Followers

Tuesday, March 31, 2009

Sepanjang hayat 49 - Berkelana lagi.

Satu lagi tempat yang saya suka pergi ialah Kg.Merang. Kg.Merng duduknya di pendalaman Kuala Atuk,Mk.Sega Daerah Raub, Pahang Darul Makmur.

Di sebuah rumah terpencil,tinggal seorang bekas tentera zaman dharurat kini berusia hampir 75 tahun. Nampak masih gagah boleh tunggang motor tapi bila berjalan pakai tongkat. Dalam askar dia selalu dibarisan hadapan mengepalai pasukan tetapi tiada pangkat. Askar yang dipimpinnya kata, kalau dia dihadapan tentu pergi selamat dan balik pun selamat.

Orangnya sedikit lucu dan mesera kawan. Kurus tinggi berkulit hitam manis. Agaknya masa muda dulu mesti handsome. Orang perempuan mesti suka punya. Namanya Zainal dan orang kampung panggil dia Sanor. Setelah bersara balik kampung, noreh getah. Bekas tentera sepertinya memang tidak terbela. Lebih lebih masuk jadi ahli Persatuan bekas perajurit dan bila masuk hospital dapat duduk kelas satu. Itu sahaja.

Orangtua ini banyak ilmu dunianya. Justeru telah banyaklah anak anak muda datang belajar dengannya. Ada yang ambil ilmu pendinding, pembias, tahan badan, pelangkah, pelaris berniaga, jampi serapah malah ada yang ambil ilmu pengasih. Kalau tuan tuan nak cuba, datanglah kerumahnya pada hari isnin malam selasa. Insya Allah...

Pada suatu hari dia sedang menonggng motosikal lalu di rempuh oleh sebuah kereta dari belakang. Motornya remuk dan dia tercampak hampir satu rantai jauhnya. Sejurus, dia terus bangun dengan pakaian koyak rabak, tetapi satu kesan luka atau bengkakpun tak nampak pada tubuhnya. Dari pemeriksaan Polis didapati jalan tar itu tersodok oleh benda keras dan tajam tetapi tidak terjumpa puncanya. Bila mendekati Pak Sanor didapati tapak penahan tangan kanannya putih bagaikan tidak berdarah. Polis membuat andaian sahlah kesan sodokan pada tar jalan itu kerana tapak tangannya. Pakcik ni kebal, kata Polis itu.

saya: "Ilmu yang mana satu yang membuat awak kebal tu."
Sanor: "Kawanpun tak tahu, macam mana boleh jadi begitu".
Saya: "Bior betul, kawan nak belajor getek".
Sanor "Ini kali kedua, pertama dulu, orang nampok kawan di langgar kereta, tayar kereta naik atas badan kawan. Orang ramai meluru tengok kawan tapi kawan tak ape ape".
Pelik.

Satu hari Pak Sanor sedang menengok orang kerja buat rumah dan tolong unjukkan kayu beruti yang di pinta. Tiba tiba sekeping kayu bruti 1"X2" sepanjang 3' jatuh lalu menimpa jari kelengkeng kakinya . Terpekik dia kesakitan. Tiga hari masuk hospital. Ha ha ha...

Monday, March 30, 2009

Sepanjang hayat 48 - Orang Bujang Berkelana.


Allah Subhanahu Wa Taala apabila hendak menurunkan sesuatu anugerah Dia tidak memilih siapa, melainkan kepada orang yang jujur, ikhlas lagi warak. Inilah yang saya dapat perhatikan sepanjang perkelanaan saya selama lapan tahun.

Saya dan beberapa orang kawan adalah orang mencari, mencari kebenaran dari hukum yang bernama Syariaat, Tarikat,Hakikat dan MaarifatNya. Caranya ialah dengan berguru, bermuzakarah dan beramal. Siapa sahaja yang kami dapat tahu ada orang yang murshid maka datanglah kami menyusun emas sepuluh kepadanya.

Ada seorang kawan saya, telah menghabiskan separuh daripada usianya mencari hakikatnya. Dia juga telah menghabiskan sebahagian besar pendapatannya setiap bulan semata mata kerana mencari. Mencarilah dia dengan niat dan nawaitu yang satu, berserta tawakal jujur dan ikhlas.

Ada seorang kawan saya lagi Hassan namanya mendapat sedikit asas ajaran daripada datuknya. Sebelum dia mendapat lebih banyak, datuknya pula meninggal dunia. Hassan pun berkelanalah dengan bekalan yang sedikit itu dengan beramal bersungguh sungguh berserta tawakal, jujur dan ikhlas. Pada suatu malam dia bermimpi bahawa dadanya di bedah ( operation ). Dikeluarkanlah jantungnya lalu di cuci dengan berus, di basuh, dibersihkan dan dimasukkan semula. Menurutnya sakitnya bukan kepalang. Yang peliknya orang yang membedah itu adalah dia sendiri.

Di suatu malam, setelah beberapa lama berselang, dia bermimpi lagi. Kali ini tempurung kepalanya pula di bedah. Dikeluarkan otaknya lalu dibasuh dan dibersihkan dengan air kelapa. Sakitnya demikian juga, bukan kepalang katanya. Yang peliknya yang membedah, mengeluarkan otak membasuhnya di atas tapak tangannya, adalah dia sendiri.

Selang beberapa lama kemudian dia bermimpi lagi bahawa selapis daripada lapisan lidahnya dikoyakkan dan di buang. Memang sakit juga, kata Hassan. Tersa nyilunya sampai ke pagi dan apabila dia berkumur kumur,kelihatan air kumurannya itu kemerah-merahkan.

Pada saya itulah anugerah Tuhan kepadanya bahawa Hassan adalah sebersih bersih manusia di sisi Tuhannya.

Sunday, March 29, 2009

Sepanjang hayat 47 - Orang Bujang II.

Suatu waktu saya solat 'asar di pondok Pak Lah seorang diri. Masuk rokaat yang ketiga, saya terdengar bunyi kerbau sedang berjalan dalam lumpur selut. Bunyinya ialah bunyi kerbau beberapa ekor berjalan dalam lumpur selut. Jelas bunyinya. Saya teruskan sembahyang kerana bunyi seumpama itu adalah biasa. Selesai sembahyang dan menyalin pakaian, saya memerhati keluar kok kok kerbau tadi masih ada. Tak nampak, lalu saya turun dan memerhati sekeliling. Memang tak ada. Dalam hati berkata, mana ada selut di sini, padang kering. Aduh! pelik juga.

Bila saya tanya Pak Lah selepas itu, jawabnya tak ada, tak ada kerbau di sini. Jadi sahlah bunyi tadi itu bukan kerbau. Tetapi bunyi apa...Kemudian Pak minta saya tidur seorang diri di pondoknya waktu malam. Maaflah Pak Lah, takut saya. Confirm saya tak berani.

Suatu waktu, Pak Lah, saya dan seorang kawan lagi Mat Ali bersunyi sunyi dalam sebuah gua di Chegar Perah. ( Kawasan ini dari Chegar Perah sampai Gua Musang memang banyak gua). Kami pilih Gua Merah dan tidur di situ 3 ke 4 malam. Kami bersunyi sunyi di situ, bersolat, berwirid dan berzikir. Bayangkan di dalam gua yang gelap gelita, berbau hapak dengan najis kelawar. Kurrr semangat. Kami memilih lubang yang hampir dengan pintu besar dan dapat sedikit cahaya matahari bila siang hari. Masa tidur Mat Ali tidur di tengah, rupanya dia lagi takut dari saya. Tempat solat kami jauh sedikit dari tempat kami tidur dan tempat memasak. Suatu petang kami pergi mandi ke alur kecil kurang lebih 200 meter dari gua itu. Selepas mandi dan berwuduk, saya tertinggal cincin yang saya sangat sayang. Aduh! saya menggelabah. Pergilah ambil, kata Mat Ali. Hati di dalam ragu ragu sedikit. Takutlah tu. Ah! biarkanlah, esok ambil.

Tiba tiba selepas solat Isya' di masa kami akan memulakan wirid dan zikir, saya meraba tasbih saya dan dalam longgokan tasbih itu, saya terasa sesuatu. Apabila saya ambil dan suluh dengan api lilin, rupa rupanya cincin saya. Saya mengucap syukur. Masya Allah...

Saturday, March 28, 2009

Sepanjang hayat 46 - Lapan tahun jadi orang Bujang Bhg.1.

Tempat yang saya suka bertandang ialah ke rumah Pak Lah (bukan PM) di Kg.Keledek. Pak Lah bercakap sleng Kedah campur Siam. Dia cuba bawa sleng tempatan tetapi tak menjadi. Ada masa susah nak faham sleng Pak Lah ini. Pak Lah dilahirkan di Myamar/Burmah di sebuah kampung melayu beragama Islam, di selatan Myamar bersempada dengan Thailands di mana orangnya bercakap melayu loghat Kedah dan menjadi anak tiri kepada Kerajaan Myamar.

Pak Lah nama penuhnya ialah Abdullah dan ayahnya bernama Ahmad @ Abdullah bin Ahmad.

Ahmad sewaktu usia 20han ditangkap Jepun lalu di bawa ke Thailand jadi buruh paksa k'api maut. Menjadi buruh k'api maut sangat susah, sangat menderita, segala macam penderitaan dideritanya. Orang mati setiap hari, mati sakit mati kelaparan dan segala macam kematian. Dalam keadaan yang serba susah dan derita itu, Ahamd dapat meloloskan diri lalu lari. Lari punya lari sampailah dia ke sebuah kampung di selatan Burma bersempadan dengan Thai. Berkahwin di sana dan dapatlah Pak Lah dengan beberapa orang adik beradik.

Ahmad sekarang sudah balik ke Malaysia, ke Kuala Lipis dan ke kampungnya di Keledek. Masih sehat dan setelah ibu Pak Lah meninggal dia kahwin lagi dasn sekarang hiduplah dia aman damai di samping isteri tempatan dikelilingi anak cucunya yang ramai.

Pak Lah dalam masa singkat dapat kewargaanegaraan Malaysia dan mudah di terima menjadi peneroka di Felda Chegar Perah. Beberapa tahun kemudian Pak Lah menyerahkan tanah Felda kepada anak sulungnya lalu menetap di Kg.Keledek.

Yang istimewanya Pak Lah ini cukup kuat beramal, tak pernah tinggal solat 5 waktu. Dia buat pondok ala surau hampir rumahnya sebagai tempat dia beramal. Saya sering ke pondoknya berbual, bersembang dan bercerita. Bila ke pondoknya, orang rumahnya mesti hantar air minuman tak kira waktu, baik siang atau malam. Lepas itu kena makan nasi pula. Itulah Pak lah dan keluarganya di antara orang yang saya kira sangat baik hati.

Menurut Pak Lah di Thailands tempat dia belajar agama Islam, para jemaah dan orang ramai tidak buat muzakarah atau ceramah atau belajar mengaji dalam masjid apatah lagi berhampiran dengan mimbar. Kalau buatpun, tempatnya di Balaisah atau di ruang kakilima masjid. Katanya, masjid ialah tempat orang bersolat. Kalau buat ceramah di situ tentulah mengganggu orang bersolat. Lain sangat dengan kita di Malaysia ini, buat ceramah atau muzakarah dalam masjid dan orang lain kalau nak solat kena buat di luar atau di kakilima masjid. Terbalik bukan? Justeru, bolehkah kita ambil kira bahawa inilah di antara faktor orang kurang mahu datang ke masjid.

Sementara itu, Pak Lah banyak ilmunya baik dunia mahupun akhirat. Antara ilmunya, dia telus Alam Ghaib. Orang Alam Ghaib seperti orang bunian duduk atas dunia sama dengan kita. Kalau ambil kira dunia kita ini padat dengan makhluk Tuhan, termasuk manusia, jin, syaitan, manusia bunian, haiwan unggas dan segalanya. Masya Allah...

Friday, March 27, 2009

Sepanjang hayat 45 - Tunggu Komen.

Saya masih menunggu kalau kalau ada ahli ahli PPKM yang komen entri ke 44 saya bth.pada 26 Mac 2009 yg lalu. Sudah melebihi satu hari masih belum ada. Jika tidak ada jelaslah bahawa mereka ini sememangnya sudah tua, dah tak ghot (rot) lagi. Jadi buat apalah nak cadang perkara perkara yang bukan lawan mereka itu lagi? Bukankah buang masa namanya.

Kalau saya panjang umur, dalam mesyuarat agung tahun depan, saya nak jual akar kayu, spt tongkat ali, lebai samad, tunjang bumi, tengkuk biawak, ubi jaga,rempah gunung,akar sambau, akar lalang, jerangau dan lain lain lagi. Sya nak kempen dan syor kepada ahli ahli PPKM supaya makan benda benda ini. Rebus akar kayu ini dengan air sebanyak 3 cupak, jadikan dia satu gelas kecil dan minum. Tengok apa jadi. Lepas tu barulah ada tenaga nak buka kedai baru, nak piket, nak berarak anti PPSMI dan lain lain.

Sekurang kurangnya dengan tenaga itu nanti, sempatlah nak pangkah calun pilihanaraya dalam PRU 13 nanti. Jangan biarkan orang muda sahaja. Macamlah orang tua ahli ahli PPKM ini teruk sangat. Tetapi kalau tak ghot juga, kita kadurlah ke diri kita ni dah tua. Ikut sajalah apa si Najib cakap. Jangan dengar sangat cakap Mahathir tu, sebab diapun dah tua macam kita juga, ha ha ha...

Thursday, March 26, 2009

Sepanjang 44 - Mesyuarat Agung PPKM Caw. Lipis.

Tadi pagi 26hb Mac 2009, jam 9.00 pagi saya menghadiri Mesyuarat Agung PPKM (Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia) Cawangan Lipis di Dewan Serbaguna, Majlis Daerah di Benta, Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur. Mesyuarat Agung yang dihadiri lebih 100 orang dirasmikan oleh Encik Fuad, Penolong Pegawai Daerah Lipis, mewakili YB Dato' Dr. Mohamad Shaharom bin Osman, DIMP.,AMP., Ahli Parlimen Lipis.

Ahli ahli yang hadir adalah terdiri daripada orang orang yang berusia 58 tahun ke atas. Semuanya kerepot kerepot belaka. Banyak yang pakai kopiah putih daripada yang bersongkok dan yang masih berkerol. Ada yang pakai tongkat pun.

Hari dah senja, wahai pak haji pak haji, mak hajah mak hajah, pakcik pakcik makcik makcik dan abang abang serta kakak kakak sakalian...

Apabila saya membelek belek kertas mesyuarat, langsung terbelek fasal Usul. Memang saya nak cari hal usul sahaja sebenarnya. Tiada usul kecuali usul daripada AJK sahaja. Bila saya tanya Setiausaha,"mana usul ahli?". " Buat usul tergempar, sebab dah malas nak minta ahli cadangkan usul, tak pernah jawab, buang masa sahaja", jawab Setiausaha. Saya pun diam.

Usul AJK: Bahawa mesyuarat Agung yang bersidang hari ini 26 Mac 2009 mengambil
ketetapan merayu kepada pihak Kerajaan agar mewujudkan semula Kem Pusat Latihan (atau apa apa sahaja yang sesuai) di atas Tapak Kompleks Kem Polis Hutan dahulu, kerana rasionalnya:
A. Tapaknya amat sesuai dan stratagik ( bersebelahan dengan Pusat Serenti Benta)
B. Dapat mengaktifkan kegiatan ekonomi penduduk sekitat Benta, khasnya
kepada peniaga kecil bumiputera.

Saya terus teringatkan satu usul yang pernah dicadangkan dalam satu mesyuarat Negeri di Temerloh setahun lalu. Usulnya membawa maksud, agar merayu pihak Kerajaan mengangkat Bahasa Melayu menjadi Bahasa Rasmi.

Pada hemat saya, patutlah Pak Lah dlm ucapan terakhirnya sebagai Perdana Menteri, supaya mengambil kira Order Lama / cara lama elok diganti dengan yang baru.

Orang orang tua yg masih tersasul hendak berpersatuan ini, rupa rupanya belum sedar diri mereka sudah tua, ganyut dan kerepot.

Untung baik, ada seorang Pakar Keluarga. Kesihatan dan permakanan di jemput memberikan ceramah.

Saya, selepas jamuan ringan yang saya tunggu tunggu, sapu punggung lalu belah, ha ha ha...

Tuesday, March 24, 2009

Sepanjang hayat 43 - Bersilat

Masa muda muda dulu saya pernah belajar bersilat. Bangsal pertama 3 bulan dan tiga kali malam seminggu.

Kami dirikan bangsal dengan mengeluarkan perbelanjaan sendiri secara gotong royong. Bangsal didirikan di atas di atas tanah Aki Atur bin Tujuh Lapis, di belakang rumahnya tepi Sungai Tempoyang. Dia tak kenakan apa apa sewa , percuma. Aki Atur seorang pesara Kerajaan yang lebih lama berpencen daripada berkhidmat. Maknanya umur dia panjanglah tu.

Guru yang mengajar kami bersilat ialah Cikgu Abdul Wahab bin Ismail sekarang aruah, orang Pagar Sasak. Cikgu Wahab anak murid Cikgu Jantan bin Bahaman. Bahaman ialah seorang yang sangat di benci oleh Inggeris pada zamannya dan di cap sebagai penderhaka. Kasihan dia. Bila dia sudah mati baharulah orang cari dia, nak sanjung, nak kenang dan nak beri kedudukan. Orang dah mati...

Bangsal kami agak besar juga,adalah lebih kurang 20' X 30' dan boleh menampung 30 orang murid. Murid yang benar benar berjaya dan boleh dibanggkan hingga hari ini adalah 4 ke 5 orang, yang lain lain termasuk saya adalah 6 tolak 6 belaka. Yang sebenarnya kalau minat, bersilat adalah satu riadhah yang sangat baik apalagi jika boleh maintain terus. Ia adalah satu kaedah atau seni untuk mempertahan diri. Bila saya sudah tua ni baharulah teringat semula, rugi aku tak belajar betul betul. Sekarang mana ada lagi budah budak muda yang nak belajar bersilat. Pertama susah dapat permit, kedua guru silat semakin kurang, kalaupun ada demand nya pula tinggi. Pulak, ada yang berkata zaman ini silat tak perlu lagi, kalau boleh tepis peluru ok lah.

Walau apapun hakikatnya silat tetap berguna, sama seperti orang china yang masih mempertahankan seni kuntaunya, demikian orang India.

Di Lipis ni saya dengar ada ura ura nak buka bangsal silat, di Tempoyang juga. Mengikut kata penganjurnya silat yang bakal di ajar ialah silat pusaka. Semua urusan permit, tapak gelanggang, kebenaran Ketua Kampung dan makluman kepada YB sudah di atur. Saya harap usaha yang baik ini tidak akan di halang. Justeru, kepada anak anak muda, atau kumpulan belia melayu yang berminat yang tinggal di sekitar bandar Lipis, patutlah ambil kesempatan ini sekarang. Kepada siapa yang berminat sila hubungi Encik Abu Bakar bin Nordin di Pejabat RISDA Daerah Lipis.

Sunday, March 22, 2009

Sepanjang hayat 42 - ONGPUTIH CELARU LAGI

Di PWD Raub:
Storekeeper ringkasnya SK yang pendek orangnya itu kena lagi. Kali ini dia yang mengena. Mat Saleh Ketua Pejabat berpangkat Executive Engineer itu pagi pagi sudah datang ke Store. SK yang pendek terkedek kedek dengan kerjanya sambil mengepit Buku Stock yang tak sepadan dengan saiznya terserempak dengan Ketua Pejabat yang tinggi serta besar saiznya.

Mat Saleh: "SK, any stores arrived today..."
SK: tergesa gesa dan tidak mendongak dan sedikit terkejut, "Nothing sir, except balls and nuts".

Mat Saleh itu pelan pelan beredar dari situ.

Di PWD Bentong:
Cheif Clerk ringkasnya CC ( Ketua Kerani ) bangsa India mengarahkan keraninya bernama Kamaron:

CC: sambil mengepit sebuah Fail lalu mendekati Kamaron yang sedang tekun bekerja di mejanya,lalu meletakkan fail tersebut dimejanya, " Eh! Kamaron, could you please take out all the enclosures which are flagged in this file"
Kamaron: selamba, " All right CC, no problem".

Setengah jam kemudian, Kamaron datang membawa fail dan menyerahkan kepada CC.
Kamaron: "Everything ok la CC".

CC India itu tersentak: "Ayoyo yo, cit, Eh! Kamaron I said type all the enclosures".
Kamaron dengan bangannya, cakaplah taip, ini take out, take out.

Inilah di antara insiden insiden yang dapat saya ceritakan kali ini dan jumpa lagi di entri ke 43.

Saturday, March 21, 2009

Sepanjang hayat 41 - Cakap Orang Putih

1957 - Pengalaman pertama berkerja dengan Kerajaan sebagai kerani sementara di PWD Workshop Raub. Kerja sebagai kerani senang aje. Masuk jam 8.00 pagi dan balik jam 4.30 petang dengan rehat selama 1 jam. Waktu kerja boleh pergi minum di kantin Pejabat selama 15 hingga 30 minit, kekadang lebih dari itu. Biasanya mula minum jam 9.30 atau 10.00 pagi. Semua kakitangan macam itu, tetapi tidak serentak. Pekerja PWD masa itu kebanyakan adalah terdiri dari orang India. Mereka adalah Buruh Am, gaji hari dan paling rendah satu ringgit lima belas sen sehari. Di dalam workshop kakitangan adalah pekerja mahir belaka terdiri dari Chargeman, foreman, mechanic dan apprentice daripada pelbagai kaum, ada China, India dan Melayu. Gaji mereka tetap gaji hari dan kalau kerja lebih ada overtime. Ditadbirkan oleh seorang Mechanical Assistant.

Ketua Pejabat PWD daerah Raub ialah seorang Engineer berpangkat Executive Engineer, berbangsa Inggeris. Bahasa komunikasi dalam pejabat juga Bahasa Inggeris.

Kerja saya mengumpulkan job card pekerja disebelah petang. Sebelah pagi pasti ambil Check Roll, dari Chargeman berbangsa China bernama Chuah Ah Too, setelah Roll Call pada jam 7.30 pagi. Buat sedikit kerja kerja correspondence seperti filing dan typing dan pergi ke Main Office lebih kurang 1/2 KM dari Workshop menyampai dan mengambil apa apa arahan dan surat surat yang ada kaitannya dengan jentera dan stores.

Store PWD bersekali dengan Workshop. Seorang Storekeeper dan pembamtu berpangkat Storeman yang mengendalikan Store PWD. Storekeeper itu adalah orang melayu, pendek sahaja orangnya, lebih kurang dalam 4' 8" tinggi. Bayangkan Storekeeper itu adakala kena membawa tiga ke empat buah Buku Stock untuk di audit, bersaiz A3 + X 3". Takkan tak merah telinganya. Sudahlah pendek, berkulit gelap sedikit dan bercelana pendek pula. Kadang kadang kasihan tengok Storekeeper pendek seorang penjenaka dan mudah mesera.

Suatu hari, Storekeeper berada di Pejabat Workshop. Telepon berdering. Dari gagang itu keluar suara, " Chuah Ah Too please...".
Storekeeper menjawab, "Storekeeper, ya storekeeper cakap".
Suara dari gagang itu berbunyi lagi, " chuah Ah Too...Chuah Ah Too",
Lantas Storekeeper menjawab, "Storekeeper, Storekeeper Ibrahim here".
Suara dari gagang itu semakin kuat, "D.T Rice here, I want to speak to Chuah Ah Too the Chargeman".
"Oh!" lalu Storekeeper memanggil Chuah Ah Too.

Selepas itu En. Ibrahim Storekeeper bercerita kepada kami semua, "Kaweh ingat dia bertanya siapa tu, Kaweh cakaplah Storekeeper. Rupanya dia minta bercakap dengan Ah Too. Kereta dia rosak dekat Dong. Ah! kacau betul".

Chargeman itu tersenyum sahaja, "Dia punya keleta sudah losak sana, dekat Dong".

ha ha ha...

Friday, March 20, 2009

Sepanjang hayart 40 - Sewa Basikal di Kuantan

Kuantan tahun 1957. Saya dan dua kawan lain bernama Abu Samah Salleh dan Shamsuddin Kasim, kalau tak silap, lepas temuduga di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, kami sewa basikal dengan bayaran dua ringgit limapuluh sen sehari. Kami round bandar Kuantan sampai melepuh kaki dan sampai melelas peha. Bandar Kuantan kecil sahaja, kereta tak banyak dan yang banyak hanyalah beca roda tiga dan basikal. Motocycle pun tak banyak, kalau adapun jenis besar, seperti Triumph, Norton BSA semua 500 cc . Jalan Teluk Sisik panjang sampai ke TC dan bandarnya cuma dari panggung wayang REX dekat Kelab Kuantan hingga simpang ke Baserah ( sekarang Trafic light - simpang tiga - Baserah/TC/ Tg.Lumpur ). Jalan Mahkota dari Balai Polis sampai Post Office dan sedikit Jalan Bukit Ubi, pendek saja yang ada kedai cuma Aziz Cafe. Depan Aziz Cafe ada Malay Club ( sekarang Shazan Hotel) Kayuh punya kayuh, kami sampai ke TC, jumpa laut, kali pertama tengok laut. Wah! tak nampak tepi lalu jalan tepi pantai, kecap air laut masin rasanya.

Jalan ke TC dari simpang tiga (sekarang ada Istana raja), jalan naik bukit. Basikal tak boleh kayuh lagi, kena tolak dan batu jalan punyalah besar besar ada yang sebesar betis. Kalau kayuh juga tentu jatuh punya. TC tak ada bangunan. Yang ada sebuah kedai cina, rumah papan jual minuman, kalau sekarang tentunya Restaurant. Tak ada orangpun di TC, tak ada orang mandi manda, Mat Salleh pun kami tak nampak. Kiri kanan jalan hutan rimba. Orang kata ada harimau melintas di situ. Kami mana tahu!

Tahu di mana SUK? Dekat Rest House lama ( sekarang sudah jadi Pejabat Hutan Daerah kalau tidak silap, terletak diluar pagar Wisma Sri Pahang tak jauh dari CIMB Bank dan masa saya aktif dalam DPMP dahulu, tingkat atasnya ialah Pejabat Dewan Persuratan Melayu Pahang - DPMP) . Pejabat SUK hanyalah rumah kayu setingkat, Bangunan sementara setelah Ibu Negeri Pahang dipindahkan dari Kuala Lipis ke Kuantan dan tapak itu sekarang dibangunkan Ibu Pejabat Polis Pahang. Rasanya Masjid ala bangunan Makmal itu belum ada lagi.

Sayang masa itu belum ada camera, tak tahu guna camera dan belum mampu beli camera pun.

Thursday, March 19, 2009

Sepanjang hayat 39 - Lipis / Kuantan Kurrr semangat

Siapakah yang main Double Bass itu?

Pada pertengahan tahun 1957 kurang lebih, saya sudah pandai pakai seluar panjang, baju petak petak dan berkerol. Pakai minyak rambut pekat dan menyikat kiri kanan kepala terus kebelakang dengan membiarkan disebelah hadapan berjambul sedikit. Wah bukan main melaram lagi. Sudah berkerjapun sebagai Temporary clerk di PWD Workshop Raub.

Tiba tiba dapat surat panggil temuduga Kerani Rendah di Kuantan. Terus ambil cuti 4 hari.Pukul 7.00 pagi naik bas Lin Siong di Benta ke Jerantut. Dari Jerantut naik bas Leng Huat ke Kuantan via Maran. Sampai Jerantut Ferry berhenti lama di situ tunggu giliran bas naik ferry menyeberangi Sg.Pahang. Satu pengalaman baru bila bas naik ferry yang digerakan oleh jentera PWD memakan masa yang sangat lama. Setelah itu baru bas meneruskan perjalannya ke Kuantan. Dekat Maran ada satu Kuil Hindu dan Kuil itu didirikan bersekali dengan sebatang pokok besar, pokok Ara tentunya dan bas kena lalu dibawah Kuil lalu berhenti di mana seorang sami Hindu naik bas membawa sedulang tetepung warna kuning untuk di colek ke dahi. Semua orang kena. Kalau tak colek mungkin perjalanan akan terhalang seperti di timpa celaka atau kemalangan. Pulak setiap orang kena berderma sekurang kurangnya lima sen. Jadi saya pun bayar lima sen dan colek tepung itu ke dahi. Ha ha ha...

Di Kuantan sekali lagi bas kena naik Ferry. Ferry Sg. Kuantan dekat Tanah Putih. Hari sudah hampir pukul 6.00 petang bila bas sampai di Tanah Putih. Sementara menunggu giliran bas naik ferry, jam sudah hampir pukul 7.00 malam.

Aduh!, betapa sukar dan seksanya perjalanan dari Benta ke Kuantan yang memakan masa 12 jam lamanya. Sudahlah jauh jalan pula yang bengkang bengkok macam ular kena palu, berlopak lopak pula di sana sini amatlah meletihkan. Mana mana orang yang tak tahan dengan perjalanan begitu atau yang mudah pening lalu muntah, pasti minta ampun tak mahu lagi. Serik. Mujurlah bas terbuka Pendingin Hawa tentulah tak ada. Pun begitu bau muntah malah bau berak pun ada. Pendeknya orang tahanpun boleh jadi tak tahan, terikut ikut muntah sama. Nasib baik saya tidak muntah, ha ha ha...Kalau nak terbuang air kecil atau....kena jeritlah pada pemandu bas supaya berhenti. Hendak melepas katakan.

Kurr... semangat lima puluh tahun dahulu. Sekarang Lipis / Kuantan paling lambat 3 jam pecut laju tanpa peduli double line, selekoh merbahaya dan apa jua amaran trafik.

Wednesday, March 18, 2009

Sepanjang hayat 38 - Kuala Lipis adalah tanah Awal dan akhirku

Sebahagian kecil bandar Lipis - Bangunan Paradise

Kuala Lipis adalah Bandar Warisan Sejarah di Pahang.

Kuala Lipis adalah bandar kecil milik orang orang seperti saya, orang orang yang sudah senja hidupnya.

Kuala Lipis sebelum tahun tahun 80-han adalah bandar kecil yang rancak, seluruh sendi uratnya masih keras dan tegang dan ia boleh menampung pelbagai gaya dan corak hidup milik manusia yang serakah dengan kemegahan duniawi hatta buat mematangkan orang orang yang bakal merentasi kedewasaan. Seperti bandar besar lain di Semenanjung bahkan di seluruh dunia profession tertua di dunia turut mengambil tempat di bandar Lipis. Menurut patut, tidak sepatutnya bandar yang sekecil itu boleh menampung bisnes yang amat besar implikasinya. Orang kecil, orang besar, orang berpangkat, orang kerdil, orang cendikiawan,orang professional turut datang mengecapi keindahan bandar Lipis dengan deretan rumah rumah rakitnya disepanjang bandar tapian Sg.Jelai. Masya Allah!

Kuala Lipis kini, adalah bandar yang masih kerdil tetapi sunyi sepi dan tenang, setenang air sungainya yang mengalir lesu, keruh dan menyedihkan. Bandar Lipis kini adalah sebuah bandar yang comel, teratur, terurus dan sangat aman damai. Tidak ada lagi bar yang menghuyung-hayangkan. Tidak ada lagi persundalan, tidak ada dundut, tidak ada rumah mahjung, judi karan dan sebagainya. Tidak ada lagi semuanya.

Kuala Lipis tidak ramai penduduknya, hakmiliknya telah dikecilkan, dipindahkan menjadi daerah lain seperti Jerantut dan Cameron Highlands. Pengundi berdaftar tidak mencecah angka empatpuluh ribuan. Kuasa membelinya amat kecil. Rancangan Felda letaknya dipinggir sempadan Raub dan Kelantan.

Kuala Lipis adalah daerah di mana bandarnya cukup nyaman, cukup selesa dan cukup bermakna bagi orang orang tua seperti saya, orang orang pencen yang mencari ketenangan dan orang orang tua yang ingin mengabedikan dirinya untuk keredhaan Allah.

Kuala Lipis bagi saya adalah tempat bersunyi sunyi diri, tempat orang orang mystitism yang sentiasa merenung ke dalam dirinya.

Kuala Lipis adalah pengkalan terakhir buat saya.

Tuesday, March 17, 2009

Sepanjang hayat 37 - Kuala Lipis tetap utuh dan intim.

Pejabat Daerah & Tanah Lipis dilihat dari hadapan Balai Polis Daerah Lipis.

Pejabat Daerah & Tanah Lipis

Sesuai dengan nama dan wataknya, Kuala Lipis khususnya bandar, bagaikan kelik kelik di kegelapan malam, bagaikan terhakis segala hak kepunyaannya, menjadikan ia gersang segersang gersangnya. Begitulah sangkaan orang yang kurang waras akal budinya.

Bagi saya Lipis amat intim, amat teruja dan masih belum tergadai semuanya. Ibarat seorang wanita yang kematian suami, ia masih terpilih dan terus teruja sebagai pemilik segala kecantikan, keayuan dan kewanitaan yang sebenarnya. Biarlah orang lain mengecisnya, biarlah orang lain mencemuhnya, biarlah orang menghinanya, biarlah. Kalian semua tidak tahu bahawa wanita yang bernama Lipis ini telah melahirkan beribu kelelakian dan beribu kewanitaan, dan warisan inilah sekurang kurangnya telah menaikkan nama Negeri Pahang yang kini berada di persada gah, segah gahnya. Kalian lupa pada Tok Gajah, kalain lupa pada Mat Kilau dan kalian lupa pada Tok Bahaman yg telah mempertahankan kesucian negeri ini. Kalian langsung tidak pandai berterima kasih. Saya sedih. Tetapi tak apa, ketiga tiga orang tua itu tidak pernah minta disanjung, tidak pernah meminta balas walau sekelumit apapun. Mereka telah mati dan mereka dimatikan.

Kalian tahu, bandar Lipis ini tanahnya hakmilik siapa? Pernahkah anak ciciknya meminta agar haknya dikembalikan? Siapakah yang memegang Hulu Negeri Pahang ini kalau bukan di Lipis orangnya? Itulah sebabnya Sungai Pahang tiada hulunya. Hulunya tetap ada. Kalau ada hilirnya pasti ada hulunya. Hulunya bersembunyi terus, ghaib pada mata orang awam ia malu pada orang jahil sebenarnya.

Apa yg kalian mahu dari Lipis? Lipis tetap mengizinkan. Cuba cakap, Lipis sedia memberinya. Kayu kayan? Hutan di Lipis tiada daranya lagi, habis kontang sekontang kontangnya, untuk siapa kalau bukan untuk kalian semua. Emas rial? Ambilkan sahaja dari Empang Jalih sana. Siang malam, pagi petang tanahnya di cambuk, digali, belum juga puas puas, untuk siapa kalau bukan untuk kalian semua. Hak keaslian ikan patinnya juga telah di songlap dan dipindah namanya ke tempat lain.

Yang hanya tinggal disini sekadar sisa sisa. Sebuah bandar kecil yang diapit oleh dua buah sungai dengan landscap yg berbukit bukit tetap segar dan indah, bangunan bangunan lama peninggalan orang putih yang di benci Bahaman tidak diperdulikan. Seperti bandar bandar lain punya ada, Lipis juga punya setesen keretapi, punya jeti bot dan perahu,punya makam dan jirat, pernah punya jel, pernah punya landasan kapalterbang dan pernah punya nama yg gah iaitu IBU NEGERI PAHANG.

Monday, March 16, 2009

Sepanjang hayat 36 - Kenapa saya memilih K Lipis sebagai tempat ( settledown ) tinggal.

Jambatan yg menghubungi bandar lama dan baru


Residency kini Rumah Rehat

Kenapa saya memilih Kuala Lipis sebagai tempat ( settledown ) tinggal terakhir saya?

Kuala Lipis adalah sebuah bandar kecil yang memiliki semua. Apa yang ada pada bandar bandar besar yang lain, ada dan boleh didapati di bandar ini. Selain itu ia adalah bandar tertua di Pahang bahkan mungkin di Semenanjung. Menyesuaikan K.Lipis sebagai bandar tua, dengan ungkapan bahawa "Tua itu tuah dan muda itu mudah" maka K.Lipis menjadi semakin unik untuk dikenang selalu, kerana tuahnya. Siapa sahaja yang pernah tinggal di Kuala Lipis terutama kakitangan Kerajaan apabila mereka bersara mahu terus tinggal di sini. Ada orang mengatakan sekali terminum air sg Jelai selamanya akan mengenanginya.

Bagi saya Kuala Lipis banyak tuahnya, istimewa bandarnya, unik sejarahnya dan pelbagai manusia dari semua ras ada di dalamnya.

Dari tahun 1965 hingga 1974 sepuluh tahun lamanya saya cuba mengenali hatibudi bandar Lipis, dan segala intisarinya saya bawa bersama apabila ditukarkan Kuantan. Ada kenangan kenangan manis yang boleh dikongsi bersama dan ada yang tidak. Yang tidak terus menjadi simpanan tetap sebagai "Secret & Confidential" Jangan tanya. Di antara yang manis manis itu ialah apabila saya memberi jolokan kepada bandar Lipis sebgai Kota Kecil yang tak pernah tidur " A tiny twinkle city that never slept" Ia juga sebuah tajuk nobel yang penuh dengan paparan paparan, adigan adigan dan drama drama yang menarik, mengkagumkan dan menyayat hati. Tetapi sayangnya nobel itu berkecai tak kesampaian sekadar tinggal jodolnya sahaja.

Sedikit imbasan mengenai bandar Lipis pada tahun tahun sebelum 1980an. Bandar one way street, bertingkat. Tingkat atas disebut main street, tingkat bawah disebut Jelai Street. Ada satu jalan yang memotong bandar ini untuk segera sampai ke antara dua street itu bernama Cross street. Cross street tidak boleh dilalui kereta sekadar pejalan kaki sahaja itupun kena menaiki dan menuruni anak mata tangga. Perniagaan di Cross street ini terus menerus dua puluhempat jam. Kedai makan, kedai minum, minum ringan, minum berat, makan ringan, makan berat semua ada. Juke box berkumandang terus atas permintaan. Jalan belakang ( back lane ) juga hidup dengan perniagaan masing masing. Ada warung mahjung, dan ada juga warung judi karan. Manusia mundar mandir, hilir mudik tanpa henti sekalipun malam mulai menampakkan upuk timur tanda subuh akan masuk. Bila ada lelaki berkumpul adalah perempuan dan demikian jika perempuan yg berlonggok ia tetap dicelahi lelaki. Lelaki dan perempuan hanya boleh dibezakan dengan ratio yg kecil. Siapakah lelaki itu dan siapakah perempuan itu ? Aduh! mereka adalah lelaki jalang dan perempuan jalang.

Ingat rakit tak? Rumah rakit yang meniti buih perairan Sg.Jelai menaikkan bandar Lipis berfungsi sebagai kampung maksiat yang terbesar dan masyhur keseluruh antero. Ia di bina dan di buat di atas air sekehendak hati untuk tempat tinggal dan tempat maksiat tanpa apa apa ulasan dari pihak berkuasa tempatan. Orang yang turun naik rakit silih berganti. Ada tangga yang disediakan serta pelantar yg terus menghubungi tebing ke rakit untuk memudahkan orang turun naik. Lagu lagu pop dan klasik lama berkumandang dari transister radio sepanjang rakit ditambah pula oleh gelak hilai si biang yang menghairah kan. Itulah bandar Lipis yang saya andaikan sebagai Kota kecil yg tak pernah tidur.

Bukan tiada resolusi selepas itu diketengahkan ke meja bulat. Lalu dibahaskan dengan panjang lebar, tetapi pro dan kontranya tidak mengizinkan Pihak Berkuasa Tempatan mengambil jalan yang sebaik baiknya.

Sepanjang hayat 35 - Rumah No.34 Jln.Damai, Taman Permai 27200 Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.


Rumah saya sebelum dipinda
No.34 Jalan Damai, Taman Permai adalah rumah yang saya duduki sekarang ini terletak dihujung jalan Damai, bersempadan dengan kampung Tempoyang. Disebelah kiri dan belakang rumah ada curam yg agak tinggi boleh mendatangkan bahaya jika hujan berlebihan. Tetapi setelah tigabelas tahun menetap disitu tak nampakpun ada tanda tanda yang tanah tersebut akan runtuh. Syukurlah!.

Saya penduduk paling tua di Taman ini. Saya jugalah orang yang paling kerap buat kenduri, termasuklah kenduri kahwin, bertunang, kenduri arwah, kenduri kesyukuran seperti hakekah, bercukur jambul dan lain lain. Yang terakhir ialah kenduri hakekah untuk cucu kembar saya Muhammad Harriz dan Muhammad Harraz. Alangkah seronoknya,weh!

Mula mula kenduri kahwin anak perempuan saya yang sulung, lepas itu anak lelaki saya yg sulung, lepas itu anak perempuan saya yang kedua, sedangkan anak perempuan saya yang ketiga kahwin lebih awal tetapi saya buat kenduri di kampung iaitu di rumah ayah saya. Sebelum anak perempuan kedua saya kahwin, saya terpaksa buat kenduri arwah tiga malam berturut turut, untuk ibu mereka yang meninggal dunia. Lepas kematian itu (isteri saya) rumah saya menjadi kurang berseri, sehinggalah apabila anak lelaki saya yang ketiga hendak berkahwin pula. Saya ni semacam dipaksa berkahwin dulu sebelum anak lelaki yang ketiga itu kahwin, sedangkan anak lelaki yang kedua tak usahkan hendak kahwin, bayang bayangpun tak ada sampai sekarang. "Abah kenalah kahwin dulu sebelum saya" kata anak lelaki saya yang ketiga. Mahu tak mahu maka kahwinlah saya dengan seorang perempuan yg belum kahwin ( spinster ) tetapi sudah berumur kira kira 41 tahun ketika itu, sedangkan saya sudah berumur 68 tahun. Track rekod tak kahwin saya selama lapan tahun pecah juga akhirnya.

Memandangkan kerap sangat buat kenduri, saya buka pagar untuk tiga penjuru bagi memudahkan saya memasang bangsal dari khemah khemah yang saya pinjam. Disebelah belakang rumah ada kawasan kira 20 kaki yang saya kira no men"s land saya jadikan tempat mendirikan bangsal untuk memasak. Sekarang ni saya tanam kelapa dua pokok, mempelam sepokok, nangka sepokok, jambu manis dua pokok di atas tanah Kerajaan itu manakala kelapa , nangka dan jambu sudah berhasil, jenuh makan. Saya bersyukur kerana memilih rumah berkawasan besar ini dan kerja kenduri saya tidak perlu melimpah sampai keluar kawasan rumah.

Itulah rumah yang saya duduki sekarang ini di bayar seluruhnya oleh anak perempuan sulung saya, tidak berpagar lagi dan sudah saya globalisasikan bagi memudahkan para pengunjung, sahabat handai, saudara mara dan cucu cicit datang berziarah.

Sunday, March 15, 2009

Sepanjang hayat 34 - JERAM BESU.

Jerma Besu:

Semasa menyusur Sg. Lipis, lewat tanjung, tebing, lubuk, cega dan bermacam keadaan ada yang baik dan ada yang tidak molek di buat kampung, To Mat Amin meneruskan mudik sungai berhari hari lamanya. Sebelum sampai ke Tanjung Aur di mana Tok Mat Amin memutuskan untuk membuat kampung, rombongan mereka terlebih dahulu bertemu dengan sebuah Jeram. Tatkala sampai ke sebuah jeram yang amat bising bunyinya itu, Tok Mat Amin singgah berhenti lalu naik ke darat meninjau-ninjau kawasan kalau kalau ada yang pamah yang sesuai, boleh di buat kampung halaman. Tak boleh, jeritnya habis suara pada anak buahnya. Tidak juga boleh di dengar. Lantas mereka bercakap bahasa isyarat, bagaikan orang bisu semuanya. Bukan tak boleh di buat kampung halaman dan memang ada kawasan tanah pamah yang boleh dijadikan sawah paya, sekadar bunyi jeram yg bising itu boleh mengganggu gugat pendengaran mereka masing masing .

"Apa nama jeram ni?" bertanya Tok Mat Amin entah pada siapa. Lalu dijawab anak buahnya, "Bisuuu, Tok".
"Oh! iya, "Kita namakan jeram ini Jeram Bisu."
Itulah asal mulanya jeram Besu di beri nama oleh Tok Mat Amin sebagai Jeram Bisu, sebab orang orang yang tinggal di situ semuanya bisu dan bercakap menggunakan isyarat belaka. Lama kelamaan Bisu itu menjadi Besu, lekat dan kekal sampai sekarang bernama Jeram Besu.

Kini Jeram Besu sudah terkenal ke seluruh rantau ini bahkan dunia kerana uniknya. Ia telah menjadi sebuah Pusat Rekriasi berakit atau berkayap dan berkhemah. Kedai kedai telah banyak didirikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan persendirian. Orang kampung yang dahulunya tinggal berselerak jauh diantara satu sama lain telah ditempatkan di rumah rumah Kos Rendah yang dirikan oleh Kerajaan. Kampung kampung dahulunya seperti Tedung, Berning, Empang China, Serli dan lain lain tempat keluarnya durian dari jenis baik kini sudah ditinggalkan.

Jeram Besu sekarang sudah terkenal. Bunyi Radio, TV, Karaoke dan bunyi deruman kereta motor telah melenyapkan sama sekali bunyi bising air dari Jeram itu, dan orangpun tidak lagi bercapap dengan isyarat.

Wednesday, March 11, 2009

Sepanjang hayat 33 - TOK MAT AMIN KERAMAT BUKIT TERSAN.

Wakaf sumbangan Tan Sri Muhammad Ghazali bin Shafie


Makam Tok Mat Amin, Tok Shahbuddin, Tok Kumin,
Tok Muhammad dan Tok Endir.

Makam Keramat Bukit Tersan

TOK MAT AMIN KERAMAT BUKIT TERSAN.

Tok Mat Amin keturunan Tok Baginda Demu, yang mula mula membuka Kampung Tersan datang menyusur mudik Sg. Lipis dari Kg.Pagar, Penjom Kuala Lipis, lalu di lantik Penghulu Mukim Sega, Raub Pahang sekaligus sebagai Imam dan Pawang.

Setelah uzur beliau ingin melepaskan semua jawatan yang disandangnya sebagai Penghulu, Imam dan Pawang tetapi tidak menurunkan semua jawatan tersebut kepada anak anaknya, padahal beliau ada tiga orang anak lelaki masing masing bernama Tok Ngah (Imam Ngah), Tok Teh Din dan Tok Kumin.

Tok Mat Amin dikhabarkan sangat berhati hati dalam memilih siapa pengantinya. Beliau sangat mendalami keadaan seseorang itu, siapa yang mempunyai potensi dan cici ciri kepemimpinan yang layak yang boleh mentadbirkan Mukim Sega itu. Beliau tidak memilih sebarang orang walaupun anaknya sendiri.

Akhirnya Tok Mat Amin berkenan lalu memilih menantunya, Tok Shahbuddin bin Tok Alauddin keturunan Tok Mansur orang Bugis, suami kepada anaknya Tok Itam Radhiah, mengambil alih jawatan sebagai Penghulu, Imam dan Pawang. Tok Shahbuddin pula tidak berupaya untuk menyandang ketiga tiga jawatan itu sekaligus. Atas budibicara Tok Shahbuddin lalu menyuruh orang orangnya memanggil abang iparnya Tok Muhammad bin Tok Aya yg tinggal di Kampung Pasir Purun, Sengkela, yang bersempadan dengan Mukim Semantan Hulu, untuk di lantik sebagai Penghulu menggantikan To Mat Amin. Lantikan ini dipersetujui oleh Tok Mat Amin. Manakala jawatan Imam, Tok Shahbuddin yang di beri kuasa penuh itu menamakan abang iparnya, Tok Ngah bin Tok Mat Amin iaitu abang kepada isterinya Tok Itam Radhiah lalu bergelar Tok Imam Ngah. Tok Shahbuddin hanya memegang jawatan Pawang sahaja. Demikianlah kewibawaan Tok Shahbuddin di atas kapacitinya sebagai orang kepercayaan Tok Mat Amin membahagi-bahagikan jawatan Penghulu, Imam dan Pawang dengan adil dan saksama.

Apabila Tok Mat Amin meninggal, jenazahnya disemadikan di atas Bukit Tersan. Kemudian menantunya iaitu Tok Shahbuddin, Tok Kumin anaknya, Tok Muhammad bin Tok Aya Penghulu dan seorang lagi Tok Endir, semuanya disemadikan di Makam Bukit Tersan.

Semua Penghulu selepas Tok Muhammad bin Tok Aya, adalah waris daripada keturunan ini. Sembilan orang Penghulu semuanya kecuali Penghulu yang kelima Tok Muhammad Saman bin Haji Abdullah berasal dari Temerloh bertugas selama tiga tahun sebelum ditukarkan semula ke Mukim Semantan Hulu, menggantikan Penghulu Muhammad Dahan bin Imam Teh yang pada masa itu masih muda justeru orang baharu di lantik tidak layak memegang Mukim yang besar seperti Mukim Sega. Penghulu Osman bin Hussin Penghulu yang keduabelas sekalipun di lantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Pahang adalah juga waris daripada keturunan Tok Mat Amin.

Nota tambah:

Adalah amat diharapkan, sekiranya ada sesiapa yang berkait keturunannya dengan Tok Mat Amin dan Tok Muhammad bin Tok Aya keturunan Tok Mansor orang Bugis, di mana sahaja mereka berada saya dengan rasa rendah diri menjemput agar bertandang ke laman saya supaya dapat bertukar tukar fikiran mengenai asal usul atau salahsilah, terima kasih.

Tuesday, March 10, 2009

Sepanjang hayat 32



Kampungku Kampung Tersan.

Kampung Tersan adalah kampung tertua di Mukim Sega, Raub Pahang. Alasan saya ialah apabila saya baru baru ni menelaah atau mengkaji satu Salasilah atau Teremba atau Teromba atau Family Tree, peninggalan Bapak saudara sepupu saya bernama Zakaria bin Imam Ngah yang telah lama meninggal dunia. Berbulan bulan saya mengesan salasilah ini akhirnya saya dapati berada dalam simpanan anaknya sendiri Hamdan bin Zakaria, saudara dua pupu saya yang tinggal di Kampung Som dekat Damak Jerantut Pahang.

Orang yang mula mula membuka Kampung Tersan bernama Tok Mat Amin keturunan Tok Baginda Demu. Tok Mat Amin dan anak buahnya menyusur mudik Sg. Lipis dari Kampung Pagar, Penjom, Kuala Lipis, Pahang. Berhenti disuatu tanah pamah sebelah kiri mudik yang penuh ditumbuhi oleh perdu perdu buluh aur, lalu membuka kampung halaman di situ. Terus tempat itu dinamakan Kampung Tanjung Aur. Ke daratan Sg. Lipis yang ditumbuhi buluh aur itu dadapati pamah dan lembah, amat sesuai dijadikan sawah / paya padi. Lalu Tok Mat Amin mengajak anak buahnya menebas-nebang kawasan itu untuk dijadikan sawah/paya padi. Terdapat tanah masin yg di gelar jenud tempat binatang datang menjilat di situ. Tanah masin itu boleh menyuburkan semua jenis tanaman termasuk padi. Ke darat lagi terdapat dua alur air yang kemudiannya dinamakan Sg.Buluh dan Sg Ketiar, lalu kedua dua alur itu disatukan menjadi parit besar ala terusan terus ke Sg. Lipis. Terusan itulah yg membekalkan air ke sawah padi mereka. Sempena terusan itulah wujudnya sebuah lagi kampung bernama Kampung Tersan. Itulah kampung saya.

Kampung Tersan semakin besar dan penduduknya bertambah ramai, lalu wujudlah kampung kampung lain disekitarnya menjadikan sebuah kampung yang lebuh besar yang akhirnya bergelar Mukim Sega.

Bagi menjaga kepentingan dan kebajikan kampung Tok Mat Amin di lantik sebagai Penghulu sekaligus menjadi Imam dan Pawang. Bila dia meninggal jenazahnya di semadikan di atas bukit Kampung Tersang lalu dinamakan Makam Keramat Bukit Tersan. Kemungkinan besar semasa hayatnya Tok Mat Amin yang alim, warak dan banyak jasanya maka Almarhum Tok Mat Amin di takbir dalam firasat dan mimpi anak cucunya sebagai wali Keramat. Selepas itu ramailah anak cucunya berziarah ke makam tersebut, bertahlil dan berdoa malah ada yang membayar niat dan bernazar konon.

Monday, March 9, 2009

Sepanjang hayat 31



Mamat 1 dan Mamat 2 ada balik:

Semalam 8 Mac saya tak menulis. Tak boleh menulis.Hendak menulis macam mana, si dua Mamat tulah punya fasal. Tak usahkan nak buka komputer, dekat dengan komputer sahaja, mereka dah menaip, tekan sana tekan sini. Aduh! buasnya.

Itulah cucu kembar saya, dua dua jantan, 23 Mac ini genap dua tahun, anak pada anak lelaki pertama saya Hasbullah. seorang eksikutif di Cagamas. Lihatkanlah di dalam gambar, comot dengan ice-cream. Seorang bernama Muhammad Harriz dan seorang lagi bernama Muhammad Harraz. Sampai jam satu malam tu mereka belum tidur, barangkali sudah puas tidur dalam kereta. Gamat sekali mereka, lompat sana lompat sini, tendang bola sana tendang bola sini, bertempik, menjerit menangis, bergaduh, rampas itu rampas ini sampai koyak koyak buku kakaknya. Aduh! gaduh lagi menangis lagi, riuh rendah sampai jauh malam.. Dua dua dah mula pandai bercakap lalu Atuk sana Atuk sini dan bila lapar minum susu.

Saya tak boleh buat apa,tak boleh kata apa dan asyik melayan mereka berdua sahaja. Itulah orang kata, sayang ke anak, sayang lagi cucu. Kalian semua tunggulah, kalian juga akan merasa,bila sudah ada cucu nanti, ha ha ha...

Bukan itu sahaja cucu saya. Ada sepuluh orang lagi. Entah entah dalam perjalananpun sudah ada. Saya sedikit hari lagi, kalau umur panjang, saya akan jadi orangkaya cucu, OKC. Feilnya macam macam, yang lelaki satu macam dan yang perempuan juga macam macam.

Ayah saya aruah Cikgu Haji Mohamad Zabidi bin Gendut, ada 72 orang cucu dan sempat punya cicit lima orang sebelum meninggal dunia. Begitulah besarnya keluarga saya. Ayah saya meninggal sewaktu umurnya 84 tahun, jenazahnya diusung oleh cucu cucunya sahaja sejauh kira kira 500 meter, tanpa dapat di bantu orang lain dan memasukkan ke lehadpun di buat oleh anak cucunya sahaja.

Kalau ayah atau kami hendak buat kenduri atau berkumpul anak cucu, saiz kenduri itu pastilah sekurang kurangnya seekor kambing. Tak payah jemput orang lain. Namun begitu, rumah gedang peninggalan ayah dan emak itu pernah tinggal begitu sahaja. Tidak seorangpun daripada anak anaknya yang mahu tinggal disitu, kerana masing masing sudah punya rumah, sehinggalah seorang daripada cucunya yang telah mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan hidup cara kampung. Begitulah keluarga saya, keluarga besar dari Kampung Tersan, Mukim Sega, Raub Pahang.

Saturday, March 7, 2009

Sepanjang hayat 30

Menongkah arus 3.

Semasa balik Pak Man kurang menggunakan enjin, banyak menggunakan dayung atau pengayuh dan galah panjang. Malik badan besarlah yang bekerja keras, kalau tidak, tersalah haluan perahu nanti, boleh melentang dan terbalik dek arus yang rakus itu atau terus menongkah tebing pula. Rumah Menteri Silih kena singgah walau apapun, kerana anak anak dara Menteri terutama Milah, pasti menunggu kami dengan senyum lebar. Di suatu saat kami mahu turun ke perahu Milah memutarkan radio transisternya lalu berkumandanglah lagu, " Sudah kahwin ke belum, bagai bunga sekuntum..." Waduh! bagaikan terhenti langkah kami lalu menoleh ke arah Milah. " Hai! Milah, iyake...." saya segera mencelah. Milah membalas, " Ape tak iyanya..." dan Milah yang kiut berkulit hitam manis menyambung terus dengan senyum yg semakin lebar, " Buah hati suami orang..." Waduh kami gelak terkakah kakah. Menteri senyum sahaja, isteri Menteri juga tersenyum dan anak anak Menteri yang lain terkekek kekek, " Bila nak datang lagiiii...", serentak bunyinya.

Bukan sekali dua kami mudik Sungai Jelai Kecil hingga sampai Kuala Kenit. Banyak kali. Jeram apa, saya sudah lupa penamat perahu boleh digunakan. Air sungai semakin cetek, jeram bebatu ala air terjun semakin banyak. Mudik tidak boleh lagi menggunakan perahu. Ikan semakin banyak tetapi saiznya semakin kecil pula.

Lain pula dengan Sungai Telom, airnya terus menerus dalam. Bebatu dan berjeram. Ada tempat sungai bertebingkan batu bagai dinding konkrit. Lubuk lubuknya memutarkan air berwarna gelap. Ada kalanya kami ngeri dengan keadaan sungai ini. Kami tidak mapu mudik lebih jauh lagi ke hulu. Setakat Dixon Port sahaja. Ada perkampungan orang Asli di sini. Rumah Persinggahan pun ada tetapi kami tidak bermalam di situ sebab duduknya jauh di atas bukit. Kami lebih suka berkhemah di tebing sungai. Senang, senang mandi, senang ambil air dan senang melepas. Anak anak orang Asli kecil besar datang hampir mengelilingi kami. Riuh rendah mereka bercakap dalam bahasa mereka.Phuhhh... hanyir baunya, aduh!!!.

Sungai Serau lain pula. Semakin ke hulu semakin berpasir. Tidak ada perkampungan Orang Asli di sana. Mudik Sungai Serau tidak menyeronokkan.

Yang peliknya, anak anak orang Asli sekalipun masih kecil, sudah pandai merokok. Lantas tidak segan segan meminta rokok dari kami. Kami hulurkan tembakau untuk yang dewasa dan yang tua tua. Kepalang seronoknya mereka tetapi yang muda muda tetap menagih, "Rokok sigret tulah encik".

Yang lebih peliknya ialah, anak anak orang Asli yang tinggal di hulu hulu sungai berjauhan pula dengan orang melayu dan bahasa serta loghat seharian mereka tentulah bahasa mereka sendiri iaitu Jakun, tetapi mereka boleh bercakap dalam bahasa melayu dengan fasih. Dari siapa mereka belajar. Siapakah yang mengajarnya. Yang kecil kecil itu tidak pergi sekolah malah sekolah pun belum ada pada masa itu. Bukankah itu pelik namanya?. Sampai sekarangpun saya masih belum dapat jawabnya.

Thursday, March 5, 2009

Sepanjang hayat 29

Kembara ta berhujung 2. (...sambungan)

Naik perahu berinjin menongkah arus deras kepalang seronoknya, aduh!!! Apalagi bila percikan air yang menjarum, menusuk rasa sejuk dan nyaman melewati kulit muka yang mulai tegang dek panas mentahari, membuat kami amat teruja dan cukup terhibur. Pak Man memaut kemudi menyusuri dasar yang dalam, sekali kekiri sekali kekanan membuat perahu terliuk lintuk, menambahkan lagi rasa deria yang ceria sekaligus meninggalkan segala rasa dan masalah. Luncuran perahu jalur yg laju terus membelah arus dan buih berlari-lari, menari nari lalu kami tinggalkan jauh dan semakin jauh dibelakang, berlonjak lonjak keriangan penuh dengan sorak sorai.

Satu demi satu kampung dan dusun yang menghiasi tebing di kiri dan kanan kami lewati. Para ibu, dara sunti yang berkemban sedang mencuci kain atau mandi manda bersama anak anak kecil yg berbogel, tersenyum lebar lalu menyembah air ke arah kami sambil bersorak selamat jalan bang, selamat jalan...Sekali sekala kami terdedah kepada panahan mata hari pagi. Dikejauhan kilauan air berkelik kelik di cegar, berombak ombak halus di rantau yang tenang. Apabila sungai menjadi sempit tebing sungai semakin meninggi kami dapayungi pula cantuman pokok pokok kayu besar yang bertenggek ditebing itu sudah beratus tahun lamanya. Di tebing yang landai terbentang pula padang yang hijau bak lumut, diatasnya sang kerbau meragut rumput. Sekali sekala mendongak dagu memandang kami seolah menegur, "siapa pulakah yang datang". Di dahan pokok kera senekah gamat bertanya khabar, " nak kemana tu, nak kemana tu...". Kah kas kah kas bunyinya yang membawa makna "kami semua di sini, kami semua disini..." . Alangkah petahnya mereka menyambut kedatangan kami. Burung burung pula berterbangan bersimpang siur, sambil bernyanyi irama merdu bak serunai dan napiri mengiringi kami mudik. Unggas Unggas yang garau suaranya, " Uuuhg, uuugh", memberi isyarat kepada sang buas yang meraja di hutan dengan amaran, " jangan di ganggu sahabat sahabat kami yang datang dari jauh tu...".

Itulah kembara kami saban bulan. Kalau mudik Sungai Jelai Kecil, perhentian pertama
ialah di Lubuk Belida dikediaman Menteri Silih ( Menteri adalah gelaran yg di beri kpd ketua ketua kaum orang Asli atau Tok Batin). Tok Menteri akan menyambut kami dengan senyum lebar. Anak anak dara Tok Menteri turut sama menyambut kami dengan riang gembira sambil berbisik bisik sesama mereka. Kalau hari masih siang, kami teruskan perjalanan mudik hingga ke Kuala Kenik. Kalau tidak di rumah Menteri Silih akan menjadi rumah tumpangan kami. Setelah meninggalkan sedikit buah tangan seperti beras, tembakau dan rokok buat keluarga Tok Menteri, kami turun semula ke perahu sambil menghadiahkan seberapa banyak senyum terutama buat Milah anak dara Tok Menteri yang kiut berkulit hitam manis.

Setelah memutarkan injin bot, Pak Man akan melaung, "Mudik kitaaa..."Tok luan mestinya Malik badan besar, tidak akan senang duduk. Perhatiannya terus pada liku liku, jeram dan cegar, sambil memberi arah arus mana boleh dilalui. Air sungai Jelai Kecil semakin deras, semakin berkocak dan semakin mencurah lajunya. Tanjung tanjungnya tidak lagi melengkar jauh separuh keliling tetapi semakin pendek. Di siku tanjung, lubuk lubuk menjadi lebih dalam dan disitulah sang kelah bermaharajalela. Wan Kamar tidak sabar sabar menyediakan dynamite untuk di letupkan sebiji dua. Tengku Ismail siap sedia meraih trigger senapang patahnya, matanya berkisar ke kiri ke kanan mengarah ke tebing, mana tahu kok kijang, kok rusa turun minum akan menjadi lauk kami. Kalau tadi kami agak releks sekarang kena berhati hati, kemalangan mungkin boleh berlaku bila bila masa. Pak Man terus memacu, memutar tangkai kemudi, melonjak lonjak badan perahu dengan tekanan tinggi enjin boat mengaum bunyinya membelah kesunyian hutan. Penghuni kiri kanan tebing tentunya kera dan senekah senyap sunyi seperti ketakutan bila mendengar deruman enjin yang semakin kuat.

Tak berapa lama sampailah kami ke tempat di tuju, dimana perahu tak boleh dibujuk lagi. Enjin yang kepanasan dirihatkan. Kami semua memunggah barang barang lalu mendirikan khemah. Malik badan besar akan menanak nasi, menjerang air lalu menyediakan kopi. Pak Man , Wan Kamar, Razak, Hussin dan saya mencari cari lapang untuk melepaskan sedas dua. Betapa tidak! lauk apa makan nanti? Hampir senja jaring akan di pasang. Mana yg boleh menebar jala, jala sudah sedia. Pancing juga sudah dikenakan umpan. Peluru senapang patah sudah dimasukkan cuma menunggu triggernya diraih sahaja. Wah! masing masing dengan tugas masing masing.

bersambung...

Sepanjang hayat 28

Kembara tak berhujung.

Setelah bertukar ke Lipis pada awal tahun 1965, saya dengan pantas menjadi warga Kuala Lipis. Pun telah ada yang tahu bahawa saya agak aktif di Bentong dalam bidang sosial remaja. Minggu Bahasa, Bulan Bahasa dan Sri Persekutuan Melayu yang menjadi gelanggang saya di Bentong. Lantas saya tiba tiba aktif dalam Majlis Angkatan Senibudaya ringkasnya MAS di Kuala Lipis.

Tidak ketinggalan saya turut mencebur diri dalam bidang politik kiri iaitu Partai Rakyat atau Partai Sosialis Rakyat Malaya. Dalam masa sama apabila MAS semakin longlai setelah bertukar kepimpinan kepada orang politik khususnya wakil rakyat, kami menubuhkan Persatuan sosial muda mudi seterusnya menggabungkan beberapa persatuan dari kampung kampung lalu menubuhkan Belia 4B Daerah Lipis . Gerakan Belia 4B bersaing hebat dengan Belia MAYC.

Usaha terbesar kami dalam Gerakan Belia 4B Daerah ialah mengadakan Pesta Belia 4B Daerah bertempat di Sekolah Menengah Clifford. Tokoh besar yang merasmikan pesta tersebut ialah Dato' Abdullah bin Haji Ahmad Badawi ( sekarang Pak Lah Perdana Menteri Malaysia ) Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Kebetulan pada masa sama Kempen Pilihanraya Kecil bagi Kawasan Parlimen Lipis sedang berjalan. Pesta selama tiga hari dua malam itu berjaya menyedia satu flatform untuk Dato' Mohd.Ghazali bin Shafie (belum bergelar Tan Sri) calun Parti Perikatan, mengadakan kempen pilihanraya.

Gerakan Belia 4B Lipis di bawah pimpinan saya, pernah mewakili Pahang dalam pertandingan Net Ball dan Musabaqah di Perhimpunan Agung di Pulau Pinang. Mewakili satu regu Sepaktakraw di Perhimpunan di Kota Baharu, Kelantan. Pernah juga menyumbang sebuah Pentomin pimpinan Baharuddin CD di Perhimpunan di Melaka. Sesuatu yang amat menghairahkan ialah apabila Setiausaha kami Cikgu Daud telah jatuh cinta dengan seorang anak gadis dari Benta. Percintaan yang tak dapat dilerai itu kena diselamatkan dengan kami mengambil daya usaha sendiri untuk meminang gadis tersebut. Mereka akhirnya berkahwin, hidup aman damai, pun sudah beranak pinak mungkin sudah bercucu dan sekarang menetap di Tanjung Malim.

Selain dari aktif dengan Belia, politik dan Kelab Jabatan, saya dan beberapa kawan lain ada agenda tersendiri yang sering diadakan setidak tidaknya sebulan sekali. Ia mirip kelab pengembaraan. Kami mengembara ke setiap hulu sungai termasuklah Sungai Jelai Kecil, Sungai Serau dan Sungai Telom. Mengembara ala berkelah itu selama satu atau dua malam amatlah menyeronokkan. Pak Man @ Othman China @ Othman Marsilu adalah tekong kami. Dia ada memiliki sebuah perahu jalur dengan injin berkuasa 40 kuda boleh memuatkan 10 orang penumpang. Sebelum bertolak, satu pekej yang meramkumi petrol, beras, teh, kopi, gula,lada, garam atau kicap, tembakau dan lain lain, disediakan dengan bayaran lebihkurang dua puluh ringgit seorang. Alat memasak seperti periuk, kuali, pinggan dan kole memang sedia ada dan disediakan oleh Pak Man. "lauk tak usah bawak," kata Pak Man. Buat apa bawa lauk, bukankah ikan, pelanduk, kancil atau burung siap menanti di sana. Wan Kamaruzaman akan bersiap dengan jala dan jaring, saya dengan batang pancing, Tengku Ismail dengan senapang patahnya, manakala Sudin, Razak dan Hussin masing masing dengan diri mereka sahaja.Hala tuju kami ialah mencari ikan, binatang hutan dan burung. Selebihnya ialah bertukar angin dan berehat sambil melihat keindahan alam dan bermesera dengan kehidupan orang orang Asli. Namun begitu andaian nagatif orang ramai tetap ada sementara itu ada pula yang membawa isu bahawa kami ada misi dan visi tertentu yang perlu di beri perhatian.

bersambung...

Wednesday, March 4, 2009

Sepanjang hayat 27

GELARAN:

Orang bergelar telah semakin ramai sekarang. Tiap tiap tahun bertambah. Yang mati gelarannya tidak di tarik balik. Yang sedia ada iaitu yang sudah ditentukan masih kekal.

Gelaran di Istana adalah institusi Raja Raja, selain dari Orang Besar berempat, Orang Besar Berlapan, Orang Besar Enam belas, Orang Besar Tiga puluh dua dan Orang Besar yang bergelar datuk, banyak lagi akan begelar Dato'. Bilangan ini akan bertambah dari semasa ke semasa yakni tiap tiap tahun dan dikurniakan sempena khidmat dan jasa jasa mereka terhadap Negeri, Negara ,Bangsa, Agama dan Raja Raja.

Gelaran gelaran yang terus kekal, terus juga kekal dan tidak akan terhakis, misalnya gelaran Paklong, Pakngah, Paktam, Pakteh dan seterusnya termasuklah gelaran cikgu kekal menjadi aruah cikgu, Tok Empat menjadi aruah Tok Empat, Tok Imam menjadi aruah Tok Imam dan begitulah seterusnya Gelaran yang telah menjadi tradisi dan di institusikan.

Sementara itu, ada dua gelaran yang saya tahu, masih bergelar lagi dan gelaran ini tidak diisytihar oleh mana mana institusi dan tanpa apa apa majlis perasmian. Tidak tahu siapa yang mengurniakannya, masa bila dan di mana. Gelaran tersebut ialah "Bung".
Di negeri Pahang cuma ada dua orang sahaja yang mendapat gelaran ini. Kalau di Indonesia gelaran Bung ini amat tinggi darjatnya, diberi oleh rakyat sendiri. Cuma ada dua orang sahaja juga. Mereka ialah Bung Karno dan Bung Hatta, selebihnya semuanya digelar Bapak.

Dua orang yang bergelar Bung di negeri Pahang ini ialah:
1. Bung Karim,( aruah)
2. Bung Hashim. (masih ada)

Bung Karim di lahirkan di Kg.Bangau Tanjung, Temerloh, pada 6 September 1937 bersekolah dari darjah satu sampai Tingkatan 6. Sembilanbelas (19) jawatan honourable/bergaji termasuk guru, setiausaha, executive, pembantu, pegawai, pengarang, penterjemah, penyiasat, dan Pengurus. Dua belas (12) jawatan Honourary termasuklah menjadi Pengerusi, setiausaha, ahli jawatankuasa, ahli penaja, ketua dan presiden. Bermacam persatuan diceburinya termasuklah UMNO sudah pasti, memegang jawatan dari gerakan pemuda hingga dewasa sebagai ketua dan AJK dan AJK Biro,, Persatuan Penulis, seperti GAPENA, DPMP, Persatuan Kebajikan seperti AJK Masjid & Surau, kesatuan sekerja dan lain lain.Lapanbelas (18) hasil kerja di atas kapasitinya dalam Penerbitan Buku sebagai, Editor, Penyusun dan Penyelenggara. Gelaran Anugerah ialah PPN (1982) AMN (1998)

Itulah Bung Karim atau Aruah Bung Karim. Tanya sahaja di Negeri Pahang, siapa Bung Karim, semua orang tahu, semua orang kenal lebih lebih lagi mereka yang seangkatan dengannya termasuklah Bung Hashim salah seorang sahabatnya. Itulah Bung Karim Penyelenggara & Pendokumentor Sastera yang bergelar "Bung".

Bung Hashim yang masih hidup tidak sehebat Bung Karim, dilahirkan di Kampung Budu, Kuala Lipis, pada 7 November, 1937 mula mula masuk sekolah Jepun darjah satu dan sambung sekolah melayu hingga darjah lima. Tahun 1949 masuk masuk Sepecial Malay Class di Mahmud School Raub hingga darjah lapan @ Tingkatan iv.

Bung Hashim itu sebenarnya ialah saya, saya sendiri dan cerita mengenainya telah banyak dipaparkan dalam entri entri yang terdahulu dalam blog ini. Bung Hashim tidak menyerlah dari semua segi berbanding Bung Karim, namun ada kemungkinan dia akan dikenali selepas tarih wafatnya kelak setelah bergelar aruah Bung Hashim.

Tuesday, March 3, 2009

Sepanjang hayat 26

Adat merisik di tempat saya:

La ni, banyak adat adat melayu lama peninggalan datuk nenek moyang kita, tidak digunakan sepenuhnya lagi. Agaknya banyak yang remeh temeh. Justeru, penggunaan 'Biar mati anak asal jangan mati adat' sudah tidak begitu relevant lagi diamalkan sekarang. Banyak dipotong dan diringkaskan sana sini. Mungkin juga ada baiknya, apatah lagi sekarang serba benda hendak cepat dan tepat dan semua kerja hendaklah straight to the point. Di tempat saya, bagi orang kg.Sega dan Kg.Tempoyang adat merisik masih berlandaskan yg lama atau adat lama.

Sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan ianya masih lagi didahului oleh majlis bertunang yang sebelumnya didahului oleh adat merisik. Merisik di buat setelah adanya salin berkenan di antara dua pihak lelaki dan perempuan. Pun ada juga pihak lelaki sahaja yg berkenan sedangkan pihak perempuan tidak malah tidak tahu menahupun bahawa anak perempuannya sedang diperhatikan oleh jejaka di pihak lelaki. Lantas urusan untuk mendatangi pihak perempuan, adat merisik kenalah di pakai.

Justeru, pihak lelaki akan menghantar wakil, atau kedua orangtua pihak lelaki sendiri akan berkunjung ke rumah pihak perempuan membawa sebentuk cincin. Cincin merisik namanya. Cincin tersebut sama ada diletak didalam bekas atau tidak, bertindak sebagai salam pembuka kata, maka sekaligus fahamlah pihak perempuan bahawa kedatangan pihak lelaki membawa hajat besar iaitu hendak merisik anak daranya yg jika tiada halangan akan dipinangnya untuk anak lelakinya kelak.

Sekiranya telah ada hubungan diantara kedua anak lelaki dan anak perempuan itu, justeru perhubungan mereka telah menjadi rahsia umum, maka adat merisik akan menjadi lebih mudah demi kebaikan buat jejaka dan dara itu. Lalu pihak perempuan akan menerima cincin merisik tadi dengan bertangguh. Maknanya jawapan bersetuju tidak dinyatakan terus melainkan mengikut adat, empunya tubuh badan akan ditanya terlebih dahulu, kaum keluarga jauh dan dekat dicanang, takut kalau kalau berlaku di kemudian hari ada pihak pihak kaum keluarga yang terkilan. Tempoh penangguhan juga termasuk agenda meneliti latarbelakang si teruna mengenai asal usulnya, pekerjaannya dan lain lain. Setelah semua berpuas hati mentelahan pula tempoh yg dijanjikan hampir tiba, pihak yg kena risik akan bertandang ke rumah si teruna untuk memulang kata atau membawa khabar bahawa risikan telah berjaya dan tiada halangan.

Semmentara itu, sekalipun telah ada hubungan antara kedua teruna dan dara yang salin berkenan atau tidak, adat merisik diteruskan juga. Setelah berusul usul, bertanya tanya dan canang mencanang lalu mendapati pihak perempuan tidak bersetuju maka cincin merisik dikembalikan dengan alasan sebaik mungkin. Jika bersetuju di mana pihak perempuan berpuas hati, cincin merisik tidak dikembalikan, melainkan bertandang pula untuk memberi persetujuan, maka kedatangan mereka segera bertukar menjadi majlis menetapkan hari bertunang.

Adat juga menetapkan bahawa semua urusan menerima atau menolak risikan hinggalah ke hari bertunang adalah tanggung jawab keluarga sebelah ibu atau sebelah keluarga perempuan, manakala keluarga sebelah pihak ayah si dara akur sahaja.

Monday, March 2, 2009

Sepanjang hayat 25

Menongkah arus V.

Untuk persiapan bagi menghadapi hari pertabalan raja sehari, dimana manapun dan sesiapapun, apa agama dan apa bangsapun, rata rata adalah sama sahaja. Bentuk apa jua sekalipun sama ada duit ringgit, pakaian, kesihatan dan lain lain termasuk menghafal jawaban juru Wali semasa ijab & kabul kena diambil kira dengan sebaik baiknya. Demikian saya menyediakan persiapan yg sewajarnya itu dgn berjinak jinak dgn masjid, surau dan guru.

Saya sebentar lagi akan berpisah dgn keadaan sebelum ini yg penuh dgn pelbagai cara dan gaya hidup seorang remaja yg masih bujang yang seolah olahnya akan terus membujang selamanya. Jadi banyaklah saya belajar mengenai rukun hidup berumah tangga yg semestinya menjadi beban kepada seorang lelaki yg nanti akan bergelar suami, ayah dan seterusnya. Senior saya En. Bakar sering mengajukan bermacam perkara dan diantaranya termasuklah bagaimana memimpin sebuah rumah tangga, cara cara menyelami hati budi seorang perempuan yg bergelar isteri. Kata En. Bakar yg paling dibenci oleh seorang isteri ialah memimjam sesuatu dari jiran sebelah walaupun sesudu garam. Masya Allah! kata hati kecil saya. Apakah yg boleh menjadi pelenok (mengisi masa lapang) seorang isteri bila keseorangan dirumah sebelum dia berbadan dua dan seterusnya apabila sedang berbadan dua. Ada perkara yg tak boleh diabaikan, iaitu beban perlu yg tak mungkin boleh dibuat sendiri oleh si isteri atau dibuatnya juga sekalipun dgn bantuan suami, sedangkan hal itu adalah asas bagi sesebuah rumah tangga menjadi tanggungjawab penuh si suami. En. Bakar membebel sepanjang masa dan saya merasakan seperti kena ragging pula setiap kali berjumpa dengannya.

Setiap waktu maghrib dan Isya saya di masjid. Lepas maghrib kalau tidak ada kulliayah, saya akan berbual bual dengan maamum yg ada yg tak seramai manapun sementara menunggu waktu Isya masuk. Begitulah saya dan saya sudah banyak berubah kata kawan kawan. Diantara maamum yg tak seramai mana itu, ada seorang tua yg sering memerhatikan saya mula mula dari jauh dan semakin akrab lalu akhirnya menjadi guru saya dunia dan akhirat. Seorang yg agak kurus tinggi, berperwatakan lemah lembut, suaranya banyak di dalam dari yg lepas keluar, kurang bercakap tetapi mudah tersenyum. Itulah guru saya, Imam Ainuddin bin Long Talib orang dari kampung Janda Baik, pernah menjadi imam yg bertauliah dan banyak berguru di Berhala Gantang Temerloh dan berusianya lebih kurang 70 tahun.

" Ilmu itu ertinya tahu, tahu itu ertinya mengetahui dan wajib bagi kita tiap tiap yg mukallaf mengetahui supaya tidak jadi jahil, bukan sahaja jahil pada dirinya malah pada Tuhannya". mukadimah awal yang diajukan kepada saya membuat saya tersentak dan mengelamun beberapa jenak. "Awalluddin Makrifatullah"' katanya lagi yang bererti Awal Agama Mengenal Allah. Kenal Allah dahulu sebelum kenal agama, katanya sambil merenung jauh ke dalam mata dan hati saya. Tusupan kata katanya itu membuat saya berfikir dan bermenung beberapa lama, kerana itu adalah sesuatu yg baharu bagi saya, baharu dalam ertikata dari segala bentuk, baik fysikal mahupun mental. Justeru, saya berakad sebagai sifatnya seorang murid dan guru dengan menyusun jari sepuluh. Belajarlah saya dengannya untuk beberapa lama sehingga saya ditukarkan ke Kuala Lipis. Tidak berapa lama selepas itu saya mendapat tahu bahawa guru saya Imam Ainuddin bin Long telah kembali ke Rahmat Allah.

Bermula dari situ, saya terus belajar dan mencari dengan pelbagai guru yang boleh membimbing saya ke arah kesejahteraan yg sebenar. Saya masih mencari.

Dalam mencari:
makna
kejadian &
kematian
aku rindu pada kesempurnaan,

Aku masih mencari.

bait akhir dari sajak saya yg berjodol Aku Masih Mencari
Antology Puisi DPMP Kuantan 1984.

Sunday, March 1, 2009

Sepanjang hayat 24

Menongkah arus iv:

Sudah tiga tahun saya berada di Bentong. Tahun pertama, kedua kerap balik ke kampung, maklumlah buah hati pengarang jantung masih di sana yang saya tintakan sebagai 'puteri jeram' masih tidak luput dari kenangan. Ingatan terhadapnya terus menjadi igauan . Cikgu Amnah belum cukup intim untuk mengambil tempatnya. Keayuan cikgu Amnah yang berkulit sawo matang yang memiliki ke semua hak milik kewanitaan seorang perempuan belum benar benar pasti boleh mengatasi keunikan yg pada pada 'puteri Jeram' Begitulah andaian saya.

Apabila emak dan ayah membayangkan bahawa perhubungan saya dengan gadis kesayangan saya itu tidak cocok bagi mereka dan keputusan muktamad telah dimeteraikan bahawa hubungan kami hendaklah ditamatkan,maka saya terus tidak balik ke kampung hampir satu tahun lamanya, sehinggalah sepucuk taligeram diterima menyatakan emak kurang sehat. Rupanya kepulangan saya itu adalah satu helah semata. Disaat saat saya hendak balik semula ke Bentong, emakpun bersuara, "mak dah risik anak dara orang kg.Budu anak makwan Habsah, Rohani namanya. Emak fikir dan tengok gaya, rupa paras, budi bahasa, susuk tubuh elok sangat rasanya. Ini gambornya", kata emak lagi.

Sesungguhnya saya berada dalam deliema. Yang mana satu harus menjadi pilihan. Pilihan sendiri atau pilihan emak. Aduh!!. Dipersimpangan-sior jalan yg semakin buntu itu, saya lebih banyak mendiamkan diri, memendam rasa seribu bahasa dan meng-ia tidak dan menidakkan pun tidak, hingga emak berkata lagi, "Kalau auk menolak, malulah mak..."

Itulah ibu si Pipi dan sembilan lagi adik beradiknya. Selepas itu tiada lagi puteri jeram yang menjadi igauan dan tiada lagi cikgu Amnah yang berwajah ayu, kulit sawo matang mengambil bahagian dalam debaran dan gelora hidup saya malah saya akur dan redha sahaja melayari bahtera bersama isteri bernama Rohani pilihan ibu.

Tak lama selepas saya nkahwin puteri jeram yg bernama Bedah itupun kahwin pula. Cikgu Amnah lambat kahwin tetapi akhirnya berkahwin juga dan mengikut kata kawan kawan dia ditakdirkan menjadi isteri muda.

Di atas segala pengorbanan yang tak ternilai sebagai isteri dan ibu kepada sepuluh orang anak anaknya, karenahnya terus menerus tidak ada dan peratusnya terus di bawah par. Tahu sahajalah saya ini orang sering berurusan, sentiasa sebok dengan aktiviti persatuannya, politiknya , sosialnya dan berbagai lagi, sudah semestinya sifatnya seorang perempuan menyimpan curiga atau cemburu atau mempunyai sense of belonging yang tinggi. Akhirnya dia jatuh sakit lalu meninggal dunia di hospital besar Kuala Lumpur ketika berusia empatpuluh sembilan tahun. Allah yarhamah menghembuskan nafas terakhirnya dihadapan saya dan dihadapan anak anaknya, sebaik sahaja tanganya terlepas dari menggenggam tangan saya. Alfatihah...!

Itulah detik peristiwa yang paling sedih, bukan sahaja buat anak anak yang kehilangan ibu tempat bermanja malah saya juga. Kehilangan yang tidak ada tukar gantinya. Lantas saya bersendirian bersama anak anak selama dilapan tahun.

Segala kasih sayang yg tak terkumpulkan itu, susah senang bersama, menyelinap masuk ke alam fikir dan akal yang tak kunjung padam, memutuskan bahawasanya ibu si Pipi adalah seorang perempuan yang sempurna. Punya kesedarhanan melampaui sehingga dalam segala hal dan di dalam ertikata lain, pada hakikatnya diberi bukan kerana dia meminta, menolak bukan kerana tak sudi. Itulah isteri pilihan ibu.

Mengikut kata satu bidalan entah dari mana saya kutip dan entah dari mana saya baca dan yang sering saya ajukan kepada staf perempuan di pejabat bahawa seorang isteri adalah: " Berikan aku makan supaya aku tidak lapar dan dahaga, saluti tubuhku seadanya supaya aku tidak telanjang, aku sedia melahirkan anak anakmu" Apakah itu isteriku, ibu kepada anak anakuku, yang kami meterai selepas ijab dan kabul, yg bukan didahului oleh cinta?. Kami kahwin dahulu baharu cinta dan bukan cinta dahulu baharu kahwin.