengarnya . Setelah tawar menawar tolak menolak dengan datuk, penjual roti itu minta diri lalu pergi dengan kata kata akhir " rugilah datuk, datuk menolak tuah." Pada masa sama, wan saya sedang berbaring mendodoi anaknya, emak saya kot!. Menurut wan, dia dengar perbualan datuk dengan Benggali roti itu persis dihujung telinga tetapi tak terdaya untuk bangun untuk turut campur. Matanya bagaikan tertutup oleh mengantuknya.

Apabila Benggali itu pergi, datuk memanggil wan lalu menceritakan keadaan yang berlaku. Wan terus bangun dan bertanyakan dimana Benggali penjual roti itu?. Wan berleter, "kenapa tak ambil, bodoh benar awok ni. Mana ada Benggali jual roti disini. Dah berapa lama kita duduk sini mana ada orang datang berjual apa apa pun". Datuk seperti baharu sedar dari mimpi, lalu terjun ke tanah mengejar penjual roti itu. Benggali itu sudah ghaib. Lepas itu datuk berungut seorang diri, macam mana boleh cepat benar Benggali itu pergi, sedangkan jalan kampung (denai) ....

Menurut Wan, aki deme menolak tuah. Menurut tafsir dan andaianya, tujuh buku roti itu menunjukkan tujuh keterunan jawatan penghulu itu tidak akan terlepas kepada orang lain. Betapa tidak! tak berapa lama selepas itu, datuk berhenti menjadi Penghulu.

Walau bagaimanapun, sekiranya penolakan datuk tidak berlaku dan tafsiran Wan itu tepat, saya tidak akan jadi penghulu juga kerana saya disebelah yang lemah. Anak datuk yang lelaki sahaja yang bernama Ahmad (aruah) ( jawatan akhirnya dengan Kerajaan sebagai Renjer Hutan) yang boleh menggantikannya. Selepas Ahmad tentulah anak lelakinya pula iaitu Abdul Razak - Razak Ahmad pelakun drama (artis). Itulah cerita nenek (wan) saya mengenai datuk kami. Datuk saya seorang Penghulu.

Friday, February 20, 2009

Sepanjang hayat 17

PANGKAT, ATAU GELARAN ATAU PANGGILAN DALAM SESEBUAH KELUARGA.

Pangkat atau gelaran atau panggilan dlm sesebuah keluarga bagi orang Lipis dan Raub yang saya tahu dan yg saya dapat kesan masih dipakai dan digunakan dari dahulu sampai sekarang.

Sebagaimana kita sedia maklum bahawa orang melayu sangat kaya dengan adat resam dan setengah daripadanya sudah menjadi Petua dan tidak boleh dilanggar, "biar mati anak asal jangan mati adat". Begitulah pentingnya adat bagi orang melayu. Adat adat itu adalah seperti nikah kahwin, pertunangan, kenduri kendara, berkhatan, menempah bidan, melenggang perut dan banyak lagi. Disektor pertanian juga tidak kurang adanya, seperti hendak memulakan turun kesawah ada adat dan petua tertentu, demikian utk mula menanam benih, menuai padi dll. Namun demikian adat sebegini sudah mulai terhakis, orang sudah tidak memerlukannya lagi. Karut marut, leceh, buang masa ,tidak mengikut peredaran zaman dan zaman sekarang bukankah zaman saintifik. Tetapi bukan semua dibuang, yg penting masih dipatuhi dan dipakai lagi . Tetapi orang china masih pakai. Kalau nak ambil kira orang orang china lebih maju daripada kita, lebih terkehadapan dan mengapa mereka tak lupa dengan adat nenek moyang mereka? Kalau sesuatu kerja atau projek yg hendak dimulakan, mereka dahulukan dgn memasang colok , mendirikan tokong kecil, meletakkan buah buah dan makanan utk dijamu kepada roh nenek moyang mereka, untk dapat berkat. Bukankah itu adat!!!

Apa yang hendak saya ceritakan disini ialah mengenai pangkat, gelaran dan panggilan dalam sesebuah keluarga melayu disini. Lazimnya orang melayu tidak akan menyebut nama seseorang yang hendak dipanggil itu dengan Ooi!, Eh!, dan sebagainya, setidak tidaknya dengan panggilan hai saudara!. atau dgn memberi salam atau mencuitnya dibahu. Begitulah adatnya, bahasanya, budinya dan yang muda dimudakan dan yang tua tetap dituakan.

Dalam sesebuah keluarga pula, anak yang sulung dibahasakan dengan pangkat, gelaran atau panggilan Long bagi yg sulung ( abang long atau kak long atau along sahaja).
Yang kedua dipanggil Ngah bererti yg tengah (abang ngah atau kak ngah atau angah sahaja).
Yang ketiga dipanggil Uda bererti yg muda (abang de atau kak de atau ude sahaja).
Yang ke empat dipanggil Hitam bererti yang hitam (abang tam atau kak tam atau itam sahaja).
Yang kelima dipanggil Putih bererti yg putih (abang teh atau kak teh atau utih sahaja).
Yang keenam dipanggil Panjang bererti yg panjang (abang nyang atau kak nyang atau anjang sahaja).

Yang ketujuh dipanggil Pandak bererti yg pendek (abang andak atau kak andak).
Yang kelapan dipanggil Kecik bererti yg kecil (abang cik atau kak cik atau acik sahaja).
Yang kesembilan dipanggil Busu bererti yg bongsu (abang cu/su atau kak cu/su atau busu atau ucu atau uncu).

Seterusnya ada pangilan atau gelaran lain bagi yang kesepuluh dan kesebelas iaitu Alang bereti penghalang ( alang atau kak alang) dan Ambong bererti yg sombong.

Bagi anak anak saudaranya pula membahasakan bapak saudara atau mak saudaranya seperti berikut:
Yang sulung dipanggil paklong atau paktua atau Pak awe - maklong atau mak awe.
Yang tengah dipanggil pakngah - makngah.
Yang muda dipanggil pak ude - mak ude.
Yang hitam dipanggil pakitam/paktam - makitam/maktam.
Yang putih dipanggil Pak teh - makteh.
Yang panjang dipanggil pak anjang - mak anjang.
Yang pandak dipanggil Pak andak - mak andak.
Yang kecil dipanggil pakcik - makcik.
Yang bongsu dipanggil pakcu/ paksu - makcu/maksu.
Yang menghalang dipanggil Alang , pak alang - mak alang
Yang sombong dipanggil ambong, pak ambong - mak ambong.

Alang dan Ambong ini adalah pangkat atau gelaran yg boleh diletak dimana mana selepas yg hitam dan sebelum yg bongsu. Dan jika ada lagi bapa saudara atau mak saudara yang lahir sebagai yang ke duabelas, tiga belas dan seterusnya, pangkat yang kedua yang bermula dengan pakngah dan makngah tadi boleh diulang semula dan digunakan seterusnya.

Demikianlah salahsilah kecil bagi sesebuah keluarga khususnya ditempat saya. Saya ini anak yg kedua berpangkat Abang ngah bagi adik adik, Pakngah bagi anak anak saudara dan Tokngah bagi cucu cucu. Kalau umur panjang saya akan mendapat gelaran Moyang ngah pula. Insya Allah...

Thursday, February 19, 2009

Sepanjang hayat 16

DATUK EMPAT MOYANG LAPAN:

Datuk empat moyang lapan ialah satu salasilah kecil bagi seseorang untuk mengetahui asal usulnya. Seseorang itu tetap mempunyai selain ayah dan ibunya, ialah empat orang datuk dan lapan orang moyang. Salasilahnya adalah seperti berikut:
A. Seorang anak itu (kita) ada ayah dan ada ibu (2 orang) adalah maklum.
B. Sebelah ayah - ayah dan ibunya adalah datuk dan nenek kepada kita
(2 orang datuk)

Sebelah ibu - ayah dan ibunya adalah juga datuk dan nenek kepada kita
(2 orang
datuk)
Dua sebelah ayah dan dua sebelah ibu jadi empat - 4 org.datuk.
C. Setiap datuk kita itu ada mempunyai ayah dan ibu. Ayah dan ibu kepada 4 org datuk tadi apabila digandakan menjadi 2 X 4 = 8 orang. 8 org ini adalah moyang kita.

Daripada salasilah kecil tadi, kita boleh orakkan kebelakang atau kehadapan untuk menjadikan sebuah salasilah yg besar, sebuah family tree yang menunjukkan asal usul keturunan kita. Kita patut tahu hal ini.

Setiap orang melayu yg beragama Islam dan beradat-resam melayu, sewjarnyalah mengetahui apa itu "datuk empat moyang lapan". Besar gunanya dan berganda faedahnya. Itulah pokok bicara "Usulluddin". Mengikut kamus Bahasa Melayu - R.O Winstedt., Usul itu ialah ilmu - pengetahuan fasal dasar Agama Islam.

Dibawah ini ialah pantun Datuk Empat Moyang Lapan yg saya petik dari buku Salasilah milik En. Zakaria bin Imam Ngah PJK, (aruah) bekas Ketua Kampung Tersan, Mukim Sega,Raub Pahang. Pemantun ialah sepupu ayah saya dan Pak saudara pupu pada saya.

Ikan tiar ikan jemadi - ikan kerapu ikan tetuka
kita dilahirkan kedunia ini - dengan adanya ibu dan bapa.

Ikan kerapu ikan tetuka - ikan raya ikan lelumba
dgn adanya ibu dan bapa - begitu juga lahirnya mereka.

Ikan raya ikan lelumba - ikan cencaru ikan pelata
begitu juga lahirnya mereka - dengan beribu dan berbapa.

Ikan cencaru ikan pelata - ikan aya ikan lemuduk
dengan beribu dan berbapa - yg kita panggil datuk.

Ikan aya ikan lemuduk - ikan lambai ikan memparang
yg kita panggil datuk - seramai empat orang.

Ikan lambai ikan memparang - ikan raya ikan tetuka
yg seramai empat orang - mereka juga beribu berbapa.

Ikan raya ikan tetuka - ikan lambai ikan memparang
mereka jua beribu bapa - seramai dilapan orang.

Ikan lambai ikan memparang - ikan pelata ikan selayang
seramai dilapan orang - yang kita panggil moyang.

Ikan pelata ikan selayang - ikan kaci ikan alu alu
yg kita panggil moyang - yang mesti diambil tahu.

Ikan kaci ikan alu alu - ikan bunang ikan petanda
yg mesti diambil tahu - supaya senang mengenal saudara.

Ikan bunang ikan petanda - ikan selayang ikan lepu
supaya senang mengenal saudara - berpangkat moyang tuk dan pupu.

Ikan selayang ikan lepu - ikan pelaga ikan keli
berpangkat moyang tuk dan pupu - serta juga muhrim dan wali.

Ikan pelaga ikan keli - ikan kalang ikan haruan
serta juga muhrim dan wali - perkara yg dituntut Tuhan.

Ikan kalang ikan haruan - ikan gelama ikan tiram
perkara yg dituntut Tuhan - bagi yang beragama Islam.

Ikan gelama ikan tiram - ikan duri ikan limbat
bagi yg beragama Islam - wajiblah cari sebelum terlambat.

Ikan duri ikan limbat - ikan mina ikan batulu
wajiblah cari sebelum terlambat - dengan bertanya orang yg tahu.

Ikan mina ikan batutu - ikan todak ikan tenggiri
dgn bertanya orang yg tahu- jika tidak kita yg rugi.

Ikan todak ikan tenggiri - ikan lidah ikan kerisi
jika tidak kita yg rugi - hingga berbalah sesama sendiri.

Sekian, wassalam!...

Wednesday, February 18, 2009

Sepanjang hayat 15

Setelah terbinanya sebuah laman di Internet atas bantuan anak saya si Firdaus @ Pipi @ Pipiyapong, saya sentiasa dikunjungi kawan kawan ( anak anak semuanya). Semakin ramai yg mengikuti blog saya. Aduh! besarnya rasa hati, kembang bagai selasih direndam ha ha.

Sayugiya, bila melihat latarbelakang mereka, aduh! semuanya dari kalangan orang orang terpelajar, berkelulusan tinggi, agresif, aktif dan pintar pintar belaka. Berbanding dgn saya, mak tuan, bagai bumi dgn langit. Sudahlah tua, dah 72 sekarang, tak ada latarbelakang pendidikan yg tinggi, sekadar pengalaman semata mata. Justeru saya rasa amat kerdil, kerdil dalam segala hal. Tetapi dek semangat masih ada, masih kuat, ada hati juga nak challenge orang orang muda ni. Geram rasa hati nak bersilat dilaman yang sama, biarpun adakalanya langkah saya ni banyak yg sumbang.

Ingat! saya ni sekadar bercerita sahaja, berdasar kepada apa yg saya tahu, dengar dan lihat. Tak ada fakta yg tepat. Saya menulis atas dasar lama hidup, banyak makan garam sampai darah naik sekarang dan pengalaman yg tak sebanyak mana. Jadi untuk mengimbangi keadaan, mengambil hati anak anak (kamu semua) kenalah saya buka langkah lain, belajar bersilat semula dengan guru guru silat yang terlatih dan baru. Kena baca buku, kena cari cerita cerita baru, kena baca balik sejarah lama dan kena turun padang jumpa orang itu dan orang ini. Kalau tidak nanti, macam mana nak temberang kat pengunjung pengunjung saya nakal nakal ni yang semuanya bakal jadi pelapis cendikiawan dan kepimpinan belaka!!!

Paling takut ialah patah galah dihaluan, paruhun terkulai pengganti tongkat dan sesat dijalan yg terang. Selera ada makan tak boleh. "Cis, orangtua, apalah kamu ni, jangan menyerah sebelum kalah. Buktikan kehebatan kamu . Sia sia saja belajar bersilat, sia sia saja bertapa di Kota Gelanggi. Mana dia pusaka Tok Gajah, Bahaman dan Mat Kilau...."

Terkejut saya bila mendengar suara itu. Menggeletar seluruh tubuh, pucat muka toreh tak berdarah. Bagaikan terhenti denyut nadi. Aduh! matilah aku...! Dari manakah datangnya suara itu? "Dari dalam diri itu, dari dalam hati kamu yg besar itu yg dah kembang bagai selasih direndam itu"...

Baiklah, saya akan terus menulis saya akan tetap melayan kunjungan anak anak...

Tuesday, February 17, 2009

Sepanjang hayat 14

Ungkapan orang dahulu mengatakan bahawa: Kalau nak makan datanglah ke Kelantan. Kalau nak tidur datanglah ke Pahang. Kalau nak mati pergilah ke Melaka.

Justeru, kalau nak tidur datanglah ke Pahang, tidurlah dimana mana, di Masjid, di Surau tak siapa nak ganggu. Selamat punya. Daripada ungkapan ini menjadi satu rialiti bahawa terlalu banyak orang luar, orang dari negeri lain yg berhijrah ke Pahang. Jangan kiralah yg di Felda tu. Orang orang dari Kelantan terlalu ramai di Pahang. Mereka datang atas dasar selamat, tiada siapa nak ganggu. Jadi mereka datang boleh teroka tanah, teroka tanah haram di merata rata tempat. Orang Pahang tak ganggu, tak marah. Kerajaan Negeri Pahang sokong, galakkan lagi ada. Sehinggakan orang tempatan, anak Pahang sendiri susah dapat tanah. Kalau temuduga, macam macam pertanyaan diajukan, tak betul jawab, sampailah surat " Permhonan tuan ditolak oleh Pihak Berkuasa Negeri" tanpa alasan.

Orang Pahang tidak terpengaruh dengan orang luar termasuk Kelantan. Orang Kelantan datang ke Pahang, mula mula mereka cari kenalan dulu untuk masuk jarum atau bagi umpan. Apabila sudah mengena, mereka panggil lagi puak mereka hingga ramailah jadinya. Bila sudah ramai mereka buka komuniti sendiri, dengan adat resamnya, loghat bahasanya, cara pakaiannya, semotarnya dll termasuk partinya bulan di awan hijau. Di Merapoh, kampung orang Kelantan di Teluk Gunong dan kg Berhamah. Orang Merapoh tidak ikut slang Kelantan. Di Raub, kampung Jelu dekat Hulu Dong. Di Jerantut, kg.Sempadan, Batu Balai dll. Disitu kalau kita pergi, kita seolah olah berada di negeri Kelantan.

Tak apalah, Negeri Pahang masih luas. Daripada kita gadai dan jual tanah pada orang china dari Singapura, baiklah orang kita juga. Sedangkan orang Indon, Banggala, Siam pun yang datang kita diam aje, tak marahpun, sekadar merungut...

SELINGAN:

Ada tamu blog saya yang bertanya tentang, Empang Jaleh, Kg.Suak, Hulu Teris dan kg. Tempoyang. Kampung Suak sebenarnya tinggal nama sahaja. Sebelum PLB (Pembanguna Luar Bandar atau Peluang Luar Biasa) menjadi pesat, Kg. Hulu Teris itu adalah sebuah kampung yang paling jauh dan amat sukar didatangi. Perhubungan mereka ke Bandar Lipis, kini lebih kurang 10 ke 15 KM sahaja, terpaksa menapak ke Sg.Telang untuk berperahu hilir sungai, atau menapak terus ke stesen k,api Padang Tengku sejauh lebih kurang 10 ke 15 km pula. Jadi tidak hairanlah kg.Suak itu dibuka untuk pelarian zaman Jepun. Pada satu ketika Empang Jaleh pecah, airnya melimpah menenggelamkan teratak teratak orang berhampiran kg Hulu Teris dan kg.Suak. Lalu kg Suak ditinggalkan. Tanah tanah yang masih bertitlekan AP (Approved Application) tidak disambung oleh waris warisnya kalaupun masih ada.

Kampung Tempoyang adalah sebuah kampung yg paling hampir dengan bandar. Dekatnya samalah seperti kampung Ketari di Bentong, kampung Bkt.Sekilau dan Darat Makbar di Kuantan, kampung Mat Kilau di Jerantut, kampung Sempalit di Raub atau Kg.Baru di Kuala Lumpur. Masa atau tarikh kewujudannya lebih kurang sama. Semua kampung kampung ini sudah pesat maju membangun dan penduduknya bertambah ramai, tidak seperti Kg.Tempoyang, seperti melukut ditepi gantang. Rumah orang kampung asal masih seperti asalnya. Purata tak sampai 30 buah. Mujurlah ada Taman Permai ( rumah saya) Taman Sri Tempoyang - rumah kos rendah sebagai ganti Flat yg terpaksa dirobohkan, Maktab Guru, Sek.Men. dan Rendah Sri Tempoyang yang baru didirikan setahun dua ini. Kalau tidak Tempoyang adalah kampung tradisional yg dipinggirkan. Jadi asal usul Tempoyang saya tidak fasih, tak minat orang mengkajinya. Walau bagaimanapun, janganlah dihairankan, kerana Lipis adalah sebuah daerah di Negeri Pahang ini yg terakhir mendapat perhatian Kerajaan untuk dibangunkan berbanding dengan daerah daerah lain.

Sementara itu loghat atau slang bahasa di Lipis agak unik. Slang diantara satu kampung dgn.kampung lain sekalipun berhampiran masih tidak sama. Jadi bagaimanakah mereka mesti terpengarauh dgn slang Kelantan, sedangkan slang orang Lipis sendiri tidak standardize.

Monday, February 16, 2009

Sepanjang hayat 13

Keistimewaan Kuala Lipis selepas rumah rakit ialah ikan sungainya. Ikan sungai maksud saya ialah ikan patin, jelawat, kelah, tengalan dan baung yang boleh didapati dari Sg.Jelai, Sg. Lipis, Sg.Kechau dan Sg.Tembeling. Rasanya lebih enak berbanding dengan yg didapati disebelah hilir Jerantut membawa ke Temerloh dan seterusnya ke kuala. Ikan ikan ini telah diketegorikan sebagai ikan kelas pertama dan harganya mak tuan, masyaAllah mahalnya. Dan ikan ikan ini tidak dijumpai dipasaran terbuka.

Tetapi mengapa pula Temerloh disebut sebut sebagai "bandar Patin?" barangkali kerana kuantitinya. Ikan patin senang dipelihara berbanding dengan jelawat, kelah dan tengalan. Patin boleh diternak dalam kolam dan dalam sangkar. Sebab itu banyaklah orang menternak patin sangkar disepanjang Sungai Pahang dan tidak kurang pula diternak dikolam. Rasa patin sangkar dan kolam jauh panggang dari api berbanding patin sungai. Sedapnya rasa ikan sungai di sebelah Lipis ini oi mak datuk!!. Apa lagi kalau dimasak dengan tempoyak. Pendek kata pak dan mak mentua lalu belakang tentu tak nampak punya! Patin kolan dan sangkar boleh dibeli dengan harga RM 15. sekilo dipasar terbuka. Berapa harga ikan patin sungai sekilo? kalau tak ada seratus RM dalam dompet, jangan cuba cuba dekat. Patin sungai ada dua jenis, patin muncung dan patin buah. Kalau tak silap patin muncung lebih mahal dari buah.

Ikan kelah yang outstanding ialah kerana habitat nya terdapat di hulu hulu sungai, dimana airnya bersih, laju, berbatu dan berjeram. Ikan ini cukup liar, pantas dan gagah. Calang calang jaring atau jala rabak ditalanya. Orang Asli menangkap ikan kelah dan lain lain menggunakan "meriang". Meriang dibuat daripada buluh. Buluh buluh yang ditebang itu disirat atau diikat seperti membuat rakit kemudian diletakkan dibawah air terjun yang tingginya sekaki atau lebih. Bila disuruh beberapa orang mengharukan ikan dari sebelah hulunya, maka ikan yang lari kehilir itu terjun ke atas rakit bernama meriang itu lalu mudah sahaja ditangkap. Bijak juga mereka ya, hendak hidup katakan...

Orang Lipis yg kerjanya cari ikan, cukup kalau dapat 5 ke 6 kilo sebulan, tak perlu kerja lain lagi. Apa tidaknya, kalau patin harganya Rm 100. sekg, kelah dan jelawat RM 120. sekg. dan tengalan murah sedikit. Murah murahpun jika tak ada lima ke enam puluh RM, jangan tanya. Mereka boleh dapat empat lima ratus RM sebulan hasil ikan sahaja.Begitulah gahnya ikan sungai di Lipis.

Sekarang ikan sungai di Lipis sudah hilang sedapnya. Ada yang kata isinya pahit dan ada pula yg lain kata tulangnya bisa. Yang jelas bukan itu, zaman dah berubah. Pembangunan semakin pesat. Jabatan Alam sekitar tak sekuat tauke tauke balak, tak terlawan peneroka ladang dan lain lain kontrak pembangunan. Air sungai jadi keruh, ikan semakin pupus dan menangkapnya semakin sukar pula. Jadi sekarang orang Lipis tidak makan ikan sungai lagi. Masa sahaja yang dapat menentukan...

Dahulu sebelum ada rumah rakit ikan patin dan lain lain ikan sangat sedap. Cuba teka mengapa agaknya. Pertama air sungai yg mengalir dari hulu itu sangat jernih. Ikan ikan yang berkeliaran diair itu boleh nampak jelas dari daratan. Kedua orang orang yg tinggal disepanjang sungai belum fasih menggunakan tandas mangkuk, tandas curah melainkan melepas di sungai belaka. Yang ketiga harganya murah. Bila orang Jepun datang ke Lipis, harga ikan sungai memuncak naik macam peluru. Mereka upgrade ikan Sg Lipis, Sg Jelai, Sg.Kechau dan Sg. Tembeling terutama patin sebagai paling sedap didunia. Bagus juga, orang kampung dapat cari makan tapi yang untung orang tengah juga.

Berikutan dengan kenaikan harga ikan sungai, ikan ikan lain yang dahulunya tiada kelas, orang kampung pun tak makan seperti kenerap, belida, lawang, lampam, kerai dan lain lain, sekarang turut bersaing dipasaran menjadikan orang melayu kurang memakannya melainkan orang yg ada pitih sahaja. Apakah projek alternatif Jabatan Perikanan, Alam Sekitar, Parit & Saliran boleh mengembalikan keadaan dan suasana kemewahan dan keceriaan supaya orang miskin dapat semula makan segar terus dari sungai seperti dahulu. Tiada siapa yang tahu

Sunday, February 15, 2009

Sepanjang hayat 12

Raub dan Lipis adalah sinonim dengan emas. Raub the golden town. Orang putih sudah melombong emas di Raub sejak sebelum perang dunia kedua lagi. Bukit Koman pusat operasinya lebih kurang 5 km dari bandar Raub. Sebuah syarikat Australia yang bernama The Raub Australian Gold Mind yang mengankut kekayaan dari bumi Raub sampai kering kontang. Kesan dari operasi tersebut masih dijumpai kalau kita ke Bkt.Koman. Sistem kerjanya ialah sama dengan Lombong Bijih Timah di Sungai Lembing, Kuantan iaitu dengan membuat terowong dibawah tanah sejauh beratus ratus kaki dibawah permukaan tanah. Kata orang terowong terowong itu telah sampai kebawah bandar Raub.

Suatu ketika jentera pengepam air dpd.sebuah lombong tersebut telah rosak. Air telah memenuhi lombong tersebut dan ramai pekerja pekerja terperangkap dan mati didalamnya.Pihak berkuasa lombong tersebut mengambil masa berbulan bulan untuk mendatangkan jentera yg baru dari England. Apabila air dipam, terdapatlah mayat mayat yang masih tersangkut pada tangga naik. Kejadian ini berlaku semasa saya masih bersekolah lagi di Mahmud School Raub, kira kira dalam tahun 1950 kalau saya tidak silap.

Di Empang Jaleh, Kuala Lipis sebuah Firma Perlombongan sedang beroperasi disana. Lombong tersebut sudah beroperasi lebih sepuluh tahun dan menurut anak saya seorang dpd pekerja disitu menngatakan 10 tahun lagi mungkin tak habis. Sebuah lagi Firma perlombongan emas sedang berjalan di Kuala Medang. Demikianlah banyaknya emas didua daerah ini. Melombong secara dredging atau open cast tidak ekonomik, sebab itu kita kurang dengar pelombong pelombong tempatan yang menjadi taukeh taukeh lombong emas.

Justeru, kekayaan Negara kita terus dikaut orang asing. Namun, pakar pakar yang mengendalikan operasi itu kebanyakan orang tempatan. Maknanya rakyat negara kita mampu tetapi mungkin belum boleh diharap.

Empang Jaleh itu sudah dibena lebih seratus tahun dahulu oleh orang putih yg menjalan kerja kerja melombong emas. Sekarang mereka datang sekali lagi. Mengapa tidak ada orang tempatan yg boleh. Boleh jadi konsesi tersebut tidak ada tarikh mati.

Bukan tidak ada orang melayu mencari emas, ada. Cara mereka selain dari mendulang secara persendirian dan sembunyi sembunyi, ialah dengan menggunakan bomoh. Menarik emas, kata mereka. Ini kerja misteri. Seorang kawan saya kepingin sangat hendak tahu sama ada betulkah dalam empang itu ada emas, bertanya kepada seorang bomoh. Lalu diberi mentera untuk dibaca ditepi tebing empang itu pada waktu senja. Apalagi tiba tiba timbul seorang yg. besar tubuhnya berpakaian putih dari tasik itu menatang dikedua belah tangannya jongkong emas sebesar batu bata. Phuuuuh! terkejut besar dia lalu lari lentang pukang. Bila ditanya bomoh itu mengapa lari, mengapa tak minta, orang dah beri mengapa tak ambil. Kawan saya tu tak bercakap lagi, pucat toreh tak berdarah. Taubat!!!

Saturday, February 14, 2009

Sepanjang hayat 11

Pahang negeri saya, Kuala Lipis tempat lahir saya dan bandar Lipis tempat duduk saya, nafas saya masih mampu masuk dan keluar disini sementara menunggu hayat padam. Negeri Pahang yg unik ini banyak peliknya. Sungai Pahang yg ada kuala tetapi tiada hulunya. Dimana hulunya?. Tiada siapa yg tahu. Tidak ada orang yg hendak ambil tahu. Kalau ia berhulu ke Hulu Tembeling kenapa ada kualanya. Kalau hulunya Sg.Jelai, mengapa pula disebut orang Hulu Jelai tidak Hulu Pahang. Demikian dengan Kuala Lipis yang tiada hulunya. Ada kuala tiada hulu. Sekadar disebut orang Hulu Sungai.

Dimana orang sejarah, sejauh mana dan sesaujana manakah usaha mereka mencari hulu sungai Pahang? Sekurang kurangnya tunjukanlah pelan tindakan mereka, ha ha ha tapi saya.....

Apakah ini satu rahsia umum? Memang ada orang bercakap mengenainya. Pembesar pembesar sering berucap mengibaratkan topik ini sebagai wadah intelectual tapi tiada cendikiawan yang menerima cabaran. Wakil wakil rakyat juga menjadikannya ucapan yang lunak dan bisa tetapi sekadar halwa menyedapkan telinga yang mendengar. Cukup, biarkanlah ia menjadi misteri sepanjang hayat.

Pernahkah anda ke Kuala Lipis, buang masa sedikit berkereta ke Jalan Bukit Bius? Disitu banyak bangunan bangunan lama peninggalan kolonial Inggeris, tempat tinggal mat salleh mat salleh selaku ketua ketua Jabatan pada zamannya. Rumah rumah banglo itu masih utuh tetapi terbiar. Kerajaan Negeri Pahang bagaikan tak mampu menyelenggara bangunan bangunan lama itu yg sepatutnya boleh ketengahkan untuk dijadikan Tapak Warisan Kebangsaan. Sekarang banglo banglo itu sudah menjadi "haunted house" . Sang rempit dan pemadat pemadat pun tak sanggup kesitu.

Bukan itu saja. Residency rumah kediaman bekas Resident British di Pahang Hugh Clifford masih tersergam indah. Untunglah Pihak Berkuasa Tempatan memindanya menjadi Rumah Rehat. Bangunan ini terjaga dengan beberapa tambahan tetapi keasliannya masih ada. Kalau tak percaya datanglah tengok sendiri. Tetapi jaga, ada penunggu misterinya, salah beri salam, salah langkah, salah masuk bilik, lemah semangat kalu, semput. Orang ghaib yang menjaganya bernama "datuk pengelima Sakti" kurus dan tinggi lampai bentuk tubuhnya, kawan saya... ha ha ha...

Thursday, February 12, 2009

Sepanjang hayat 10

Mystictism atau mystic mengikut bahasa kamus ialah: Orang mencari kebenaran diluar fahaman manusia dengan cara bersemadi. Inilah amalan Ahli ahli Sufi, Ahli ahli Suluk dan Ahli ahli Tarikat. Mereka beramal bersungguh sungguh untuk sampai ke tahap tertinggi Ilmu Maarifah. Orang yang mengambil jalan ini kenalah berguru, berguru dengan orang orang yang murshidin. Inilah jalan para wali. Sekarang kita tak jumpa lagi dengan para wali yg. sebenarnya. Kalaupun ada kita tidak kenal - "mutu sahaja yang mengenal maanikam." Tetapi yang mengaku diri mereka wali ada, lalu bertindak jadi guru. Guru guru yang membawa jalan inilah yg dikatakan sesat, ilmu salah dan sebagainya sebab ilmunya belum sampai ketahap yang sepatutnya. Merekaini tidak membawa jalan yang empat iaitu Syariaat, Hakikat, Tarikat dan Makrifat sekaligus. Ada yang memboikot masjid dan surau, tak perlu sembahyang dan berbagai lagi.

Dulu kita hanya dengar orang orang wali menurut cerita, tidak ada orang yg menulis tentangnya secara khusus. Tok Ku Paloh dari Terengganu, Tok Kenali di Kelantan, Tok Sagor di Perak, Tok Janggut, Tok Tangguk dan banyak lagi. Yang ada sekarang adalah murid muridnya, ada yg tak habis menuntut, ada yang salah bawak dan macam macam. Ada yang mengambil ilmu untuk akhirat, ada yang mengambil ilmu dunia untuk menjadi pahlawan. Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau berguru kepada Tok Ku Paloh, tetapi mashurnya di Pahang. Mereka belajar ilmu kebatinan, persilatan, halimunan, kekebalan dan banyak lagi.

Sebaiknya orang sekarang patut belajar ilmu ilmu ini, bukan sahaja sebagai bekalan utk. mempertahankan diri tetapi belajar untuk ketenangan, kesabaran dan kekuatan minda. Eloklah belajar, jangan jadi orang jahil, bukan sahaja jahil akan Tuhannya tetapi juga jahil akan dirinya sendiri. Cuba kita imbas sedikit peristiwa 13 Mei, orang orang melayu di Selangor berlawan tak pakai senapang tetapi padan dengan parang sahaja. Demikian dengan rusuhan kaum cina dan melayu di Batu Malim Raub, mana ada senapang, berlambak musuh yang mati. Berapa banyak mayat dicampak ke Sg. Lipis? Orang yang tinggal disepanjang Sg. Lipis berbulan tak minum air sungai dan tak makan ikan. Itulah hakikatnya. Tetapi saya ni cerita sahaja!

Lagi satu cerita: Ayah Man Tok Wali di Kuantan. Dia orang Pekan, Pulau Rusa kalau tak silap saya. Pakaiannya Allah Hu Akbar, kain pelekat buruk, baju kot yang udah berbulan malah bertahun tak jumpa sabun, Masya Allah! Hari hari dia ada di bandar Kuantan. Dimana dia tidur, apa dia makan orang tak kesah. Ada seorang yang kesah Syed Muhammad bin Syed Alwi - SO (Settlement Officer) di Pejabat Tanah Kuantan sekarang aruah. Syed ini seorang pianist, seorang pemain piano yang handal, main partime di Hyatt Hotel waktu malam. Akhirnya dia bersara dari jawatan SO lalu berpindah ke Kuala Lumpur main piano di Royale Park Hotel. Hari hari dia bawa Ayah Man Wali ini naik kereta, berjalan kesana kemari sehingga ketempat dia main piano. Orang tak kesah, agaknya anggap sajalah Syed Muhammad ni gila, gila macam Ayah Man juga. Saya pernah bergi rumah Ayah Man ni dan waktu itu dia sudah tidak dibandar Kuantan lagi. Selalu ada di rumahnya. Dirumah itu dia duduk di selasar ( sekarang ini orang kata anjung) dicelah celah himpunan barang barang buruk yang dikutipnya. Dia ada banyak cincin dipakai disetiap jari. Sebentuk dpd. cincin itu kecil sedikit lalu menjerut jarinya hingga bengkak, hampir berkudis jadinya. Bila diajak kehospital potong cincin itu maka jawabnya, biarkan. Dia meninggal di hospital Pekan, Tn. Haji Shaari bin Ali CC Pejabat Tanah Pekan menelepon saya mengkhabarkan bahawa Ayah Man Tok Wali dah meninggal. Innalillah....

***************

Saya kenal Ahmad Boestamam semasa saya berumur belasan tahun. Masa itu saya tinggal dengan Wahab Majid, adik kepada Abdullah Majid bekas Wakil Rakyat Parlimen Kawasan Raub selepas Datuk Hamzah Abu Samah (Menteri). Bukan sahaja Ahmad Boestamam, bahkan Pak Sako, Hasnul Hadi malah Lee Kuan Yew pernah sampai ke rumah Wahab Majid ( rumah sewa ) di Jalan Hamzah Kampung Baharu Kuala Lumpur. Apa yang mereka bual dan bincang saya mana tahu, saya masih lagi bersekolah masa itu.
Wahab Majid orang Partai Rakyat, orang sosialis, Tanduk Lembu. Dan saya ambil peluang membaca banyak buku di rumah Wahab Majid. Jadi tak hairanlah saya terikut memihak kepada fahaman sosialis. Tambah pula zaman saya kecil di Kg.Budu Kuala Lipis, saya pernah mendengar Ahli KMM ( Kesatuan Melayu Muda) menyanyikan lagu Darah Rakyat beramai ramai dan berkawad ala tentera, bersemangat dan menyeramkan.
Saya turut sama menyanyi tetapi saya sudah lupa liriknya. Ha ha!

Cerita mengenai Boestamam saya kurang fasih. Kalau kita baca "Tujuh Tahun Malam Memanjang" mungkin boleh dapat sedikit kesah perjuangannya. Pak Sako bagi saya adalah caca murba, orang politikkah, Sasterawankah, Senimankah, susah saya nak imbas. Tetapi yang jelas beliau adalah seorang Sasterawan - Sasterawan Negara. Bacalah ISHAK HAJI MUHAMMAD Penulis dan Ahli Politik sehingga 1948 karya Abdul Latif Abu Bakar, Memoir Pak Sako Putera Gunung Tahan, terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi, 1996. Pak Sako sudah menjadi lagenda umum, semua orang tahu, orang kampung pun sudah tahu. Sebuah tugu patut dibena di Buntut Pulau.

Wednesday, February 11, 2009

Sepanjang hayat 9

Saya yakin bahawa Tok Peramu itu Datuk Bahaman, berasas kepada munculnya Mat Kilau di Pulau Tawar Jerantut l.k. 38 tahun yang lalu. Sebelum Mat Kilau muncul dan diisytihar kan, beliau tinggal di Batu 5 Jalan Gambang, kawasan Paya Besar. Mengikut cerita,Pahlawan melayu sangat taat kepada Raja, mereka tidak akan menderhaka malah raja perlu dilindungi. Justeru, betullah, Datuk Bahaman tinggal di Peramu, Mat Kilau tinggal di Paya Besar dan Tok Gajag tinggal di Rompin, mereka tidak boleh berjauhan dengan Raja.

Kesemua tiga pahlawan melayu terbilang ini telah meninggal dunia. Tamatlah cerita mereka, tanpa mendapat tempat dipersada pemerintah. Kalau adapun cucu cicitnya, mereka tak kesah. Barangkali mereka beranggapan, yang handal, yang gagah perkasa itu datuk nenek mereka, bukan anak cucunya.

Tetapi, sayugia diingati, tak mustahil kalau ada orang mengatakan bahawa ketiga tiga pahlawan itu masih hidup dan pernah dijumpa orang. Bukan saja Tok Gajah, Datuk Bahaman dan Mat Kilau, malah Tok Pawang Nong Hulu Cheka pun pernah ditemui orang. Mustahilkan!. " Tiap tiap yang bernyawa itu mesti mati"

Saya beri satu contoh: Satu hari kawan saya bernama Sano nama sebenarnya Zainal bin Buyung, orang kampung Merang Atok, bermotosikal ke Benta lalu singgah di Kios minyak di Benta. Disitu Pak Sano bertemu dengan satu orang dan bersembang pendek. Bertanya khabar dan sekadar berjabat tangan. Oleh kerana Pak Sano hendak cepat bertemu kawannya yang telah dijanjikan di Pekan Benta, lalu dia minta diri. Apabila Pak Sano ditanya kawannya, kenapa lambat, dia menceritakan bahawa dia bertemu dengan Tok Pawang orang Jerangsang tadi itu. Hatta ! kawannya sangat terkejut, "awak biar betul, orang tua itu dah tiga tahun meninggal dunia" . Mustahilkah cerita ini? Jawabnya tidak. Kita boleh percaya saja tapi tak boleh beriman kpd.cerita sebegini. Kalau hendak tahu lebih lanjut, kita kena buka lambaran lain, Masya Allah!!!.

Kalau kita menonton film film klasik barat, unsur unsur mystictism yang dipaparkan, kadang kadang tidak manusabah, tidak masuk akal seperti orang terbang, orang ghaib dan sebagainya. Tetapi bukankah itu futuristik mereka hasil kajian daripada kitab kitab lama dan kuno mereka. Mereka berbuat sesuatu kehadapan berasas kepada yang dibelakang. Bukan macam kita orang melayu, mahu kehadapan tetapi tidak peduli dari mana asal kita dan siapa kita. Ha ha macam orang pandai pulak saya ni. Maaf ya.

Tetapi itulah hakikatnya. Sejarah itu perlu, tetapi saya hanya tahu cerita tanpa fakta dan tarikh yang tepat. Harap harap Dato' Haji Zainuddin Jumaat, bekas wakil Rakyat Penor dan kini Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang dapat bantu dan bimbing saya menjadi seorang penulis bebas yang prolific.

Tuesday, February 10, 2009

Sepanjang hayat 8

Simposium DPMP: Siapakah Tok Peramu?
Simposium siapakah Tok Peramu: Adakah orangtua itu Bahaman atau bukan atau siapa!!! Inisiatif ini ditaja oleh DPMP pada tahun 1976-77 ( kalau tak silap) dengan membuka kepada semua ahli ahlinya, Ahli ahli sejarah dan siapa saja yang tahu mengenai seorang tua yang tinggal di Kampung Peramu itu. Kg. Peramu terletak diseberang Sg. Kuantan kira kira berhadapan ( opposite) hospital atau Kompleks Teruntum.. Ada dua jalan ( masa itu) untuk sampai ke Peramu, satu menaiki bot ( tambangnya masa itu 50 sen seorang bagi satu perjalanan) dan satu lagi dengan menaiki kereta atau bas. Jauhnya perjalanan dengan kereta lebih kurang 20 batu dari bandar Kuantan.

Hasil daripada kajian tersebut ramailah yang memberi pendapat. Ada yang mengatakan Ya dan ada yang mengatakan Bukan. Hasilnya 50 - 50. Kerajaan Negeri, sudah tentu tidak dapat menerima kerana pro dan kontra nya sama. Sekiranya Tok Peramu itu Bahaman, pastilah struktur Orang Besar Berempat Negeri Pahang menjadi kacau bilau.

Apa yang hendak saya ceritakan ialah episod rombongan 10 orang yang hendak menemu bual orangtua itu termasuk saya. Sebaik sampai dihadapan rumah Tok Peramu, ketua rombongan memberi salam. Salam dijawab oleh pengasuh lalu mempersilakan kami naik. Orangtua itu berbaring diatas katil dengan selimut sampai keleher dan memakai cermin mata hitam. Disebelah kepalanya terletak sebuah radio yg terus berkumandang tanpa tepat pada channel. Kamipun duduk. Tanpa berlengah ketua rombongan membuka mukadimahnya, " pada tahun sekian sekian blah blah blah, Tok Aki duduk dimana?" Itulah pembukakata yang awal dan akhir. Selepas setengah jam kemudian pertanyaan ketua rombongan tiada responce, kamipun sapu punggung lalu balik.

Ada member yang tak puas hati. Minggu hadapannya, saya sendiri bertindak sebagai ketua rombongan lalu membelah arus Sg.Kuantan ke rumah Tok Peramu. Sebelum pergi, saya minta orang rumah saya, ibu pada si Firdaus, buat pulut kuning dan ayam panggang. Sesampai saja dihadapan rumah orangtua tu, saya memberi salam. Salam di jawab oleh pengasuhnya lalu mempersila kami naik, sambil berkata, " ini anak cucu datang bawok pulot kuning" Phuh!!! orangtua itu terus bangun lalu berdoa. Panjang doanya. Kamipun berceloteh. Susah nak faham celotehnya, pekat loghat Kelantan purba. Member Kelantan yang sama dlm. rombongan itu juga tidak faham. Diantara lain yg. saya dapat fahamkan bahawa katanya, Mat Kilau tu orang handal. Sepelepah daun nyior gugur, dia dah tahu berapa banyak regisnya (lidi). Dari ungkapan itu saya yakin bahawa orangtua itu sebenarnya Datok Bahaman, bekas Orang Kaya Semantan, orang besar berempat Negeri Pahang.

Menurut cerita seorang Imam yang tinggal di Peramu, sebelum Jepun masuk orangtua itu tinggal di Padang Lalang. Dulu kampung sekarang sudah jadi kawasan Industri. Tahu dimana Pdg.Lalang. Kalau kita nak ke Tg. Lumpur melalui jambatan Sg.Kuantan dan sebelum naik jambatan ada simpang ke kiri jalan menghala ke Tg. Api & Kg. Selamat. Di situlah Padang Lalang. Katanya: apabila Jepun mendarat di Kuantan, semua orang Kg.Pdg.lalang lari ke seberang ke Tg. Lumpur dan Peramu. "Aki mohlah naik perahu kita lari keseberang," kata salah seorang orang kampung mengajak orangtua itu naik perahu. " Mohlah deme dulu, aki ikut kemudian," jawab orangtua itu. Apabila rombongan pelarian dengan perahu itu sampai keseberang, didapati orangtua itu sudah ada berdiri ditebing sungai.

Anih bukan! Jadi betullah dan saya yakin bahawa To Peramu itu adalah Datuk Bahaman.

Monday, February 9, 2009

Sepanjang hayat 7

Zaman dharurat memang susah tapi tidak sesusah zaman Jepun. Zaman kominis Bintang Tiga ( kominis atau bandit @ penjahat ) menjadi musuh kepada Penjajah Inggeris sebenarnya. Orang china yang menjadi kominis membawa fahaman chauvinist yang diimport dari Tiongkok. Bintang Tiga pernah memerintah Malaya selama 13 hari. Tetapi mengapa ada orang melayu jadi kominis ?.

Orang melayu yang jadi kominis itu sebenarnya bukan kominis tetapi adalah serpihan dpd.nasionalis melayu yang dipelopori Ibrahim Yaakob (IBHY) Ahmad Booestamam, Ishak Hj.Mohamad dll. yang tak sempat ditangkap oleh Inggeris, lari kehutan. Mereka bertemu dengan puak china chauvinistik, lalu membentuk satu pasukkan menentang Penjahah Inggeris di Malaya.

Selain dari Askar Melayu yg sedia ada yang ditubuhkan pada tahun 1925, Kerajaan Inggeris mengrekrut banyak lagi pelapis tentera seperti Special Constable (SC), Home Guard dll. Dengan itu ramailah orang melayu yg dapat kerja. Mereka diberi latihan yg cukup untuk menentang kominis. Yang tak tahu membacapun dapat masuk Askar Melayu. Yang capek, mata rabun, tempang dan yg pendekpun dapat masuk SC. Kerja mereka kebanyakannya melindungi tuan tuan manager estet di ladang ladang getah kepunyaan British. Memang kominis nak bunuh orangputih. Sebab itu Pesuruhjaya British di Malaya Garald Templer diambush oleh kominis dan mati.

Zaman Penjajah, zaman Jepun , zaman dharurat telah berlalu dan sekarang kita berada dizaman Merdeka. Kerajaan Perikatan kini Kerajaan Barisan Nasional yg mendakwa merekalah yang memerdekan Malaya. Betapakah halnya dengan nasionalis nasionalis tardahulu, tidak dijadikan sejarah Tanahair. Kehadiran mereka cuma dipamerkan di Musium sahaja.

Dari tiga zaman itu - Penjajah Inggeris, Jepun dan Dharurat, siapa yg lebih kejam, tanya seorang anak (blogger) saya. Kita ketegorikan kepada dua, satu dari barat iaitu Inggeris dan dua dari Asia iaitu china dan Jepun. Pada hakikatnya, kekejaman Jepun-China terasa sakitnya pada tubuh, tetapi kekejaman Inggeris sakitnya sampai ke tulang sumsum.

Nasionalis nasionalis melayu yg bersekutu dengan Kominis yang berjuang melalui kekerasan seperti Rashid Maidin, Zainab Baginda dan ramai lagi ( sudah lupa ), mana kala mereka seperti Wanali, Manaf Jepun di Pahang sejarahnya mereka terus padam, sedangkan mereka tidak pernah membunuh sesama melayu. Yang dicarinya hanya orang Inggeris.

Siapakah Wanali, Manaf Jepun, tiada siapa yang tahu. Tidakkah mereka sinonim dgn. Tok Bahaman, Tok Gajag dan Mat Kilau, juga tidak dijadikan sejarah, sedangkan merekalah yang sebenarnya menentang Pejajahan British.

Saya pernah mencadangkan kepada Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), secara tidak formal supaya membuat satu kertas Kerja utk diangkat kepada Kerajaan Negeri Pahang bagi mendapatkan satu peruntukan. Kertas Kerja utk membuat Autobiography bagi semua wakil wakil rakyat Negeri Pahang dari Pilihanraya pertama sampai sekarang.
Hasil dari kerja tersebut DPMP mungkin dapat menambah kantung kewangannya yang sentiasa kosong. Macam macam alasan telah diberikan, lalu saya diamkan diri.

Saya pernah terfikir utk menulis riwayat hidup Wan Ali ( Wanali ). Menulis tentang cara hidupnya, pendidikannya, faham politiknya, ilmu dunianya, ilmu akhiratnya, keluarga nya, "romance"nya dll. Sekurang kurangnya ia boleh diolah seperti cerita rambo, cowboy Roy Rogers dan sebagainya tapi tinggal angan angan tak ada modal.

Sunday, February 8, 2009

Sepanjang hayat 6

Masa itu zaman dharurat. Saya pergi sekolah naik bas dari Kg.Batu Talam ke Mahmud School Raub. Ayah saya Cikgu Zabidi, datuklah pada Firdaus, jadi guru besar Sekolah Melayu Batu Talam, bertukar dari Sek.Melayu Tg.Gahai, Kuala Lipis, menggantikan seorang cikgu yang ditangkap Polis kerana rusuhan kaum.

Pada suatu hari Isnin, gurubesar itu mendapati banyak anak muridnya tak datang sekolah. Kebetulan hari itu ada pekan sehari di Batu Malim, terletak kira kira lebih sebatu jauhnya dari sekolah. G.B itu mengambil keputusan untuk menjejak dan menyiasat mengapa berlaku demikian! GB berjalan kaki seorang diri diatas jalanraya yang tidak bertar dan sepanjang jalan itu masih hutan belukar. Dengan sebilah parang sebagai senjata untuk mempertahankan diri dari serangan binatang buas, ia bertekad untuk mencari anak muridnya yang tak datang sekolah. Begitulah hemah seorang guru pada zaman itu. Belumpun sempat sampai ke pekan sehari tiba tiba terak polis yang datang dari Raub menahannya lalu menuduhnya mengambil bahagian dalam rusuhan kaum di Batu Malim. GB itu dipenjarakan atas tuduhan tersebut selama 5 tahun.

Memang benarlah satu rusuhan kaum telah berlaku di Batu Malim diantara orang melayu dengan orang china. Banyaklah yang menjadi korban. Justeru, banyaklah orang melayu ditangkap dan dipenjarakan. Yang dipersalahkan ialah orang melayu. Peristiwa itu merupakan satu titik hitam yang bersejarah. Generasi baru dari anak tempatan Batu Talam dan Batu Malim sepatutnya merakamkan peristiwa berdarah itu sebagai satu Memorial.

Zaman itu zaman dharurat, sekolah dan rumah guru agak jauh dengan kampung. Orang kampung kebanyakannya tinggal ditepi Sg.Lipis. Jadi terpencillah kami dengan orang kampung. Ayah saya sering dipanggil polis disiasat kenapa beliau dan sekolah tidak diganggu oleh Bandit (pejahat kominis). Sampai sekarang saya tak dapat jawapannya. Mungkin ayah saya orang lama, orang lama ni banyak pakaiannya, pedinding, pembias atau jampi serapahnya banyak.

Jadi, berjasakah mereka ini sebagai kakitangan Kerajaan. Apakah pandangan dan andaian orang ( masyarakat & Kerajaan) pada orang orang seperti GB yang dipenjarakan itu atau ayah saya atau mana mana orang lain yang mempunyai cerita yang sama?.

Ini cerita lama. Orang sudah lupa. Barangkali orang tak suka nak ungkit cerita cerita macam ini. Buang masa. Persatuan Sejarah Negeri Pahang pun barangkali tak suka. Dato' Zainuddin Jumaat mungkin tak larat lagi buat kerja macam ini. Hendak bawa tubuhnya sendiri sukar. Tapi tak apa Dato' , kalau datang ke Pahang Barat ni carilah saya. Kita boleh sama sama buat kajian, lepas tu tulis dan lepas tu simpan. Ok!

Ayah saya tu, cikgu Zabidi tu, adalah guru yang pertama membuka Sek.Melayu Kuala Medang. Dia mengajar disitu sebelum perang dan selepas perang. Dalam masa sama, sekalipun tinggal jauh dihulu, aktiviti sosialnya menyeluruh. Beliau adalah seorang Anggota Tentera "Force 136" , Anggota Tentera Wataniah. Jika jambatan keretapi di Kuala Lipis tidak di bom oleh Jepun, beliau tentu telah berlepas ke Singapura untuk berperang dengan Jepun. Bila dia pencen, dia balik kampung, jadi orang kampung.Yang tinggal padanya ialah dibelakang namanya ada perkataan cikgu. Cikgu Zabidi, sekarang aruah cikgu Zabidi. Satu apapun tak dapat. Itulah perjuangan orang dulu. Patutkah jasa mereka dikenang!!!.

Saturday, February 7, 2009

Sepanjang hayat 5

Ideology sosialis tidak dapat diterima di Asia khususnya di Malaysia. Kata orang melayu, sosialis itu kominis. Kominis tak ada agama. Ada satu kawan cakap, selagi kita turun ke tanah terpijak sayur, mengharung air terpijak ikan selagi itulah sosialis tidak wujud di- tempat kita ini.
Kita sekarang dalam zaman ( Age) apa? Kalau kita baca ideology atau zaman atau "age" yang bermula dengan zaman batu, kita sekarang baru berada dizaman Materialism, bermakna ada dua lagi zaman atauIsme yang akan dilului oleh dunia iaitu sosialis dan kominis.

Saya masih ingat saya pernah belajar mengenai sosialism daripada seorang melayu bekas tahanan Tg. Beruas. Beliau orang Chebong, Tembeling Jerantut. Dia mengajar tak pakai teks, muridnya juga tidak dibenarkan mencatat sebarang nota. Kalau boleh ingat, ingatlah. Dalam kata lain, macam kita belajar menghafal Muqadam atau Sifat Duapuluh.

"Abang belajar dari sapa?" tanya seorang kawan.
"Seorang tokoh politik dari Indonesia lulusan Leninggrad" jawabnya bersahaja.

Beliau bukan sapa sapa dalam partai, tak ada jawatan / pangkat, " keja kawan menebas lorong dalam hutan aje," katanya tersengih.

Banyak lagi ungkapan dan pandangan jauh yang diceritakan oleh beliau. Pada tahun 60 han, sekitar tahun 1966-67 ( kalau tak silap). Beliau pernah berkata, " kita sekarang berada di ambang implasi, sebab itu kita kena cari harta sekarang." Lalu beliau memberi contoh Perang Korea. Bagaimana orang Korea tidak kalah dengan Amerika, sebab sebelum perang mereka sudah bersiap sedia menghadapi perang. Mereka telah menyimpan barang makanan dan senjata untuk digunakan selama 30 tahun. Bukankah perang Korea memakan masa 30 tahun?

Bagaimanakah seorang melayu yang tinggal di Hulu Tembeling yang tidak berpendidikan tinggi, jarang jumpa surat khabar, tak dengar siaran radio, tak ada jalan raya, keadaan hidup miskin tegar boleh membuat analisa politik sejajar dengan orang sekarang yg tinggi kelulusannya. Kenapa beliau memilih jalan kiri ? Boleh jadi dia lebih perihatin pada orang disekelilingnya yang lebih miskin dan lebih mengharap sesuatu perubahan. Agaknya pada masa itu orang bodoh, miskin, tak ada pelajaran tak boleh angkat muka dengan orang kaya dan orang berdarjat.

Friday, February 6, 2009

Sepanjang hayat 4

Diantara yang menggelikan:
Selamat Ahmad Kamal: " Berapakah putera dan puteri saudara?" dengan loghat baku sedikit telor Indonesia.
Cikgu Wahab orang ditanya itu sebenarnya cikgu silat ( gurusilat):" Aaah,nanti duluh" dlm. loghat kampung Pagar Sasak, sambil mengangkat kedua belah tangan lalu mengira jari jemarinya. Semua orang yang mendengarnya tergelak berdekah dekah. Sebenarnya semua orang dah tahu, cikgu Wahab punya anak hampir 40 orang hasil perkongsian hidupnya dengan beberapa orang isteri. Pada masa itu beliau sentiasa ada 4 isteri dalam satu masa.
Cikgu Wahab adalah anggota Partai Rakyat Malaya yang pernah bertanding sebagai ADUN Padang Tengku menentang Wan Abdul Rahman. Kawasan Padang Tengku teramatlah luasnya. Bayangkan dari Merapoh ke Hulu Tembeling dan kawasan Parlimen Lipis termasuk Jerantut. Cikgu Wahab kalah dan hilang deposit. Akhirnya cikgu Wahab masuk UMNO.
Selepas mengajar Bung Selamat tidak jemu menjelajah kampung menerangkan dasar parti. Satu hari: " Ibu izinkan saya untuk pergi berjuang" pohonnya pada ibuyua juga dalam loghat baku telor Indonesia. Dolah Lisi (aruah) yang ada bersamanya terkinjal kinjal ketawa.
Itulah tokoh tokoh Partai Rakyat.
Saya sendiri telah masuk UMNO (baru) selepas UMNO diharamkan. Ada kawan bertanya, buat apa masuk UMNO, marilah ikut kitorang masuk Semangat 46. Saya jawab, bukankah kita menentang UMNO, sedangkan Semangat 46 itu UMNO lama. Ha ha ha!!!

Thursday, February 5, 2009

Sepanjang hayat 3

Apabila Majlis Angkatan Senibudaya atau MAS meninggal, tidak ada aktiviti yang formal. Borak kedai kopi, banyak yang masih meniup api politik yang pernah membakar jiwa orang orang melayu. Fahaman yg di asas oleh Mokhtaruddin Lasoh itu, disinambungi oleh Ahmad Bustamam, Dr. Burhanuddin, Ibrahim Yaaokob, Ishak Hj.Mohamad dan ramai lagi sehingga menubuhkan Partai partai politik seperti Partai Rakyat Malaya dan Partai Buruh Malaya. Dua parti ini bergabung membentuk "Front Socialist", dapat diterima oleh gulungan marhein yang diketegorikan kepada Buruh, Tani dan Nelayan. Ramailah orang Melayu, Cina dan India yang berpendapatan rendah di daerah ini menjadi ahli. Bekas tahanan politik API ( Angkatan Pemuda Insaf ) yang kemudiannya diharamkan oleh penjajah British banyak yang masih hidup. Mereka yg tak sempat terbang ke hutan, ditangkap oleh penjajah Inggeris. Disumbat ke "Detention camp" spt. Taiping dan Tg.Beruas. Apabila mereka dibebaskan, ideolizm yang tertanam dalam jiwa mereka masih membara. Seorang daripada bekas detainee itu,juga bekas AJK MAS, yg punya personality yg menarik, lantang kritikannya, gamat bicaranya telah menubuhkan Ranting Partai Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) di bandar Kuala Lipis.Ramailah mereka dari gulungan yang berpendapatan rendah khususnya buruh dan petani dari semua kaum turut menjadi ahli, termasuk saya. Kami melaungkan slogan "Merdeka" dengan ideology sosialis yang dibawa oleh API yang mahu kemerdekaan tanahair ini dicapai sekalipun dengan darah.
Dalam masa sama, kami dapat menubuhkan Belia 4B - Gerakan Belia 4B. Masa penubuhannya saya dipilih sebagai Bendahari. Tahun yang kedua saya dipilih menjadi Pengerusi Belia 4B Daerah / Cawangan Lipis mengganti tempat Cikgu Mat Ludin (sekarang haji masih ada tinggal di Relong) Saya memimpin Belia 4B Lipis selama 5 tahun sebelum dipindahkan ke Ktn. Saya aktif dengan Belia 4B dan Partai Rakyat sekaligus. Abdul Rahim Alnuhi ( aruah ) yang menjadi Ketua Umum Partai dan saya membantunya. Mana boleh dua orang ini duduk setempat? Pisahkan. Lalu saya ditukarkan ke Kuantan. Berakhirlah karier sebagai tokoh belia dan lunturlah sedikit semangat politik kiri saya. Namun kenangannya masih kekal. Kawan kawan yang seangkatan dengan Belia 4 B termasuklah Baharuddin Sidi, Cikgu Mat Intan (aruah) Mustapha Awang (aruah), Wan Ahmad ( ada di Jerantut) Abdullah Sulaiman (bekas wakil Rakyat BN sekarang bergelar Dato'), Azhar Hamid dan banyak lagi. Hussain Kh.Yaakob atau lebih terkenal dengan Hussain Pendek atau Pakcu masa itu Pemimpin Belia Daerah Lipis, terlalu rapat dengan orang partai Rakyat.Manakala kawan dalam partai termasuklah Selamat Ahmad Kamal (cikgu), Cikgu Yusof (aruah), Hussin Kuntol ( cikgu, orang Melaka), Harun Jabok di Benta sudah aruah, Ismail Hussin kemudian masuk UMNO ada di Jerantut, Ibrahim Mat Seh (aruah) dan banyak lagi.

Sepanjang Hayat 2

Bertukar ke Kuantan setelah 10 tahun di JKR Lipis. Lapor diri di Pejabat Tanah Kuantan pada 1.1.1975. Pertukaran itu adalah satu " mess transfer" dimana lebih 50% kakitangan di Pejabat Tanah Kuantan bertukar. Saya dicekuk untuk mengisi kekosongan tersebut. Sebelum pindah ke Ktn. saya aktif dalam aktiviti sosial yang dikenali dengan persatuan pemuda pemudi ( dikampung ).
Di Bentong (JKR Bentong) ( 1959 - 60 ) Ahli Sri Persekutuan Melayu Bentong. Kemudian AJK, lalu memimpin ( bukan pemusik ) Penceragam yang dianggotai Hashim Dirun (aruah) Arshad(aruah) Din Rongak pemain drum, Hashim Mohamad(?), Rashid Imam Chun pemain clerinet ( sekarang di Tmn.Muhibbah Kuantan), Baharuddin Musa dan banyak lagi.Masa itu bujang tinggal di bilik belakang Kelab Sri Persekutuan Melayu Bentong . Bayangkan kenakalan masa bujang. phuuuh!!!
Di Lipis ( 1965 - 74 ) kami menubuhkan Majlis Angkatan Senibudaya ringkasnya MAS. Diketuai oleh En.Jaafar Awang ( ADO dan terakhirnya Setiausaha Kerajaan Pahang lalu bersara dan meninggal dunia tak lama selepas itu) Setiausahanya En. Alias bin ?. Pegawai Hutan Daerah Lipis - DFO ) dan beberapa orang lagi kakitangan Kerajaan yg kebanyakannya saya sudah lupa. Mas cukup aktif diantara aktiviti terbesarnya ialah menganjurkan pertandingan drama pentas seluruh Pahang. MAS akhirnya mendapat tekanan daripada ahli politik setempat. Kononnya MAS berbau sosialis semata mata kerana Pengerusi dan beberapa orang AJKnya berjanggut. Impak daripada itu MAS berpindah tangan lalu dipimpin oleh Wakil Rakyat - ( YB Khairuddin Kawi sekarang Dato') YB Wan Abdul Rahman ( sekarang Orang Kaya Maharaja Perba Jelai ). Apabila berketuakan orang politik, MAS tidak berjalan lancar, almaklum orang politik banyak kerja, rutin hariannya sukar di programkan. Mesyuarat sering tertangguh. Akhirnya MAS menemui ajalnya. Oleh kerana sangat sayangkan Majlis Angkatan Senibudaya itu, sempenanya saya ambil sebagai nama anak kedua saya - Masmawati - sekarang cikgu di Dungun.